11 JENIS MANUSIA DIDOA MALAIKAT
PERCAYA kepada malaikat
adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk
manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan.
Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang
kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.
Ketika
kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita
perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat. Antara orang
yang mendapat doa malaikat ialah:
1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.
Rasulullah s.a.w
bersabda, maksudnya:
"Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat
akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat
berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan
suci."
2. Orang yang sedang duduk
menunggu waktu solat.
Rasulullah s.a.w
bersabda maksudnya:
"Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk
menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat
akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"
3. Orang yang berada di saf
depan solat berjemaah.
Rasulullah s.a.w
bersabda, maksudnya:
"Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya
berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."
4. Orang yang menyambung saf
pada solat berjemaah.
Rasulullah s.a.w
bersabda, maksudnya:
"Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu
berselawat kepada orang yang menyambung saf."
5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika
seorang imam selesai membaca Al-Fatihah.
Rasulullah s.a.w
bersabda maksudnya:
"Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir
al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang
ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang
lalu."
6. Orang yang duduk di tempat
solatnya selepas melakukan solat.
Rasulullah s.a.w
bersabda, maksudnya:
"Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada
satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan
solat."
7. Orang yang melakukan solat
Subuh dan Asar secara berjemaah.
Rasulullah s.a.w
bersabda maksudnya:
"Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat
Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas
malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap
tinggal. "Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan
malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit)
sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah
bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?"
Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami
tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka
pada hari kiamat.'
8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa
pengetahuan orang yang didoakan.
Rasulullah s.a.w
bersabda, maksudnya:
"Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan
tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada
kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia
berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin
dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"
9. Orang yang membelanjakan harta (infak).
Rasulullah s.a.w
bersabda, maksudnya:
"Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang
hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara
kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang
berinfak...'"
10. Orang yang sedang makan sahur.
Rasulullah s.a.w
bersabda maksudnya:
"Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya
berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."
11. Orang yang sedang melawat orang sakit.
Rasulullah s.a.w
bersabda, maksudnya:
"Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya
kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat
kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."
p/s: Semoga kita
tergolong dalam golongan yang didoakan oleh malaikat. Insyaallah.
No comments:
Post a Comment