HUKUM AGIHKAN ZAKAT KEPADA KELUARGA
SENDIRI
Zakat
harta wajib dikeluarkan apabila mencukupi syarat-syarat wajib zakat. Ia wajib
dilaksanakan dengan segera apabila harta tersebut sudah sedia untuk diagihkan
iaitu ada harta yang dikeluarkan dan ada asnaf yang berhak menerima bahagian
zakat. Jika ia dilambat-lambatkan untuk dikeluarkan hukumnya adalah berdosa, melainkan
jika kelambatan itu kerana menanti orang yang lebih afdhal menerima agihan
zakat tersebut.
Orang
yang mengeluarkan zakat harta hendaklah dia menyerahkan zakatnya itu sendiri
kepada orang yang berhak menerima zakat. Harus juga baginya berwakil kepada
seseorang untuk menyerahkan zakatnya itu. Walau bagaimanapun, adalah lebih
afdhal baginya menyerahkan zakatnya itu kepada pemerintah umpamanya institusi
zakat atau Baitulmal yang mengendalikan zakat untuk diagih-agihkan kepada orang
yang berhak menerima zakat berbanding dia menyerahkannya sendiri atau berwakil
kepada seseorang. Ini kerana pemerintah itu lebih tahu siapa yang berhak
menerima zakat dan boleh menyerahkannya secara menyeluruh serta zakat itu
selamat diagih-agihkan dengan penuh yakin.
Dalam
perkara mengagih-agihkan zakat ini, bolehkah jika orang yang mengeluarkan zakat itu mengagih-agihkan zakatnya sendiri kepada ahli
keluarganya yang berstatus fakir dan miskin seperti isteri, suami, anak,
ibubapa, adik beradik dan sebagainya?
Sehubungan
dengan persoalan ini, perlu diketahui bahawa antara syarat-syarat penerima
agihan zakat dari asnaf fakir dan miskin itu ialah dia bukan terdiri daripada
orang yang diberi nafkah wajib, sama ada atas nama kerabat ataupun suami. Ini
bererti orang yang mengeluarkan zakat itu tidak harus mengagihkan zakatnya
kepada orang yang wajib dinafkahinya walaupun berstatus fakir dan miskin. Ini
kerana mereka itu telah pun mendapat nafkah yang diberi oleh kerabat tersebut.
Siapakah
yang dimaksudkan dengan orang yang diberi nafkah wajib oleh kerabat atau suami itu?
Orang
yang diberi nafkah wajib oleh kerabat itu ialah seperti berikut:
(1) Ibu bapa hingga ke atas
Ibu
bapa yang berstatus fakir dan miskin tidak harus menerima agihan zakat fakir
dan miskin daripada zakat anaknya sendiri. Demikian juga nenek yang berstatus
fakir dan miskin tidak harus menerima agihan zakat daripada cucunya sendiri.
Ini kerana ibu bapa dan nenek tersebut mendapat
nafkah wajib daripada anak dan cucu mereka
.
(2) Anak hingga ke bawah
Anak
yang berstatus fakir dan miskin tidak harus menerima agihan zakat fakir dan
miskin daripada zakat bapanya sendiri. Demikian juga cucu yang berstatus fakir
dan miskin tidak harus menerima agihan zakat tersebut daripada neneknya
sendiri. Ini kerana anak dan cucu tersebut mendapat nafkah wajib daripada bapa
dan nenek mereka.
(3) Isteri
Isteri yang berstatus fakir dan miskin
tidak harus menerima agihan zakat fakir dan miskin daripada zakat suaminya
sendiri. Ini kerana isteri tersebut mendapat nafkah wajib daripada suaminya.
Menerima
agihan zakat fakir dan miskin daripada kerabat yang tidak wajib memberi nafkah
Adapun
orang yang menerima nafkah daripada kerabat yang tidak wajib memberinya nafkah adalah harus dia
menerima agihan zakat fakir dan miskin daripada kerabatnya yang tidak wajib
memberinya nafkah itu seperti adik beradik dan bapa saudara. Adik perempuan
yang berstatus fakir dan miskin yang menerima nafkah daripada abangnya adalah
harus dia menerima agihan zakat fakir dan miskin daripada zakat abangnya
sendiri. Demikian juga anak saudara yang berstatus fakir dan miskin yang
menerima nafkah daripada bapa saudaranya adalah harus dia menerima agihan zakat
fakir dan miskin daripada zakat bapa saudaranya sendiri. Ini kerana nafkah yang
diberi oleh abang dan bapa saudara itu adalah berupa nafkah yang tidak wajib,
dalam makna yang lain abang dan bapa saudara tidak wajib memberi mereka nafkah.
Isteri
mengagihkan zakatnya kepada suami yang berstatus fakir dan miskin
Sunat
bagi isteri mengagihkan zakatnya sendiri kepada suaminya yang berstatus fakir
dan miskin. Hal ini disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Zainab
isteri kepada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhuma: Maksudnya: “Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Bersedekahlah kamu wahai kaum wanita walaupun dari perhiasan
kamu.” Zainab berkata: “Aku kembali kepada ‘Abdullah (suami Zainab), lalu aku
berkata: “Engkau adalah seorang lelaki yang tidak mempunyai banyak harta, sedangkan Rasulullah
s.a.w. telah memerintahkan kami supaya bersedekah. Oleh itu pergilah engkau
menghadap Baginda dan tanyakanlah (kepada Baginda) adakah memadai aku
bersedekah kepadamu. Sekiranya tidak, aku akan memberikannya pula kepada orang
lain.”Zainab berkata: “‘Abdullah berkata kepadaku: “Engkau sahajalah yang pergi
menghadap Baginda!” Zainab berkata: Lalu aku pun pergi. Ternyata di hadapan
pintu rumah Rasulullah s.a.w. sudah ada seorang wanita dari golongan Ansar yang
sama tujuannya denganku.”Zainab berkata: “Rasulullah s.a.w. dianugerahkan
kemuliaan (kami segan untuk menghadap Baginda).” Zainab berkata: “Lalu Bilal
keluar menemui kami. Kami pun berkata kepadanya: “Menghadaplah kepada Rasulullah
s.a.w. dan sampaikan kepada Baginda bahawa ada dua orang wanita di hadapan pintu
yang ingin bertanya, adakah memadai sedekah mereka berdua diberikan kepada
suami mereka berdua dan kepada anak-anak yatim yang berada dalam tanggungan
mereka berdua? Dan janganlah beritahu siapa kami.” Zainab berkata: “Bilal masuk
menghadap Rasulullah s.a.w. bertanyakan hal itu. Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya
kepada Bilal: “Siapakah mereka berdua itu? Bilal menjawab: “Seorang wanita dari
golongan Ansar dan Zainab. ”Rasulullah s.a.w. bertanya: “Zainab yang mana
satu?” Bilal menjawab: “Isteri ‘Abdullah.”Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya (Bilal):
“Mereka berdua mendapat dua ganjaran iaitu ganjaran kerana kaum kerabat dan
ganjaran kerana sedekah (zakat).”
(Hadits riwayat Muslim)
Hadits
ini menunjukkan bahawa isteri boleh mengagihkan zakatnya sendiri kepada
suaminya, jika suami berkenaan adalah dari asnaf zakat. Malahan isteri tersebut
mendapat dua ganjaran pahala iaitu ganjaran kerana membantu kerabat dan
ganjaran kerana mengeluarkan zakat. Mengagihkan zakat selain bahagian zakat
fakir dan miskin kepada kerabat yang wajib dinafkahi dan isteri Selain bahagian
zakat fakir dan miskin, adalah harus zakat itu diagihkan kepada kerabat yang
berstatus amil, orang yang berhutang (gharimin), pejuang pada jalan Allah,
muallaf dan ibnu sabil. Sekalipun mereka adalah daripada kerabat yang wajib
ditanggung nafkahnya. Kerabat yang berstatus muallaf, mereka harus menerima agihan
zakat tersebut daripada kerabat yang wajib menafkahinya. Akan tetapi jika
kerabat yang muallaf itu berstatus fakir, maka tidak harus baginya menerima
agihan zakat muallaf daripada kerabat yang
wajib menafkahinya. Sementara kerabat yang berstatus ibnu sabil, mereka harus
menerima agihan zakat asnaf ibnu sabil itu daripada kerabat yang wajib
menafkahinya setakat kadar yang perlu untuk menampung kos pelayaran sahaja.
Mereka tidak berhak menerima bahagian zakat ibnu sabil sepenuhnya bagi menampung keperluan-keperluan yang lain
seperti makan, minum dan seumpamanya kerana perkara tersebut sudah termasuk
dalam nafkah yang wajib ditanggung oleh pengeluar zakat.
Selain
itu, seorang suami harus mengagihkan zakatnya daripada bahagian zakat orang
yang berhutang dan muallaf kepada isterinya, jika isterinya itu berstatus orang
yang berhutang atau muallaf. Sekiranya isteri terebut berstatus ibnu sabil, keharusan
menerima agihan zakat daripada suaminya adalah tertakluk kepada keadaan berikut:
(i)
Isteri yang belayar bersama
suaminya dengan mendapat keizinan suami. Tidak harus menerima bahagian zakat
ibnu sabil kerana nafkah ditanggung oleh suaminya.
(ii) Isteri yang belayar bersama suaminya
tetapi dengan tidak mendapat keizinan suami seperti isteri berdegil juga untuk
pergi bersama suami. Tidak harus menerima bahagian zakat ibnu sabil kerana
isteri melakukan dosa.
(iii) Isteri yang belayar seorang diri dengan
tidak mendapat keizinan suami. Tidak harus menerima bahagian zakat ibnu sabil kerana
isteri melakukan dosa.
(iv) Isteri yang belayar seorang diri dengan
mendapat keizinan suami, dan nafkah wajib diberikan kepada isteri seperti
isteri belayar kerana keperluan suami, maka isteri harus menerima bahagian
zakat ibnu sabil iaitu kadar yang menampung kos pelayaran sahaja. Tetapi tidak
berhak menerima bahagian zakat ibnu sabil sepenuhnya bagi menampung
keperluan-keperluan yang lain seperti makan dan minum kerana perkara tersebut
sudah termasuk dalam nafkah yang wajib ditanggung oleh suami.
(v) Isteri yang belayar seorang diri dengan
mendapat keizinan suami, dan nafkah tidak wajib diberikan kepada isteri seperti isteri belayar kerana keperluannya sendiri, maka isteri
harus menerima bahagian zakat ibnu sabil segala kos pelayaran termasuk
keperluan-keperluan yang lain seperti makan dan minum.
(vi) Isteri yang belayar dengan tidak mendapat
keizinan suamitetapi dia ingin berpatah balik daripada belayar untuk mematuhi
suaminya, maka isteri harus menerima bahagian zakat ibnu sabil untuk
perbelanjaannya pulang.Demikianlah beberapa penjelasan mengenai hukum
mengagihkan bahagian-bahagian zakat kepada keluarga sendiri.
No comments:
Post a Comment