KESEMPURNAAN
SUJUD DALAM SEMBAHYANG
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan
salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan
para pengikut Baginda)
Sujud merupakan salah satu daripada
rukun dalam solat berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, ruku‘lah dan sujudlah (mengerjakan
sembahyang)...”
(Surah
al-Hajj: 77)
Persoalan bagaimana cara
melaksanakan sujud dalam solat itu hendaklah dilihat kepada cara dan tunjuk ajar
solat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Perbuatan-perbuatan dalam solat yang
berupa rukun, perkara-perkara sunat dan tertib sembahyang, daripada permulaan solat
dengan takbiratul ihram sehingga selesai dengan mengucapkan salam, kesemuanya
itu hendaklah mencontohi cara solat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Daripada
Malik bin al-Huwayrits Rasulullah S.a.w. bersabda: Maksudnya: “(Kerjakan) solat sebagaimana kamu lihat aku
sembahyang.”
(Hadis
riwayat al-Bukhari)
Anggota Sujud
Anggota sujud dalam solat ada tujuh,
iaitu menyampaikan atau meletakkan pada tempat sujud sebahagian daripada dua
tapak tangan, sebahagian daripada dua kaki (yakni jari-jari kaki), dua lutut
dan sebahagian dahi yang tidak berlapik. Ini adalah sebagaimana yang
diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas R.a.ma bahawa Rasulullah S.a.w. bersabda:- Maksudnya:
“Aku diperintahkan untuk sujud di atas
tujuh tulang (anggota sujud), iaitu: pada dahi - dan Baginda menunjuk dengan
tangan Baginda kepada hidung Baginda -, dua tangan, dua lutut dan jari-jari
dari dua telapak kaki...”
(Hadis
riwayat al-Bukhari)
Hadits yang disebutkan di atas
secara umum membayangkan apa dia anggota-anggota sujud dalam sembahyang. Akan
tetapi, kadang-kala timbul persoalan yang melibatkan anggota-anggota sujud itu
sendiri. Tidak dinafikan juga, terjadi kecuaian dan kesilapan dalam melakukan
sujud tanpa disedari, antaranya:-
1. Meletakkan
hidung dan dahi pada tempat sujud
Hukum
meletakkan hidung pada tempat sujud ketika sujud adalah dituntut berdasarkan
hadits shahih di atas, akan tetapi hukumnya adalah sunat dan bukan wajib. Selain
itu, para ulama telah menyebutkan bahawa sujud pada dahi semata-mata tanpa meletakkan hidung pada tempat sujud hukumnya adalah makruh. Sebaliknya
pula, adalah tidak memadai sekiranya sujud dilakukan dengan hanya meletakkan
hidung sahaja tanpa sebahagian dahi. Ini kerana dahi adalah termasuk dalam
anggota sujud.
2. Mengangkat
dahi ketika sujud
Sekiranya seseorang itu tersujud atas permukaan yang tajam
dan menyakiti dahinya, bolehlah dia mengalihkan dahinya itu tanpa mengangkatnya.
Jika dia mengalihkan dahinya dengan mengangkatnya, maka batal sembahyangnya
kerana menambah perbuatan sujud. Akan tetapi jika dia mengalihkan dahinya itu
dengan mengangkatnya sebelum thuma’ninah, maka tidaklah membatalkan
sembahyangnya. Thuma’ninah merupakan salah satu rukun sembahyang. Thuma’ninah bermaksud
tetap anggotanya ketika melakukan suatu rukun fi‘li di dalam solat sekurang-kurangnya
dengan kadar bacaan zikir: “ ” sebelum
beralih ke rukun fi‘li seterusnya. Seperti yang diketahui, thuma’ninah
diwajibkan ketika sujud. Oleh yang demikian, maksud thuma’ninah ketika
melakukan sujud ialah tetap anggotanya semasa sujud sebelum bangkit daripada
sujud.
3. Dahi
dan hidung yang berlapik
Ketika
sujud, bahagian dahi hendaklah dalam keadaan terbuka atau terdedah tanpa
dihalang oleh sebarang lapik seperti songkok, serban, telekung atau
seumpamanya. Demikian juga, disunatkan agar bahagian hidung mencecah tempat
sujud tanpa dihalang oleh sebarang lapik sebagai ittiba‘ (mengikut perbuatan
dan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam). Dalil dalam perkara ini antaranya
berdasarkan riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudriy Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah S.a.w. dapat
dilihat pada dahi dan hujung hidung Baginda kesan (bekas) tanah (setelah
selesai) daripada solat yang dilaksanakan Baginda bersama-sama orang ramai.”
(Hadits
riwayat Abu Daud)
4. Kedudukan
jari-jari tangan dan kaki ketika sujud
Berdasarkan
hadits yang disebutkan di atas, diwajibkan ketika melakukan sujud untuk
meletakkan kesemua tujuh anggota sujud ke bumi, antaranya ialah dua tangan dan
dua kaki. Yang dimaksudkan dengan dua kaki itu ialah perut jari-jari dari dua telapak
kaki. Oleh itu, tidak sah sujud dalam solat dengan hanya meletakkan belakang
telapak tangan, hujung-hujung jari atau tepi-tepinya. Begitu juga, tidak
memadai sujud dengan hanya meletakkan belakang jari kaki, apatah lagi
membiarkannya tergantung-gantung tidak mencecah bumi atau lantai. Ini berbeza
halnya jika ada keuzuran seperti putus tangan atau putus jari-jari kaki, maka
gugurlah kewajipan untuk meletakkannya.
Demikian antara persoalan mengenai
hukum dan cara meletakkan anggota sujud ketika sujud dalam solat dan juga beberapa
contoh kecuaian dan kesilapan yang berlaku ketika sujud.
No comments:
Post a Comment