ZIARAH KUBUR: PELIHARA KEHORMATAN KUBUR
SERTA AHLI KUBUR
Ziarah
kubur merupakan satu amalan yang dituntut oleh syara‘. Ia salah satu jalan paling
berkesan mengingati mati, alam barzakh dan hari kebangkitan. Ia juga merupakan curahan
ingatan dan kasih saying yang tidak putus terhadap mereka yang lebih dahulu
pergi menghadap seruan Ilahi. Pada kebiasaannya, bulan Ramadhan dan Syawal
merupakan dua bulan di mana amalan ziarah kubur lebih disukai dan ramai dari
bulan-bulan yang lainnya.
Walaupun
kubur merupakan tempat persemadian mereka yang sudah berada di alam barzakh, Islam
tetap memberikan simati serta kubur tempat persemadian mereka hak dan
kehormatan yang mesti dihormati dan dijaga oleh kita golongan yang bakal
menyusuli mereka. Antara adab dan tatacara memelihara hak dan kehormatan kubur serta
ahli kubur ketika berziarah ialah:
1. Hendaklah menutup aurat dengan sempurna
dengan memakai pakaian yang sopan dan bersesuaian.
2. Khusus bagi kaum wanita, hendaklah
menghindarkan diri dari bersolek, berhias-hias dalam erpakaian serta memakai
harum-haruman ketika ziarah kubur kerana selain perkara tersebut dilarang di
waktu dan tempat yang lain kerana boleh menimbulkan fitnah, ia juga tidak
selari dengan hikmah amalan ziarah kubur yang disyariatkan antaranya untuk
mengingati mati dan hari akhirat. Disyaratkan juga bagi kaum wanita supaya
jangan dia berziarah kubur seorang diri, bahkan hendaklah dia ditemani oleh
suami ataupun mahramnya.
3. Tidak duduk atau bersandar di atas
kubur tanpa keperluan kerana perbuatan tersebut hukumnya makruh di sisi syara‘.
Bagaimanapun, jika terpaksa melakukannya kerana suatu keperluan, umpamanya
tidak sampai ke kubur yang hendak diziarahi tanpa melakukan demikian, contohnya
dalam keadaan tanah perkuburan yang kuburnya berdekatan diantara satu dengan
yang lain, maka dalam hal seumpama ini tidaklah makruh duduk atau bersandar di
atasnya. Adapun duduk di sekitar atau di sekeliling kubur pula tidaklah
dilarang. Abu Hurairah R.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah
bersabda : Maksudnya: “Seseorang yang
duduk di atas bara api lalu terbakar pakaiannya sehingga terkupas kulitnya,
adalah lebih baik baginya daripada dia duduk di atas kubur.”
(Hadits riwayat Imam Muslim)
4. Tidak berjalan di atas kubur atau
memijaknya tanpa keperluan ataupun hajat kerana memijak itu sama hukumnya
seperti duduk. Walau bagaimanapun, jika tidak ada jalan lain menuju ke kubur
yang hendak diziarahi itu melainkan dengan memijak kubur yang lain, maka dalam
keadaan sedemikian harus hukumnya memijak kubur kerana adanya keuzuran. Adapun
lalu atau memijak kawasan persekitaran dalam tanah perkuburan yang bukan tempat
mayat ditanam di bawahnya pula tidaklah makruh walaupun memijaknya atau lalu di
atasnya tanpa keperluan. Ini kerana larangan daripada memijak, begitu juga duduk,
berbaring atau bersandar itu hanyalah khusus jika dilakukan di atas kubur
tempat mayat ditanam sahaja dan bukan di persekitaran atau tempat laluan yang
disediakan di kawasan tanah perkuburan.
5. Tidak meratap, memekik, meraung serta
memukul-mukul pipi kerana terlalu dukacita. Rasulullah s.a.w. melarang
perbuatan sedemikian sepertimana hadits yang diriwayatkan daripada Abdullah bin
Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu, Baginda bersabda : Maksudnya : “Tidak termasuk di
dalam golongan kami orang yang memukul-mukul pipinya, mengoyak-ngoyak koceknya,
berteriak-teriak seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliah.”
(Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan
Muslim)
Adapun perasaan hiba, sedih atau
airmata yang mengalir tanpa ratapan tidaklah dilarang kerana kesedihan dan airmata
itu merupakan tanda rasa kasih terhadap ahli kubur atau kerana perasaan insaf
dan gerun terhadap kematian serta hari pembalasan.
6. Tidak berkata batil mahupun bergurau
senda, menyanyi-nyanyi dan berbual kosong ketika berziarah. Sebaliknya
hendaklah diisikan waktu ziarah kubur itu dengan bermuhasabah dan mengambil
iktibar serta menghadiahkan bacaan ayat suci al-Qur‘an dan berdoa memohonkan
kesejahteraan dan keampunan untuk simati yang diziarahi serta ahli-ahli kubur
yang lain.
7. Tidak melakukan perkara-perkara
khurafat yang menjejaskan aqidah seperti mencium kubur, mengelilinginya,
memasang setanggi padanya, mengambil dan mengusap-usap tanahnya dan yang
seumpamanya bagi tujuan pemujaan atau kepercayaan tertentu seperti beroleh
berkat, kesembuhan dan sebagainya. Perkara sesat seperti ini adalah haram dan
ia akan menjejaskan kesucian agama Islam dan menjatuhkan pelakunya ke lembah
syirik.
8. Tidak membuang air kecil ataupun air
besar di atas kubur kerana perbuatan tersebut haram di sisi syara‘. Begitu juga
tidak wajar berak dan kencing dipersekitarannya kerana perbuatan tersebut hukumnya
makruh dan merupakan perbuatan yang tidak bermoral dan tidak bertamadun.
9. Menjaga kebersihan seluruh kawasan
tanah perkuburan dan tidak mengotorkannya dengan meninggalkan sisa-sisa plastik,
surat khabar, botol dan sebagainya. Membuang sampah atau apa-apa sisa buangan di
kawasan tanah perkuburan bukan sahaja mencemarkan kehormatan kubur serta ahli
kubur, bahkan ia turut sama menyusahkan dan menyakiti penziarah kubur yang lain.
Segala kotoran tidak kira sama ada yang mendatangkan bau busuk ataupun tidak wajiblah
dijauhkan dari kubur orang Islam, kerana menyakiti orang Islam yang datang
ziarah di situ dan menyakiti mayat orang Islam adalah haram. Adalah akhlak
terpuji jika setiap penziarah kubur itu sama-sama menjalankan tanggungjawab
mereka sebagai seorang muslim dengan saling bantu membantu dalam membersihkan
dan membuang sampah sarap dan benda-benda buangan yang mengotori kawasan tanah
perkuburan tidak kira sama ada kubur itu adalah kubur ahli keluarga
mahupunkubur mereka yang tidak ada talian persaudaraan dengan mereka. Ini merupakan
satu cabang bertolong-tolongan ke arah kebaikan dan satu amalan mulia.
10. Menurut Imam ad-Dardir Rahimahullah,
seorang ulama dari Mazhab Maliki, makruh hukumnya makan dan minum ketika ziarah
kubur. Perbuatan makan dan minum ini jelas sekali tidak selari dengan
pensyariatan dan hikmah ziarah kubur yang sepatutnya mendatangkan rasa gerun
dan insaf kerana ia memperingatkan perihal kematian dan hari akhirat.
11. Tidak merokok di kawasan tanah perkuburan.
Merokok, selain haram, ia juga mengotorkan kerana debu dari puntung rokok yang
berterbangan serta puntung rokok yang selalunya akan dibuang merata-rata. Ini
merupakan satu pencemaran dan pencabulan terhadap hak dan kehormatan kubur
serta ahli kubur. Selain itu, ia juga memudharatkan dan mengganggu keselesaan penziarah
kubur yang lain. Ini jelas sekali merupakan satu perbuatan yang tidak baik dan
tidak dapat diterima sebagai perlakuan seorang muslim. Penziarah kubur bukan
sahaja perlu menjaga kehormatan simati yang mereka ziarahi, bahkan mereka juga
perlu menghormati seluruh ahli kubur serta penziarah-penziarah yang lain. Tidak
sempurna kedudukan seseorang itu sebagai seorang muslim selagimana dia masih
mengganggu dan menyakiti orang lain dengan perbuatan buruknya. Abu Musa
al-Asy‘arie dan Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhum meriwayatkan bahawasanya Rasulullah
s.a.w. telah bersabda: Maksudnya: “Seorang muslim (yang terbaik dan sempurna) itu
ialah siapa yang selamat orang-orang Islam (yang lainnya) dari (perbuatan
buruk) lidahnya dan tangannya (segenap perbuatannya)”. (Hadits riwayat Imam
al-Bukhari dan Muslim)
12. Tidak membiarkan kanak-kanak berbuat
bising, bermain-main atau berlari-lari di kawasan tanah perkuburan. Sewajarnya
para ibubapa serta penjaga memantau pergerakan anak-anak yang mereka bawa
menziarahi kubur dengan memastikan anak-anak mereka sama-sama duduk menyertai
mereka menghadiahkan pahala bacaan al-Qur‘an dan berdoa bagi simati ketika
berziarah dan tidak membiarkan mereka berbuat bising, bermain-main sehingga
mengacau batu nisan, memijak atau berlari-lari di atas kubur dan sebagainya.
Sifat menghormati kubur dan ahli kubur mestilah ditanamkan dalam diri
kanak-kanak sejak kecil lagi. Ini akan menyemaikan lagi roh dan hikmah ziarah
kubur dalam diri kanak-kanak tersebut.
Demikian
beberapa adab yang perlu dijaga ketika ziarah kubur. Memelihara hak dan
kehormatan kubur serta ahli kubur merupakan tanggungjawab setiap muslim. Jadi
setiap individu muslim mempunyai hak dan peranan untuk mengingati saudara
muslimnya yang lain bagi melaksanakan tanggungjawab ini. Maka sekiranya berlaku
sebarang perbuatan yang mencemarkan kehormatan tanah perkuburan dan ahli kubur yang
dilakukan oleh penziarah kubur yang lain, sewajarnyalah ditegah, diperingatkan dan
dinasihati dengan penuh hikmah. Mudah-mudahan dengan menghidupkan amalan amar
ma‘aruf nahi munkar sebegini perpaduan dan ukhuwwah semakin terjalin serta syari‘at
Islam akan semakin berkembang dan kukuh dari sudut ilmu dan amali.
No comments:
Post a Comment