ADAKAH DISUNATKAN AZAN DAN IQAMAH BAGI
SOLAT QADHA’ DAN SOLAT JAMA‘?
Azan
kerana solat disyariatkan hanya untuk solat fardhu Jumaat dan solat-solat
fardhu lima waktu sahaja. Azan tidak disyariatkan pada solat-solat sunat sama
ada yang disunatkan berjemaah seperti solat ‘Idilfithri, ‘Idiladhha, solat
gerhana matahari atau bulan, solat meminta hujan dan solat tarawih, ataupun
yang tidak disunatkan pada solat itu berjemaah seperti solat dhuha dan
sebagainya. Selain daripada itu azan juga tidak disunatkan bagi solat nazar dan
jenazah. Hukum azan kerana hendak solat fardhu adalah sunat, sunat ‘ain bagi solat
bersendirian dan sunat kifayah bagi solat jemaah.
Pada
dasarnya azan merupakan pemberitahuan masuk waktu solat fardhu. Oleh kerana itu
azan hanya akan dilaungkan setelah masuknya waktu solat. Namun berlaku juga
azan solat yang dilaungkan di luar daripada waktu asal solat yang diwajibkan
seperti azan bagi solat qadha’ dan solat jama‘, walaupun pada dasarnya
disyariatkan azan itu sebaik sahaja masuknya waktu solat kecuali bagi azan
subuh. Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah Ta‘ala di dalam kitab al-Buwaithi ada
menyebutkan bahawa pensyariatan azan sebagai pemberitahuan masuknya waktu solat
itu gugur dengan adanya perbuatan sembahyang. Ini bererti pensyariatan azan itu
adalah kerana solat, bukan kerana waktu dan pendapat ini adalah yang muktamad.
Berdasarkan
kenyataan tersebut maka azan bagi solat qadha’ itu adalah kerana solat yang
hendak didirikan dan ianya tidak terhalang disebabkan waktunya yang telah
luput.
Azan
Bagi Solat Qadha’
Disunatkan
azan bagi solat qadha’ adalah pendapat yang ashah di sisi para ulama. Sunat azan
dan iqamah bagi solat qadha’ kerana kefardhuan solat itu dengan beberapa ketetapan
seperti berikut:-
i. Qadha’ tidak lebih dari satu solat
fardhu
Menurut pendapat ashah, disunatkan azan
sebagaimana juga disunatkan iqamah bagi solat qadha’.
ii. Qadha’ lebih dari satu solat fardhu
Bagi qadha’solat fardhu yang luput
beberapa waktu yang dilakukan secara berturut-turut, adalah disunatkan azan
pada solat yang pertama sahaja sebagaimana pendapat ashah jumhur sahabat dan
tidak perlu azan pada solat-solat seterusnya tanpa khilaf (percanggahan
pendapat). Namun disunatkan iqamah bagi setiap solat qadha’ yang dilakukan
secara berturut-turut tanpa khilaf.
ü
Disunatkan
azan dan iqamah pada setiap solat bagi sembahyang-solat qadha’ yang dilakukan
secara berasingan iaitu tidak berturut-turut atau terdapat jarak waktu
sekurang-kurangnya dua rakaat solat di antara solat-solat yang hendak dilakukan
itu.
ü
Disunatkan
azan hanya pada permulaan solat dan iqamah bagi setiap solat qadha’ dan tunai
yang dilakukan secara berturut-turut tidak kira sama ada dimulakan dengan solat
qadha’ atau sebaliknya asalkan azan itu dilaungkan setelah masuknya waktu solat
tunai tersebut. Akan tetapi jika dimulakan dengan solat qadha’ dan azan itu dilaungkan
sebelum lagi masuk waktu solat tunai, maka sunat baginya azan sekali lagi untuk
solat tunai tersebut kerana kefardhuan waktunya tanpa khilaf. Dalil bagi
disyariatkan azan pada solat yang luput dan iqamah pada setiap solat yang
didirikan ialah hadits daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhuma katanya:
Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang
Musyrik telah melalai-lalaikan Nabi S.a.w. daripada mendirikan empat solat
fardhu di hari peperangan khandaq. Maka Baginda memerintahkan Bilal untuk azan,
lalu dia pun azan. Kemudian iqamah lalu mendirikan solat Zuhur, kemudian iqamah
lagi lalu mendirikan solat Asar, kemudian iqamah lagi lalu mendirikan solat
Maghrib, kemudian iqamah lagi lalu mendirikan solat ‘Isya’ .”
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Selain
bagi solat qadha’, azan juga disunatkan bagi solat jama‘, sama ada jama‘ taqdim
mahupun jama‘ ta’khir.
Azan
Bagi Solat Jama‘ Bagi solat jama‘ (dua solat fardhu yang dihimpunkan), jika
dihimpunkan secara taqdim (solat Asar yang dilakukan di dalam waktu solat Zuhur
atau solat ‘Isya’ yang dilakukan di dalam waktu solat Maghrib) maka disunatkan
azan tanpa khilaf bagi solat yang pertama dan iqamah bagi setiap keduanya.
Jika
dua solat fardhu itu pula dihimpunkan secara ta’khir (solat Zuhur dilakukan
dalam waktu solat Asar atau solat Maghrib dilakukan dalam waktu solat ‘Isya’)
maka hukumnya adalah seperti solat-solat yang luput disebabkan luputnya waktu solat
yang pertama yang diikuti dengan waktu solat yang kedua, iaitu disunatkan azan
dan iqamah pada solat yang pertama sama ada yang empunya waktu ataupun bukan,
kemudian disunatkan iqamah sahaja pada solat yang kedua.
Perbuatan ini adalah bersandarkan
kepada hadits daripada Jabir bin ‘Abdullah katanya: Maksudnya: “Rasulullah s.a.w. telah bertolak (dari
‘Arafah) sehingga sampai ke Muzdalifah. Lalu di tempat itu, Baginda menjama‘ solat
Maghrib dan ‘Isya’ dengan sekali azan dan dua kali iqamah, dan tidak didirikan solat
apapun antara keduanya.” (Hadits riwayat
an-Nasa’ie)
Demikian
beberapa penjelasan mengenai azan bagi solat qadha’ dan jama‘. Sebagai
kesimpulan, azan tetapdisunatkan bagi solat qadha’dan jama‘ dengan ketetapan
tertentu iaitu:-
1) Sunat azan dan iqamah bagi solat yang
luput satu waktu.
2) Sunat azan pada solat pertama dan sunat
iqamah pada setiap solat bagi solat jama‘ taqdim dan ta’khir serta solat yang
luput beberapa waktu yang dilakukan secara berturut-turut.
3) Sunat azan dan iqamah padasetiap solat
bagi sembahyang-solat qadha’ yang dilakukan secara berasingan (tidak
berturut-turut).
4) Memadai azan pada solat pertama dan
iqamah pada setiap solat bagi solat qadha’ berserta solat tunai yang dilakukan
secara berturut-turut. Akan tetapi disunatkan azan sekali lagi jika azan pada solat qadha’
yang dilakukan sebelum masuk waktu solat tunai walaupun dilakukan secara
berturut-turut.
Jelasnya
di sini tuntutan azan itu tidak gugur disebabkan luputnya waktu wajib solat
atau disebabkan terkeluar dariwaktu asal. Ini menunjukkan bahawa azan itu
mempunyai kelebihan dan kedudukan yang tinggi didalam Islam. Oleh yang
demikian, peliharalah kehormatannya dan kautlah ganjaran pahala yang lebih dengan
tidak meninggalkannya.
No comments:
Post a Comment