THUMA’NINAH DAN AKIBAT MENCUAIKANNYA DI DALAM SOLAT
Solat fardhu lima waktu sememangnya
mempunyai kedudukan yang sangat penting di dalam Islam. Perkara pertama yang
akan dihisab bagi setiap orang Islam pada hari Kiamat ialah solatnya. Orang yang
sempurna solatnya, nescaya akan berjaya dan bahagia di akhirat kelak. Akan
tetapi jika sebaliknya, nescaya dia akan kecewa dan rugi sebagaimana sabda Rasulullah
s.a.w. : Maksudnya: “Perkara yang pertama
sekali dihisab atau dihitung ke atas seorang hamba pada hari Kiamat adalah solatnya.
Jika (solatnya itu) baik, maka dia termasuk orang yang bahagia dan berjaya.
Namun jika (solatnya itu) rosak, maka dia termasuk orang kecewa dan rugi. Jika
terdapat kekurangan sedikit daripada solat fardhunya, Allah ‘Azza wajalla
berfirman: “Lihatlah (wahai malaikat) adakah hambaKu ini mengerjakan solat
sunat, maka solat sunatnya itulah yang menyempurnakan kekurangan yang ada pada solat
fardhu. Kemudian demikian juga (perkara fardhu jika ada kekurangan) pada semua
amalnya (akan sempurna dengan perkara sunat).” (Hadits riwayat
at-Tirmidzi)
Dalam
meraih kesempurnaan itu, perkara utama yang perlu diberi perhatian dan
dipelihara ialah rukun-rukun solat. Ini termasuklah menitikberatkan
perkara-perkara yang diwajibkan bagi setiap rukun tersebut. Antaranya adalah
thuma’ninah. Thuma’ninah merupakan perkataan yang cukup sinonim dengan ibadat solat.
Namun sejauhmanakah kita mengetahui maksud dan mempraktikkan thuma’ninah itu
dengan betul di dalam solat?
Apa
Yang Dimaksudkan Dengan Thuma’ninah?
Thuma’ninah
dari segi bahasa ialah ketenangan. Dikatakan hati itu tenang ialah apabila hati
itu di dalam keadaan reda, tidak bimbang, tidak resah mahupun gusar. Manakala dari
segi istilah fiqh pula thuma’ninah bererti kestabilan atau penetapan sejenak
anggota badan pada satu masa.
Hukum
Thuma’ninah
Menurut pendapat jumhur ulama termasuk
ulama mazhab asy-Syafi‘e, thuma’ninah itu wajib dilakukan di dalam solat sama
ada solat fardhu atau solat sunat. Terdapat empat rukun solat yang diwajibkan
padanya thuma’ninah iaitu ruku‘, i‘tidal,
sujud dan duduk antara dua sujud. Ketetapan hukum ini adalah bersandarkan kepada
hadits shahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, ketika Rasulullah
s.a.w. membetulkan solat seorang lelaki, Baginda bersabda: Maksudnya: “Jika engkau mendirikan solat maka
bertakbirlah, kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagimu (surah al-Fatihah).
Kemudian ruku‘lah sehingga ruku‘ dengan thuma‘ninah. Kemudian bangkitlah sehingga
berdiri dengan i‘tidal. Kemudian sujudlah sehingga sujud dengan thuma‘ninah.
Kemudian bangkitlah sehingga duduk dengan thuma‘ninah. Kemudian lakukanlah yang
demikian itu kesemuanya dalam solatmu.” (Hadits riwayat
Muslim)
Thuma’ninah
Dalam Ruku‘
Maksud
thuma’ninah ketika ruku‘ adalah tenang atau tetap sekalian anggotasemasa
melakukan ruku‘ sekira-kira ada masa yang memisahkan di antara pergerakan
tunduk untuk melakukan ruku‘ dengan pergerakan bangkit daripada ruku‘ sekurang-kurangnya
dengan kadar bacaan tasbih “ ”. Bermula thumani’nah dalam ruku‘ itu adalah
sebaik sahaja tetap dan berhenti sekalian anggota dari pergerakan ketika hendak
melakukan ruku‘.
Thuma’ninah
Dalam I‘Tidal
Thuma’ninah
ketika i‘tidal adalah tenang atau tetap sekalian anggota seperti keadaannya
sebelum ruku‘ sekira-kira ada masa yang memisahkan di antara perbuatan bangkit
daripada ruku‘ dengan berdiri untuk melakukan
i‘tidal. Bermula thumani’nah dalam
i‘tidal itu adalah apabila sahaja badan kembali kepada keadaan asalnya sebelum
ruku‘ dan tetap sekalian anggota setelah bangkit daripada ruku‘.
Thuma’ninah
Dalam Sujud
Thuma’ninah
ketika sujud adalah tenang atau tetap sekalian anggota sekira-kira ada masa
yang memisahkan di antara pergerakan tunduk untuk sujud dengan bangkit daripada
sujud sekurang-kurangnya dengan kadar bacaan tasbih “ ”. Bermula thumani’nah dalam
sujud itu adalah apabila sahaja tetap sekalian anggota setelah melakukan
pergerakan tunduk untuk sujud. Yang dikatakan sujud yang tetap itu adalah
dengan memberatkan bahagian hadapan kepala iaitu dahi dengan tenang di tempat
sujud sehingga dapat menetap. Seandainya tempat sujud tersebut terdapat kapas,
pasir, rumput atau selainnya, maka ia akan kemek atau kempis serta akan nampak
kesan sujud tersebut pada tangan seandainya diletakkan di atas tangan itu.
Thuma’ninah
Dalam Duduk Antara Dua Sujud
Thuma’ninah
ketika duduk antara dua sujud adalah tenang atau tetap sekalian anggota,
sekira-kira ada masa yang memisahkan di antara setiap pergerakan sekurang-kurangnya
dengan kadar bacaan tasbih “ ” tanpa terlalu lama. Bermula thumani’nah dalam
duduk antara dua sujud itu adalah apabila sahaja tetap sekalian anggota setelah
bangkit dari melakukan sujud.
Kadar
Dan Permasalahan Mengenai Thuma’ninah
Jumhur
ulama termasuk ulama mazhab asy-Syafi‘e mengatakan bahawa sekurang-kurang
thuma’ninah itu adalah dengan tetap atau berhenti sekalian anggota.Ulama mazhab
asy-Syafi‘e menjelaskan dengan lebih lanjut lagi bahawa sekurang-kurang
thuma’ninah itu hendaklah sekalian anggota seorang yang sedang solat itu berada
dalam keadaan diam, dan pergerakannya untuk tunduk atau membongkok terpisah
daripada pergerakan bangkit. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala, tidak
berlaku thuma’ninah dan tidak memadai thuma’ninah itu dilakukan hanya dengan
memanjangkan tempoh pada pergerakan tunduk atau bongkok, walaupun melebihi dari
kadar sekurang-kurang ruku‘ atau sujud, kemudian terus sahaja bangkit dengan pergerakan
yang bersambung dan tidak tetap. Maka dalam hal yang demikian ini, tidak
berlaku thuma’ninah padanya dan thuma’ninah tidak akan dikira dengan perbuatan memanjangkan
pergerakan tersebut. Dalam hal i‘tidal pula, hendaklah ia dilakukan dengan tidak
terlalu lama. Jika seseorang berdiri i‘tidal sehingga sama dengan atau melebihi
kadar dia membaca surah al-Fatihah, maka batal solatnya kecuali pada i‘tidal yang
terakhir daripada solat Subuh kerana pada saat itu disunatkan membaca doa
qunut.
Demikian
juga halnya dengan duduk antara dua sujud, hendaklah ia dilakukan dengan tidak
terlalu lama. Jika seseorang duduk sehingga sama atau melebihi zikir yang
dituntut di dalamnya iaitu kadar sekurang-kurang tasyahhud, maka batal solatnya
jika dia tahu dan sengaja melakukannya. Jika seseorang itu melakukan solat
dengan cara berdiri, lalu dia melakukan ruku‘ akan tetapi ketika ruku‘ dia
terjatuh sebelum dia sempat melakukan thuma’ninah, maka dalam hal ini wajib dia
kembali semula melakukan ruku‘ dengan thuma’ninah, kemudian baharulah dia
bangkit melakukan i‘tidal.
Setelah
itu hendaklah dia bangkit untuk melakukan i‘tidal jika dia terjatuh setelah
melakukan ruku‘ yang disertai dengan thuma’ninah setelah i‘tidal baharulah dia
melakukan sujud. Demikian juga wajib kembali bangkit melakukan i‘tidal jika seseorang
itu terjatuh ketika melakukan i‘tidal sebelum lagi dia sempat melakukan
thuma’ninah. Jika seseorang melakukan ruku‘ dan terjatuh setelah sempat
melakukan thuma’ninah, maka dalam hal ini hendaklah dia kembali bangkit
melakukan i‘tidal dan tidak perlu bangkit melakukan ruku‘.
Zikir
- zikir yang sunat dibaca ketika
melakukan rukun
- rukun yang diwajibkan thuma’ninah padanya
Dalam setiap rukun dan perbuatan di dalam solat semestinyalah tidak sunyi
daripada zikir. Disyari‘atkan zikir
- zikir tertentu yang sunat dibaca ketika
ruku‘, i‘tidal, sujud dan duduk antara dua sujud, iaitu semasa dalam tempoh
melakukan thuma’ninah.
Zikir
Ketika Ruku‘
Antara
zikir yang sunat dibaca ketika ruku‘ iaitu apabila sahaja tetap sekalian
anggota ialah tasbih atau ) sebanyak tiga kali. Bacaan sebanyak tiga kali itu
adalah sekurang-kurang kadar yang sempurna(). Kemudian diikuti dengan lima
kali, kemudian tujuh kali, kemudian sembilan kali dan paling sempurna ialah
sebanyak sebelas kali. Sekurang-kurang bacaan untuk mendapat pahala sunat
bertasbih itu ialah dibaca sebanyak sekali sahaja.
Zikir
ketika i‘tidal
Antara
zikir yang sunat dibaca ketika i‘tidal iaitu setelah berdiri tegak, kedua tangan
lurus di bawah serta tetap sekalian anggota ialah membaca tahmid seperti
berikut: Ertinya: “Ya Allah ya Tuhan kami, bagiMu segala pujian, sepenuh
langit, dan sepenuh bumi, dan sepenuh apa yang di antara keduanya (langit dan
bumi), dan sepenuh apa yang Engkau mahukan daripada sesuatu selepas (langit dan
bumi) itu.”
Zikir
ketika sujud
Antara
zikir yang sunat dibaca ketika sujud iaitu setelah tetap sekalian anggota ialah
membaca tasbih sebanyak tiga kali sepertimana juga disunatkan di dalam ruku‘.
Zikir
Ketika Duduk Antara Dua Sujud
Antara
zikir yang sunat dibaca ketika duduk antara dua sujud iaitu setelah tetap
sekalian anggota ialah membaca tasbih dan boleh ditambah. Meninggalkan zikir
atau tasbih yang telah disebutkan tidaklah membatalkan solat, sebaliknya
meninggalkan thuma’ninah itu pula boleh membawa kepada batalnya solat
seseorang. Akibat meninggalkan atau mencuaikan thuma’ninah Antara akibat yang
paling besar dan amat merugikan dari perbuatan meninggalkan atau mencuaikan
thuma’ninah itu adalah solat menjadi tidak sempurna. Thuma’ninah wajib
disertakan di dalam empat rukun solat iaitu ruku‘, i‘tidal, sujud dan duduk
antara dua sujud. Sebahagian ulama mengira thuma’ninah itu sebagai rukun
sembahyang. Berdasarkan ketetapan ini, adalah jelas bahawa kedudukan
thuma’ninah itu sangat penting dalam solat kerana ia merupakan sifat yang
mengikut rukun solat atau komponen yang terkandung di dalamnya.
Solat
yang tidak ada thuma’ninah adalah umpama badan tanpa kepala. Oleh kerana
itu,orang yang meninggalkan thuma’ninah dalam solatnya hendaklah dia mengulang solat
tersebut. Ini berdasarkan hadits shahih yang menyatakan bahawa Rasulullah
s.a.w. pernah menolak salam seorang lelaki yang baru sahaja selesai mendirikan solat
dan menyuruhnya solat semula. Baginda bersabda: Maksudnya: “Kembali dan solatlah, sesunggguhnya engkau
belum solat.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Suruhan untuk kembali solat itu
berulang sebanyak tiga kali sehinggalah lelaki berkenaan meminta agar
Rasulullah mengajar dan membetulkannya. Maka setelah itu Baginda S.a.w. bersabda:
Maksudnya: “Jika engkau mendirikan solat
maka bertakbirlah, kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagimu (surah
al-Fatihah). Kemudian ruku‘lah sehingga ruku‘ dengan thuma‘ninah. Kemudian
bangkitlah sehingga berdiri dengan i‘tidal. Kemudian sujudlah sehingga sujud
dengan thuma‘ninah. Kemudian bangkitlah sehingga
duduk dengan thuma‘ninah. Kemudian lakukanlah
yang demikian itu kesemuanya dalam solatmu.” (Hadits riwayat
al-Bukhari)
Jelas berdasarkan hadits ini, solat
yang dilakukan dengan tidak sempurna thuma’ninah adalah tidak memadai dan tidak
dikatakan solat dan hendaklah diulang semula. Ketetapan ini disokong lagi
dengan sebuah hadits bahawa tidak dikira solat seseorang yang tidak i‘tidal dengan
betul setelah dia bangkit daripada ruku‘. Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya:
“Tidak dikira solat seseorang sehinggalah
tegak atau lurus belakangnya daripada (bongkok) ruku‘ dan sujud.” (Hadits riwayat Abu
Daud)
Perbuatan
tidak sempurna i‘tidal dan thuma’ninah ini adakalanya kelihatan berlaku di
kalangan segelintir orang sama ada kerana sengaja ataupun tidak sengaja kerana
jahil tentangnya. Sebagai contoh, perbuatan bangkit dari melakukan ruku‘ tanpa
berhenti atau tetap seketika terlebih dahulu ataupun bangkit dengan tidak
sampai had badan yang seimbang untuk melakukan i‘tidal atau hanya sehingga paras
tiga suku berdiri sahaja, kemudian terus bergerak tunduk untuk melakukan sujud.
Selain dari solat tidak sempurna, solat yang dilakukan tanpa thuma’ninah juga
menyalahi cara yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: “Tunaikanlah solat sepertimana kamu melihat aku solat.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Suruhan
di dalam hadits tersebut juga dinisbahkan kepada umat Islam yang kemudian
walaupun tidak pernah melihat Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam, tetapi
mereka hendaklah mengikutnya dengan mengikut panduan para ulama dan kitab-kitab
muktabar. Hudzaifah R.a. pernah melihat seorang lelaki yang tidak
menyempurnakan ruku‘ dan sujud ketika solat,
lantas dia berkata kepada lelaki itu: Maksudnya: “Kamu belum solat, seandainya
kamu mati (dengan amalan menjejaskan thuma’ninah), nescaya kamu mati di luar
fitrah dan jalan yang difitrahkan Allah kepada Muhammad S.a.w. (sunnah).”
Oleh
yang demikian, perkara thuma’ninah dalam menunaikan rukun solat ini perlu diambil
perhatian berat. Walaupun nampak kecil dan remeh, tetapi peranan dan akibatnya
terhadap solat adalah sangat besar.
No comments:
Post a Comment