APAKAH YANG DIMAKSUDKAN ISTIDRAJ
Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj.
Rasullulah s. a. w. bersabda :”Apabila
kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu
membuat maksiat(durhaka),ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh
Allah SWT.”(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)
Tetapi, manusia yang durhaka dan
sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa
nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih
dengan perbuatan maksiat mereka. Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau
kita hendak dapat kebahagian di dunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah
Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama Islam.
Tetapi bagaimana dengan ada orang yang
sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan
di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi,
hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula
orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya
tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak, dia boleh hidup kaya dan
mewah. Bila kita tanya, apa kamu tak takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati
juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah! Sombongnya mereka,
takburnya mereka.
Rasullulah s. a. w. naik ke langit
bertemu Allah pun tak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya
sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak
sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak
sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah
Allah.
Manusia istidraj – Manusia yang lupa
daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka
memandang hina kepada orang yang beramal. “Dia tu siang malam ke masjid,
basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta
mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit
ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong.” Sebenarnya, kadang-kadang
Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.
Rasullulah s. a. w bersabda: “Apabila
Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan
dua sayapnya” (Kitab Nasaibul’Ibad)
Anai-anai, jika tidak bersayap, maka
dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika
Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah
bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap),
dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba
hendak melawan Allah swt.
Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak
terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya
nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati,
namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas
mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.
Namrud, yang cuba membakar Nabi
Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya
menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.
Tidak ada manusia hari ini sekaya
Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta.
Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur.
Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya
binasa juga.
Jadi, jika kita kaji dan fikir
betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita.
Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah.
Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya.
Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini
tanpa keredhaanNya?
Tetapi jangan pula ada orang kaya
beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang
naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang
mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan
istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup
kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita
cari.
Tujuan hidup kita adalah mencari
keredaan Allah. Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah?
Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang
diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya. Dia akan mengunakan
pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri
kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat
pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan
Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment