BOLEHKAH MENANGISI JENAZAH?
Apabila
berlaku kematian, ada orang yang boleh menghadapinya dengan sabar dan tabah,
namun ada juga orang yang tidak dapat menghadapinya sehingga menangis, meratap
atau meraung. Perkara sebegini tidak dinafikan berlaku kerana perasaan sayang
kepada simati membuatkan perasaan sedih itu timbul, kerana hidup bersama dalam
masa yang panjang semasa simati masih hidup, kini dia kembali ke hadirat ilahi
buat selama-lamanya. Tentu perkara ini memberikan kesan terhadap semua yang
mengenali simati kadang-kadang tidak dapat menerima hakikat kematiannya.
Tambahan lagi orang yang telah pergi selama-lamanya itu keluarga yang dekat
seperti ibu atau bapa atau anak sendiri. Mengenai hukum menangisi jenazah ini akan
dihuraikan selanjutnya selepas ini.
Hukum
Menangisi Jenazah
Hukum
menangisi jenazah adalah harus sama ada sebelum berlakunya kematian iaitu
ketika dalam keadaan nazak ataupun selepas berlakunya kematian. Walau
bagaimanapun menangisi jenazah sebelum berlakunya kematian adalah lebih utama
berbanding menangisinya selepas kematian. Menangisi jenazah selepas berlakunya
kematian adalah khilaf al-awla iaitu menyalahi yang utama kerana ia merupakan
penyesalan dari perkara yang telah lalu.
Menangisi jenazah kerana sayang dan
sedih di atas pemergiannya adalah merupakan perasaan semula jadi manusia. Rasullullah
S.a.w. juga pernah menangis ketika menghadapi kematian anak Baginda Ibrahim ‘alaihissalam.
Perkara ini jelas disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Anas
bin Malik Radhiallahu ‘anhu: Maksudnya: “Kami masuk bersama Rasulullah s.a.w. mendatangi
Abu Saif Al-Qaiyn (iaitu suami perempuan) yang mengasuh dan menyusui Ibrahim
‘alaihissalam (putera Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam). Rasulullah s.a.w. mengambil
Ibrahim lalu memeluk dan menciumnya. Kemudian kami menjumpainya lagi selepas
(peristiwa) itu dan Ibrahim hampir menghembuskan nafasnya sehingga menyebabkan
kedua mata Rasulullah s.a.w. berlinang air mata. Lalu ‘Abdurrahman bin ‘Auf R.a.
(dengan perasaan takjub) bertanya kepada Baginda: “Engkau juga (menangis) wahai
Rasulullah?”. Baginda menjawab : “Wahai Ibnu ‘Auf, sesungguhnya ini adalah
rahmat,” kemudian berterusanlah keluar airmata Baginda. Setelah itu Baginda S.a.w.
bersabda: “Sesungguhnya kedua mata boleh mencurahkan air mata, hati boleh
merasa sedih, akan tetapi kami tidaklah boleh mengatakan kecuali apa yang
diredhai oleh Tuhan kami dan dengan perpisahan muini wahai Ibrahim kami amat bersedih”. (Hadits riwayat
al-Bukhari)
Jawapan Rasullullah S.a.w. kepada Ibnu
‘Auf R.a. dalam hadits di atas “Sesungguhnya ini adalah rahmat” bermaksud
keadaan Baginda (tangisan) yang disaksikan oleh Ibnu Auf R.a. itu adalah
perasaan kasih sayang terhadap anak dan bukanlah ia sebagai kegelisahan atau
ketidak sabaran sepertimana yang disangkakan oleh sahabat baginda itu.
Begitu juga diceritakan dalam sebuah
hadits yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid R.a. ketika baginda S.a.w. menghadapi
kematian cucu baginda. Nafas Baginda menggeletar dan airmata Baginda
berlinangan di saat cucu Baginda diserahkan kepadanya. Lalu Sa‘ad bin Ubadah R.a.
bertanya kepada Baginda: Maksudnya: “Wahai Rasulullah, (air mata) apa ini?”
Nabi menjawab: “(Airmata) ini adalah rahmat (perasaan sayang) yang Allah
jadikan dalam hati-hati hambaNya dan sesungguhnya Allah hanya merahmati
hamba-hambaNya yang penuh rasa kasih sayang.” (Hadits riwayat
al-Bukhari)
Bentuk
Tangisan Yang Diharuskan
Bentuk
tangisan yang diharuskan itu sebagaimana disebutkan dalam kitab Hasyiatan
Qalyubi Wa ‘Umairah ialah tangisan dengan suara yang perlahan (sekadar
terisak-isak) walaupun mengeluarkan airmata dan perasaan hati yang sedih. Menurut
Imam as-Subki Rahimahullahu Ta‘ala jika tangisan ke atas jenazah itu, kerana
perasaan kasih sayang dan kerana perasaan takut di atas apa yang akan menimpa
kepadanya daripada balasan Allah Ta‘ala dan perkara-perkara yang menakutkan
pada hari kiamat adalah tidak makruh dan tidak menyalahi yang lebih utama.
Menurut
ulama lagi, jika tangisan itu kerana perasaan kasih sayang seperti menangisi
kanak-kanak adalah tidak mengapa, akan tetapi adalah lebih baik bersabar.
Adapun jika menangisi jenazah kerana hilangnya ilmu, kebajikan, keberkatan dan
keberanian si mati maka ia digalakkan.
Bentuk
Tangisan Yang Dilarang
Bentuk
tangisan yang dilarang ke atas jenazah itu ialah seperti berikut:
1. Haram jika tangisan itu disebabkan
ketidaksabaran dan tidak menerima sebagai qadha daripada Allah Ta‘ala.
2. Haram menangisi jenazah dengan
menyebut-nyebut kebaikan si mati seperti katanya: “Aduhai gunungku” (simati
diibaratkan sebagai gunung kerana simati adalah tempat bersandar dan berharap Larangan mengenai meratapi jenazah
sebegini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Musa
al-Asy‘ari R.a. bahawa Rasullullah S.a.w. bersabda: Maksudnya : “Tidak
ada jenazah yang (mati atau hampir mati) dan diratapi oleh keluarganya dan
berkata-kata: “Aduhai gunungku”, “Aduhai tuan aku” atau yang seumpamanya,
melainkan diwakilkan untuknya dua malaikat menepuk-nepuk dada simayat (dengan
kedua tangannyadan) berkata: “Beginikah kamu?” (Hadits riwayat
at-Tirmidzi)
Persoalan “beginikah kamu” dalam hadis
tersebut itu adalah ancaman bagi orang yang meratap dengan menyebut-nyebut
kebaikan simati.
3.
Haram menangisi jenazah dengan
suara yang tinggi seperti meraung
Abu Malik al-Asy‘ari R.a. menceritakan,
bahawa Nabi S.a.w. bersabda: Maksudnya: “Ada empat (perangai) pada umatku yang
dibawa dari zaman Jahiliyyah, mereka tidak dapat meninggalkannya sama sekali
iaitu: “Bangga terhadap kemuliaan, menghina hubungan sesama kekeluargaan,
mempercayai turunnya hujan melalui perbintangan (ilmu tenung) dan ratapan,”
Baginda bersabda: “Orang yang meratap itu
apabila dia belum bertaubat sebelum kematiannya maka akan dibangkitkan pada hari
kiamat (dalam keadaan kulitnya berkurap atau berkudis seolah-olah) pada
(anggota)nya baju (yang dilumuri dengan) minyak (iaitu minyak yang dilumuri
pada unta yang berpenyakit kurap dan minyak itu dibakar untuk menghilangkan
penyakit kurap pada unta itu seolah-olah) baju dari kurap atau kudis.”
(Hadits riwayat Muslim)
4. Begitu juga haram menunjukkan perasaan
tidak sabar sehingga memukul-mukul dada dan pipi atau menarik rambut dan
mengoyak baju. Ini juga berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan oleh
‘Abdullah R.a. bahawa Nabi S.a.w. bersabda: Maksudnya: “Bukanlah dari golongan
kami orang yang menampar-nampar pipi dan mengoyak-ngoyak baju dan
menyebut-nyebut (penyesalan terhadap si mati) sebagaimana sebutan orang
jahiliyyah.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Menangisi jenazah sehingga berlebihan
seperti meratap memukul dada dan pipi, mengoyak baju, dan berteriak adalah
dilarang kerana tangisan seperti ini melewati batas-batas yang diharuskan dalam
syara‘. Tangisan seperti ini menunjukkan ketidaksabaran seseorang itu dalam
menghadapi takdir Allah Ta‘ala
.
No comments:
Post a Comment