Hak
Yang Wajib Ditunaikan Suami
والاهومن وصحبه آله وعلى ،اﷲ رسول على والسلام والصلاة ،ﷲوالحمد ،اﷲبسم
(Dengan
nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah S.a.w.,
keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Islam amat mengambil berat tentang hal
ehwal serta kebajikan kaum perempuan. Kaum lelaki diperintahkan untuk berbuat
baik kepada kaum perempuan. Dalam sebuah rumahtangga umpamanya, kaum perempuan
yang bergelar isteri merupakan amanah yang dipertanggung-jawabkan kepada
seorang suami kerana suami merupakan ketua dalam sebuah keluarga. Seorang suami
diperintahkan untuk menunaikan hak-hak isteri, menjaga maruah isteri serta
mengajar isteri perkara-perkara berkaitan dengan agama dan pembentukan
peribadi. Sebarang bentuk penganiayaan yang dilakukan suami terhadap isterinya
seperti mengabaikan nafkah isteri, mendera atau memukul isteri tanpa ada
sebab-sebab yang dibenarkan oleh syara‘ adalah dilarang oleh Islam.
Dengan termeterainya lafaz nikah,
seorang suami wajib menunaikan hak-hak isteri seperti mana yang telah
digariskan oleh syara‘. Hak-hak yang wajib ditunaikan terbahagi kepada hak-hak
maliyyah (harta benda) dan hak-hak ghairu maliyyah.
Hak-hak maliyyah (harta benda) adalah
berupa mahar, nafkah dan tempat tinggal dan yang seumpamanya. Manakala hak-hak
ghairu maliyyah (bukan harta benda) adalah dengan mu‘asyarah bil ma‘ruf iaitu
berbuat baik kepada isteri dalam pergaulan dan muamalah seharian. Berbuat
baik atau memberi layanan yang baik kepada isteri bukanlah hak yang boleh
dipandang remeh oleh suami kerana hak ini jelas disebutkan di dalam Al-Qur’an
Al-Karim.
Perintah mu‘asyarah bil ma‘ruf dengan
Isteri dalam hidup berumahtangga, kewajipan pasangan suami dan isteri ialah
untuk mu‘asyarah bil ma‘ruf atau memberi layanan yang baik kepada pasangan
masing-masing. Ia merupakan tanggungjawab yang perlu ditunaikan demi memastikan
rumahtangga yang dibina bahagia dan aman damai dan berada dalam keredhaan Allah
S.W.T..
Firman Allah S.W.T. : Tafsirnya : “Dan bergaullah kamu dengan mereka
(isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” (Surah
an-Nisa: 19)
Ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah S.W.T.
memerintahkan para suami untuk berbuat baik kepada isteri sama ada dalam
pergaulan seharian mahupun juga dalam menunaikan hak-hak isteri yang
dipertanggung-jawabkan ke atasnya.
Menurut para ulama mufassirin, hukum berbuat baik kepada isteri adalah wajib
berdasarkan perintah Allah S.W.T. pada ayat tersebut. Maka perintah tersebut
dilihat sebagai satu perintah yang wajib.
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa
seorang suami tidak hanya dituntut untuk menunaikan nafkah isteri berupa makan
minum, pakaian, tempat tinggal dan yang seumpamanya, bahkan juga berbuat baik
kepada isteri dalam apa juga bentuk dan keadaan.
Setiap perkara yang diperintahkan oleh
syara‘ tidak kosong dari hikmah yang tentunya mendatangkan kesan kepada si
pelakunya. Hikmah di sebalik perintah berbuat baik kepada isteri adalah supaya
kemesraan dan kasih sayang antara keduanya akan berterusan dan dapat
mengekalkan ikatan perkahwinan yang kuat dan teguh. Menyentuh mengenai ganjaran
kepada suami yang berbuat baik kepada isteri pula ialah diberi kemuliaan dengan
dianggap sebagai sebaik-baik manusia sebagaimana sabda Rasulullah S.a.w. dalam
sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Sayyidatina ‘Aisyah R.a. Maksudnya : “Sebaik-baik (manusia) antara kamu adalah
yang paling baik kepada keluarganya .......” (Hadits riwayat Ibnu
Hibban)
Apa yang jelas daripada hadits tersebut
ialah mereka paling baik kepada keluarganya dianggap sebagai sebaik-baik
manusia, kerana keluarga adalah mereka yang lebih berhak mendapat perlakuan
yang baik berbanding orang lain. Berbuat baik itu pula bermaksud bermanis muka,
berakhlak mulia dan bergaul baik dengan mereka.
Dengan yang demikian itu, apabila
seorang suami berbuat baik terhadap keluarganya, maka dia adalah sebaik-baik
manusia dan jika sebaliknya maka termasuklah dia di antara mereka yang
melakukan keburukan kerana melakukan yang sebaliknya terhadap keluarganya.
Contoh
Berbuat Baik Terhadap Isteri
Berbuat baik kepada isteri merangkumi
banyak perkara. Antaranya:
i. Menjaga
kemuliaan dan kehormatan isteri Suami hendaklah menghormati isteri dan menjaga
kemuliaannya sebagai seorang manusia. Isteri bukanlah dijadikan sebagai tempat
untuk berseronok atau memuaskan nafsu semata-mata. Suami bertanggungjawab
melindungi isteri, harta serta maruah isteri daripada perkara-perkara buruk.
ii. Baik
dalam pergaulan bersama isteri sama ada dari segi percakapan dan perbuatan.
Contoh baik dalam percakapan, antaranya:
a.
Lemah
lembut dan tidak kasar dalam percakapan.
b.
Tidak
menengking atau mengeji isteri walaupun dalam keadaan marah.
c.
Memanggil
atau menyeru isteri dengan panggilan yang baik dan disukainya. Contoh baik
dalam perbuatan, antaranya:
Ø Tidak mengasari isteri secarafizikal
seperti memukul tanpa sebab yang dibenarkan syara‘, menampar atau menyepak
isteri.
Ø Tidak menghina isteri sama ada di
hadapan isteri sendiri atau lebih-lebih lagi di hadapan orang lain.
Ø Memberikan hadiah kepada isteri
mengikut kesesuaian waktu dan kemampuan suami kerana dengan cara ini akan
menggembirakan hati isteri dan juga mengeratkan hubungan suami isteri.
iii. Memberi
kemaafan kepada isteriapabila isteri melakukan kesalahan dan bersabar
menghadapi kemarahan isteri.
iv. Menghormati
keluarga isteri. Antaranya dengan menghormati keluarga isteri yang dating berkunjung
ke rumah serta berkongsi kesenangan dan kesusahan mereka dan yang seumpamanya.
v. Bersikap
adil kepada isteri-isteri jika suami mempunyai lebih dari seorang isteri.
Keadilan yang dituntut ialah keadilan secara zahir iaitu:
a. Nafkah hidup hari-hari (yang zahir
sahaja)
b. Giliran bermalam (semata-mata bermalam
sahaja)
c. Giliran membawa isteri ketika belayar,
yang mana untuk kali pertama perlu dibuat undi dan tidak harus memilih sesuka
hati kecuali jika dibenarkan oleh yang lain.
Walau bagaimanapun dalam perkara
kecenderungan hati atau kasih sayang tidak wajib ke atas suami untuk berlaku
adil kerana perkara ini adalah di luar kemampuan dan kesanggupan manusia.
Kerana itu Rasulullah Shallalhu ‘alaihi wasallam berdoa kepada Allah: Maksudnya
: “Ya
Allah, inilah pembahagian yang dapat aku berikan pada perkara yang dapat aku
kuasai, janganlah engkau sesali aku dalam perkara yang hanya Engkau
menguasainya, sedangkan aku tidak berdaya menguasainya.” (Hadits riwayat Ibnu Hibban)
Akan tetapi seorang suami janganlah
hanya menumpukan kasih sayang kepada isteri yang benar-benar dikasihinya
sahaja, sehingga isteri yang lain diabaikan atau tidak diambil perhatian
langsung.
Hukum
Mendatangkan Mudarat Kepada Isteri
Haram hukumnya suami mendatangkan
mudarat kepada isteri tanpa ada sebab-sebab yang hak, kerana mendatangkan
mudarat kepada orang lain adalah suatu kezaliman. Manakala melakukan kezaliman
adalah haram, kerana Allah S.W.T. tidak menyukai orang-orang yang berlaku
zalim. Jika mendatangkan mudarat kepada orang lain dihukumkan haram maka adalah
lebih utama pula larangan tersebut kepada isteri kerana syariat telah berpesan
kepada para suami untuk menjaga isteri dan bergaul dengan cara yang baik.
Mudarat yang dilarang dilakukan kepada isteri terbahagi kepada:
i. Mudarat
fizikal. Contohnya, memukul isteri.
ii. Mudarat
yang bukan fizikal. Contohnya, mengeluarkan perkataan yang tidak baik kepada
isteri.
Larangan mendatangkan mudarat kepada
isteri banyak disebutkan di dalam al-Qur’an. Antaranya dalam firman Allah S.W.T.
:
Tafsirnya : “…Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung
oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang
oleh syara‘). Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai
satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah)
Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Baqarah:
228)
Ayat tersebut menjelaskan bahawa adanya
hak isteri ke atas suami seperti mahar, mencukupkan nafkah, tidak melakukan
mudarat kepada isteri dan yang seumpamanya. Selain daripada itu, suami yang
menthalaq isterinya juga dilarang memudaratkan isteri yang dalam ‘iddah dengan
kembali (ruju‘) kepada isteri apabila tempoh ‘iddah hampir selesai dengan
tujuan untuk mendatangkan kesusahan atau mudarat kepada isteri. Allah S.W.T. berfirman:
Tafsirnya : “Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka
(hampir) habis tempoh eddahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (ruju‘) dengan
cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang
mereka (ruju‘ semula) dengan maksud memberi mudharat, kerana kamu hendak
melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian,
maka sesungguhnya dia menganiayai dirinya sendiri.” (Surah al-Baqarah: 231)
Ayat tersebut melarang suami yang
berniat untuk memberi mudarat kepada isteri. Suami yang menthalaq isteri
diperintahkan sama ada kembali (ruju‘) kepada isteri tanpa ada tujuan untuk
memudaratkan atau melepaskan isteri sehingga selesai ‘iddahnya.
Di dalam kitab ‘Aunul Ma‘budsyarh Abi
Daud, diterangkan mengenai hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang
menjelaskan mengenai dengan suruhan memberi makan dan pakai kepada isteri serta
larangan memudaratkan isteri. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ditanyakan
mengenai dengan hak isteri ke atas seorang suami. Baginda Shallallahu ‘alaihi
wasallam menjawab: Maksudnya : “Hendaklah kemu memberinya makan apabila kamu
makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian atau kamu beroleh
penghasilan, dan janganlah kamu memukul muka (isteri), jangan
memburuk-burukkannya dan jangan memisahkan diri dari mereka kecuali di dalam
rumah.” (Hadits riwayat Abu
Daud)
Hadits tersebut melarang memukul isteri
pada muka kerana muka merupakan anggota yang penting dan zahir dilihat. Begitu
juga dilarang suami mengeluarkan perkataan tidak baik kepada isteri, tidak
mengeji serta memaki isteri. Seandainya isteri nusyuz suami janganlah berpindah
ke rumah lain (meninggalkan isteri), kerana yang dimaksudkan bagi isteri yang
nusyuz adalah dipisahkan tempat tidurnya iaitu tidak tidur bersama-sama.
Memudaratkan isteri secara fizikal seperti menampar, memukul, menyepak isteri
adalah dilarang kerana perbuatan seumpama ini amat jauh dari konsep pergaulan baik
suami isteri sebagaimana yang dituntut syara‘. Jikapun isteri melakukan
kesalahan, suami diperintahkan untuk menasihati isteri kerana mungkin dengan
nasihatnya isteri akan sedar akan kesalahan yang dilakukan. Menasihati isteri kerana kesalahan yang
dilakukannya ada disebutkan dalam perkara isteri nusyuz. Sunat seorang suami
menasihati isterinya yang nusyuz dan memujuk isteri dengan cara mengambil hati,
umpamanya dengan memberikan sesuatu. Suami dibenarkan memukul isteri yang
nusyuz hanya setelah nusyuz isteri jelas berterusan (setelah suami menasihati
dan memisahkan tempat tidurnya).
Cara memukul yang dibenarkan oleh
syara‘ pula ialah pukulan yang tidak mendatangkan mudharat kepada isteri, iaitu
tidak boleh memukul isteri dengan pukulan keras, tidak boleh memukul pada muka
atau pada anggota-anggota isteri yang mudah cedera. Tujuan pukulan tersebut
adalah bagi maslahah suami sendiri iaitu supaya isteri kembali taat semula
kepadanya. Oleh yang demikian, adalah lebih baik jika suami tidak memukul isteri
jika dirasakan tidak perlu.
Rasulullah
S.a.w. Sebagai Suami Mithali
Rasulullah S.a.w. merupakan suami
mithali yang patut dicontohi. Sabda Baginda S.a.w. dalam hadits yang
diriwayatkan dari ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha : Maksudnya : “Sebaik-baik (manusia) antara kamu adalah yang paling baik kepada
keluarganya. Dan aku adalah yang paling baik kepada keluargaku daripada
kalangan kamu.”
(Hadits riwayat Ibnu
Hibban)
Pergaulan Rasulullah S.a.w. bersama
dengan isteri-isterinya adalah pergaulan baik yang sentiasa penuh dengan
kemesraan, antaranya Baginda S.a.w. bergurau senda dengan keluarganya, bersikap
lemah lembut terhadap mereka dan mengagihkan nafkah sebagaimana yang
diperintahkan syara‘ kepada para suami. Inilah antara pergaulan baik Rasulullah
S.a.w. bersama isteri-isteri Baginda yang patut dicontohi oleh para suami.
Sebagai kesimpulan, seorang suami
bertanggungjawab memelihara hak-hak isteri yang diamanahkan oleh syara‘ ke
atasnya. Antaranya berbuat baik kepada isteri kerana ia berupa perintah Allah S.W.T.
kepada kaum lelaki. Selain itu juga, suami tidak boleh mencuaikan nafkah
isteri, kerana dengan mengabaikan pemberian nafkah tersebut, suami bukan sahaja
telah melanggar apa yang diperintahkan oleh syara‘ bahkan perbuatannya akan
mendatangkan kesusahan kepada isteri. Yang jelas, Islam amat menitikberatkan soal
hak dan sama sekali tidak membenarkan suami mengabaikan hak-hak isteri.
Suami isteri wajiblah mengetahui tanggungjawab masing-masing. Kitab Muhimmah ada huraiannya.
ReplyDelete