HUKUM
LELAKI MEMAKAI GELANG
Fenomena pemakaian gelang bagi kaum
lelaki di kalangan masyarakat kita sememangnya tidak dinafikan sehingga
bermacam-macam jenis gelang yang dipakai, samada ia daripada emas, perak, besi,
tembaga, kayu, getah atau benang. Kalau gelang itu terdiri daripada besi atau
terdiri daripada jenis logam tertentu ia biasanya dikaitkan dengan tujuan perubatan.
Walau bagaimanapun ia mempunyai hukum tersendiri. Pemakai-pemakai gelang
tersebut tidak mengira samada ia daripada golongan remaja, orang muda mahupun
orang tua. Perkara pemakaian gelang bagi kaum lelaki ini pada dasarnya tidak
selari dengan apa yang telah ditetapkan dalam hukum syara‘.
Hukum
Lelaki Memakai Gelang
Kaum lelaki haram memakai gelang
sekalipun bukan diperbuat daripada emas, samada ianya diperbuat daripada perak,
besi, tembaga, kayu atau sebagainya. Ini kerana gelang itu adalah perhiasan
yang khusus bagi kaum perempuan, seperti juga rantai atau subang. Oleh yang
demikian lelaki yang memakai gelang itu adalah perbuatan menyerupai perempuan.
Hukum lelaki menyerupai perempuan adalah haram dan berdosa besar. Ini kerana
Rasulullah S.a.w. melaknat lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai
lelaki sebagaimana hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiyallahu‘anhuma, katanya:
Maksudnya: “S.a.w. melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan dan
orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Hadits di atas jelas menunjukkan bahawa
Rasullullah Shallallahu àlaihi wasallam melaknat lelaki menyerupai perempuan
dan perempuan menyerupai lelaki. Laknat bermaksud jauh dari rahmat, taufiq dan
hidayat Allah S.W.T.. Berdasarkan hadits tersebut, Imam Ibnu Hajar al-Haitami
Rahimahullah berkata: Ertinya: “Sesungguhnya
haram (orang lelaki) menyerupai mereka (orang perempuan antaranya ialah) dengan
memakai perhiasan yang khusus bagi mereka lagi yang lazim menjadi hak mereka
seperti memakai gelang tangan, gelang kaki dan seumpama keduanya.” Syeikh
al-Islam Zakariyya al-Anshari Rahimahullah pula berkata: Ertinya: “Dan daripada apa yang haram ialah gelang
tangan dan gelang kaki untuk dipakai oleh orang lelaki dan orang khuntsa (orang
yang mempunyai dua jantina).”
Maka jelaslah bahawa kaum lelaki haram
memakai gelang kerana ia adalah perhiasan yang khusus bagi kaum perempuan. Akan
tetapi, bagaimana pula dalam situasi tertentu seperti memakai gelang ketika
majlis perkahwinan atau memakainya kerana tujuan perubatan?
Lelaki
Memakai Gelang Ketika Majlis Persandingan
Memakai gelang hukumnya adalah haram
walaupun dipakai untuk majlis persandingan atau perkahwinan. Haram bagi
pengantin lelaki memakai aksesori baju pengantin seperti gelang dan rantai
walaupun ia bukan daripada emas. Perbuatan sedemikian bukan sahaja menyerupai
perempuan bahkan ia tidak layak dengan keperkasaan seorang lelaki sepertimana
yang dikatakan oleh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Anshari Rahimahullahu Ta‘ala:.
Ertinya: “Dan bagi kaum lelaki (dibolehkan) memakai cincin perak kerana mengikut
sunnah dan ijma‘ (keharusannya), bahkan disunatkan bagi kaum lelaki (memakai
cincin perak), bukan memakai gelang dan yang seumpamannya seperti dumluj
(gelang yang dipakai di antara siku dengan bahu) dan kalung (rantai). Tidak
halal bagi kaum lelaki (memakainya) sekalipun daripada perak, kerana padanya
ciri kewanitaan yang tidak layak dengan keperkasaan (kelakian) orang-orang
lelaki.”
Oleh itu jelaslah memakai gelang ketika
majlispersandingan juga tidak dibolehkan dan hukumnya haram.
Lelaki
Memakai Gelang Kerana Tujuan Perubatan
Adapun memakai gelang dengan tujuan
semata-mata berubat dan ia memang betul-betul ubat, maka tiadalah mengapa
kerana ada keperluan dan hajat. Dalam perkara ini, ia boleh dilihat sebagai
satu keuzuran sebagaimana persoalan orang lelaki dibolehkan memakai inai kerana
keuzuran. Sehubungan dengan ini Imam ar-Ramli Rahimahullah berkata: Ertinya: “Maka haram berinai ke atas keduanya (orang
lelaki dan khuntsa (orang yang mempunyai dua jantina) kecuali kerana ada
keuzuran.”
Imam Asy-Syibramalissi Rahimahullah pula
menjelaskan, skop pengecualian yang dikatakan oleh imam Ramli Rahimahullah di
atas ialah apabila tiada selain inai yang dapat menggantikannya untuk dijadikan
ubat. Jelaslah hukum asal memakai gelang adalah tetap haram ke atas lelaki
kecuali ada keuzuran seperti tiada ubat lain yang boleh menggantikan gelang
tersebut sebagai ubat untuk mengubati penyakit. Dalam makna tanpa ada keuzuran,
ia tetap haram dan dilarang memakainya bagi lelaki dan khuntsa. Apa yang
penting ialah hendaklah memakai gelang itu dengan niat tujuan perubatan
semata-mata dan ia memang betul-betul ubat, bukan dengan niat untuk
bermegah-megah atau bergaya, maka yang demikian itu adalah haram. Apatah lagi dengan
niat untuk bergaya semata-mata.
Kesan
Kaum Lelaki Memakai Gelang
Sebagaimana yang dijelaskan, lelaki yang
memakai gelang adalah perbuatan menyerupai perempuan dan perbuatan menyerupai
perempuan itu adalah perbuatan dosa besar. Orang yang seperti ini boleh dicap
sebagai fasiq. Orang yang fasiq itu adalah orang yang melakukan dosa-dosa besar
atau berterusan melakukan dosa-dosa kecil. Oleh yang demikian, lelaki yang
memakai gelang akan memberi kesan terhadap kelayakannya untuk menjadi seorang
saksi dan wali nikah. Kesaksiannya tidak akan diterima, begitu juga tidak sah
dia menjadi wali nikah selagi tidak bertaubat dan menyesali perbuatannya.
Sebab, salah satu daripada syarat saksi dan wali nikah itu hendaklah mempunyai
sifat al-‘adalah iaitu tidak fasiq. Oleh yang demikian, elakkan memakai gelang
sekalipun bagi tujuan berubat, kerana dalam tujuan berubat itu ditakuti tidak
dapat memenuhi tuntutan maksud keuzuran yang dikehendaki itu.
No comments:
Post a Comment