Sunday, 20 March 2016

BERBUAT BAIK TERHADAP ISTERI

BERBUAT BAIK TERHADAP ISTERI:
Hak Yang Wajib Ditunaikan Suami

والاهومن وصحبه آله وعلى ،اﷲ رسول على والسلام والصلاة ،ﷲوالحمد ،اﷲبسم
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah S.a.w., keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Islam amat mengambil berat tentang hal ehwal serta kebajikan kaum perempuan. Kaum lelaki diperintahkan untuk berbuat baik kepada kaum perempuan. Dalam sebuah rumahtangga umpamanya, kaum perempuan yang bergelar isteri merupakan amanah yang dipertanggung-jawabkan kepada seorang suami kerana suami merupakan ketua dalam sebuah keluarga. Seorang suami diperintahkan untuk menunaikan hak-hak isteri, menjaga maruah isteri serta mengajar isteri perkara-perkara berkaitan dengan agama dan pembentukan peribadi. Sebarang bentuk penganiayaan yang dilakukan suami terhadap isterinya seperti mengabaikan nafkah isteri, mendera atau memukul isteri tanpa ada sebab-sebab yang dibenarkan oleh syara‘ adalah dilarang oleh Islam.

Dengan termeterainya lafaz nikah, seorang suami wajib menunaikan hak-hak isteri seperti mana yang telah digariskan oleh syara‘. Hak-hak yang wajib ditunaikan terbahagi kepada hak-hak maliyyah (harta benda) dan hak-hak ghairu maliyyah.

Hak-hak maliyyah (harta benda) adalah berupa mahar, nafkah dan tempat tinggal dan yang seumpamanya. Manakala hak-hak ghairu maliyyah (bukan harta benda) adalah dengan mu‘asyarah bil ma‘ruf iaitu berbuat baik kepada isteri dalam pergaulan dan muamalah seharian. Berbuat baik atau memberi layanan yang baik kepada isteri bukanlah hak yang boleh dipandang remeh oleh suami kerana hak ini jelas disebutkan di dalam Al-Qur’an Al-Karim.

Perintah mu‘asyarah bil ma‘ruf dengan Isteri dalam hidup berumahtangga, kewajipan pasangan suami dan isteri ialah untuk mu‘asyarah bil ma‘ruf atau memberi layanan yang baik kepada pasangan masing-masing. Ia merupakan tanggungjawab yang perlu ditunaikan demi memastikan rumahtangga yang dibina bahagia dan aman damai dan berada dalam keredhaan Allah S.W.T..

Firman Allah S.W.T. : Tafsirnya : “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”          (Surah an-Nisa: 19)

Ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah S.W.T. memerintahkan para suami untuk berbuat baik kepada isteri sama ada dalam pergaulan seharian mahupun juga dalam menunaikan hak-hak isteri yang dipertanggung-jawabkan  ke atasnya. Menurut para ulama mufassirin, hukum berbuat baik kepada isteri adalah wajib berdasarkan perintah Allah S.W.T. pada ayat tersebut. Maka perintah tersebut dilihat sebagai satu perintah yang wajib.

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa seorang suami tidak hanya dituntut untuk menunaikan nafkah isteri berupa makan minum, pakaian, tempat tinggal dan yang seumpamanya, bahkan juga berbuat baik kepada isteri dalam apa juga bentuk dan keadaan.

Hikmah Dalam Perintah Berbuat Baik Kepada Isteri Serta Ganjarannya Kepada Suami

Setiap perkara yang diperintahkan oleh syara‘ tidak kosong dari hikmah yang tentunya mendatangkan kesan kepada si pelakunya. Hikmah di sebalik perintah berbuat baik kepada isteri adalah supaya kemesraan dan kasih sayang antara keduanya akan berterusan dan dapat mengekalkan ikatan perkahwinan yang kuat dan teguh. Menyentuh mengenai ganjaran kepada suami yang berbuat baik kepada isteri pula ialah diberi kemuliaan dengan dianggap sebagai sebaik-baik manusia sebagaimana sabda Rasulullah S.a.w. dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Sayyidatina ‘Aisyah R.a. Maksudnya : “Sebaik-baik (manusia) antara kamu adalah yang paling baik kepada keluarganya .......”                                                                                                                             (Hadits riwayat Ibnu Hibban)

Apa yang jelas daripada hadits tersebut ialah mereka paling baik kepada keluarganya dianggap sebagai sebaik-baik manusia, kerana keluarga adalah mereka yang lebih berhak mendapat perlakuan yang baik berbanding orang lain. Berbuat baik itu pula bermaksud bermanis muka, berakhlak mulia dan bergaul baik dengan mereka.

Dengan yang demikian itu, apabila seorang suami berbuat baik terhadap keluarganya, maka dia adalah sebaik-baik manusia dan jika sebaliknya maka termasuklah dia di antara mereka yang melakukan keburukan kerana melakukan yang sebaliknya terhadap keluarganya.

Contoh Berbuat Baik Terhadap Isteri

Berbuat baik kepada isteri merangkumi banyak perkara. Antaranya:

i.          Menjaga kemuliaan dan kehormatan isteri Suami hendaklah menghormati isteri dan menjaga kemuliaannya sebagai seorang manusia. Isteri bukanlah dijadikan sebagai tempat untuk berseronok atau memuaskan nafsu semata-mata. Suami bertanggungjawab melindungi isteri, harta serta maruah isteri daripada perkara-perkara buruk.

ii.         Baik dalam pergaulan bersama isteri sama ada dari segi percakapan dan perbuatan. Contoh baik dalam percakapan, antaranya:

a.             Lemah lembut dan tidak kasar dalam percakapan.
b.             Tidak menengking atau mengeji isteri walaupun dalam keadaan marah.
c.              Memanggil atau menyeru isteri dengan panggilan yang baik dan disukainya. Contoh baik dalam perbuatan, antaranya:

Ø  Tidak mengasari isteri secarafizikal seperti memukul tanpa sebab yang dibenarkan syara‘, menampar atau menyepak isteri.
Ø  Tidak menghina isteri sama ada di hadapan isteri sendiri atau lebih-lebih lagi di hadapan orang lain.
Ø  Memberikan hadiah kepada isteri mengikut kesesuaian waktu dan kemampuan suami kerana dengan cara ini akan menggembirakan hati isteri dan juga mengeratkan hubungan suami isteri.

iii.        Memberi kemaafan kepada isteriapabila isteri melakukan kesalahan dan bersabar menghadapi kemarahan isteri.

iv.        Menghormati keluarga isteri. Antaranya dengan menghormati keluarga isteri yang dating berkunjung ke rumah serta berkongsi kesenangan dan kesusahan mereka dan yang seumpamanya.

v.         Bersikap adil kepada isteri-isteri jika suami mempunyai lebih dari seorang isteri. Keadilan yang dituntut ialah keadilan secara zahir iaitu:

a.         Nafkah hidup hari-hari (yang zahir sahaja)
b.         Giliran bermalam (semata-mata bermalam sahaja)
c.         Giliran membawa isteri ketika belayar, yang mana untuk kali pertama perlu dibuat undi dan tidak harus memilih sesuka hati kecuali jika dibenarkan oleh yang lain.

Walau bagaimanapun dalam perkara kecenderungan hati atau kasih sayang tidak wajib ke atas suami untuk berlaku adil kerana perkara ini adalah di luar kemampuan dan kesanggupan manusia. Kerana itu Rasulullah Shallalhu ‘alaihi wasallam berdoa kepada Allah: Maksudnya :  “Ya Allah, inilah pembahagian yang dapat aku berikan pada perkara yang dapat aku kuasai, janganlah engkau sesali aku dalam perkara yang hanya Engkau menguasainya, sedangkan aku tidak berdaya menguasainya.” (Hadits riwayat Ibnu Hibban)

Akan tetapi seorang suami janganlah hanya menumpukan kasih sayang kepada isteri yang benar-benar dikasihinya sahaja, sehingga isteri yang lain diabaikan atau tidak diambil perhatian langsung.

Hukum Mendatangkan Mudarat Kepada Isteri

Haram hukumnya suami mendatangkan mudarat kepada isteri tanpa ada sebab-sebab yang hak, kerana mendatangkan mudarat kepada orang lain adalah suatu kezaliman. Manakala melakukan kezaliman adalah haram, kerana Allah S.W.T. tidak menyukai orang-orang yang berlaku zalim. Jika mendatangkan mudarat kepada orang lain dihukumkan haram maka adalah lebih utama pula larangan tersebut kepada isteri kerana syariat telah berpesan kepada para suami untuk menjaga isteri dan bergaul dengan cara yang baik. Mudarat yang dilarang dilakukan kepada isteri terbahagi kepada:

i.          Mudarat fizikal. Contohnya, memukul isteri.
ii.         Mudarat yang bukan fizikal. Contohnya, mengeluarkan perkataan yang tidak baik kepada isteri.

Larangan mendatangkan mudarat kepada isteri banyak disebutkan di dalam al-Qur’an. Antaranya dalam firman Allah S.W.T. :

Tafsirnya : “…Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syara‘). Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Baqarah: 228)

Ayat tersebut menjelaskan bahawa adanya hak isteri ke atas suami seperti mahar, mencukupkan nafkah, tidak melakukan mudarat kepada isteri dan yang seumpamanya. Selain daripada itu, suami yang menthalaq isterinya juga dilarang memudaratkan isteri yang dalam ‘iddah dengan kembali (ruju‘) kepada isteri apabila tempoh ‘iddah hampir selesai dengan tujuan untuk mendatangkan kesusahan atau mudarat kepada isteri. Allah S.W.T. berfirman:

Tafsirnya : “Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh eddahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (ruju‘) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (ruju‘ semula) dengan maksud memberi mudharat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian, maka sesungguhnya dia menganiayai dirinya sendiri.”                         (Surah al-Baqarah: 231)

Ayat tersebut melarang suami yang berniat untuk memberi mudarat kepada isteri. Suami yang menthalaq isteri diperintahkan sama ada kembali (ruju‘) kepada isteri tanpa ada tujuan untuk memudaratkan atau melepaskan isteri sehingga selesai ‘iddahnya.

Di dalam kitab ‘Aunul Ma‘budsyarh Abi Daud, diterangkan mengenai hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menjelaskan mengenai dengan suruhan memberi makan dan pakai kepada isteri serta larangan memudaratkan isteri. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ditanyakan mengenai dengan hak isteri ke atas seorang suami. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: Maksudnya : “Hendaklah kemu memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian atau kamu beroleh penghasilan, dan janganlah kamu memukul muka (isteri), jangan memburuk-burukkannya dan jangan memisahkan diri dari mereka kecuali di dalam rumah.”                                                                                                                   (Hadits riwayat Abu Daud)

Hadits tersebut melarang memukul isteri pada muka kerana muka merupakan anggota yang penting dan zahir dilihat. Begitu juga dilarang suami mengeluarkan perkataan tidak baik kepada isteri, tidak mengeji serta memaki isteri. Seandainya isteri nusyuz suami janganlah berpindah ke rumah lain (meninggalkan isteri), kerana yang dimaksudkan bagi isteri yang nusyuz adalah dipisahkan tempat tidurnya iaitu tidak tidur bersama-sama. Memudaratkan isteri secara fizikal seperti menampar, memukul, menyepak isteri adalah dilarang kerana perbuatan seumpama ini amat jauh dari konsep pergaulan baik suami isteri sebagaimana yang dituntut syara‘. Jikapun isteri melakukan kesalahan, suami diperintahkan untuk menasihati isteri kerana mungkin dengan nasihatnya isteri akan sedar akan kesalahan yang dilakukan.  Menasihati isteri kerana kesalahan yang dilakukannya ada disebutkan dalam perkara isteri nusyuz. Sunat seorang suami menasihati isterinya yang nusyuz dan memujuk isteri dengan cara mengambil hati, umpamanya dengan memberikan sesuatu. Suami dibenarkan memukul isteri yang nusyuz hanya setelah nusyuz isteri jelas berterusan (setelah suami menasihati dan memisahkan tempat tidurnya).

Cara memukul yang dibenarkan oleh syara‘ pula ialah pukulan yang tidak mendatangkan mudharat kepada isteri, iaitu tidak boleh memukul isteri dengan pukulan keras, tidak boleh memukul pada muka atau pada anggota-anggota isteri yang mudah cedera. Tujuan pukulan tersebut adalah bagi maslahah suami sendiri iaitu supaya isteri kembali taat semula kepadanya. Oleh yang demikian, adalah lebih baik jika suami tidak memukul isteri jika dirasakan tidak perlu.

Rasulullah S.a.w. Sebagai Suami Mithali

Rasulullah S.a.w. merupakan suami mithali yang patut dicontohi. Sabda Baginda S.a.w. dalam hadits yang diriwayatkan dari ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha : Maksudnya : “Sebaik-baik (manusia) antara kamu adalah yang paling baik kepada keluarganya. Dan aku adalah yang paling baik kepada keluargaku daripada kalangan kamu.”
(Hadits riwayat Ibnu Hibban)

Pergaulan Rasulullah S.a.w. bersama dengan isteri-isterinya adalah pergaulan baik yang sentiasa penuh dengan kemesraan, antaranya Baginda S.a.w. bergurau senda dengan keluarganya, bersikap lemah lembut terhadap mereka dan mengagihkan nafkah sebagaimana yang diperintahkan syara‘ kepada para suami. Inilah antara pergaulan baik Rasulullah S.a.w. bersama isteri-isteri Baginda yang patut dicontohi oleh para suami.


Sebagai kesimpulan, seorang suami bertanggungjawab memelihara hak-hak isteri yang diamanahkan oleh syara‘ ke atasnya. Antaranya berbuat baik kepada isteri kerana ia berupa perintah Allah S.W.T. kepada kaum lelaki. Selain itu juga, suami tidak boleh mencuaikan nafkah isteri, kerana dengan mengabaikan pemberian nafkah tersebut, suami bukan sahaja telah melanggar apa yang diperintahkan oleh syara‘ bahkan perbuatannya akan mendatangkan kesusahan kepada isteri. Yang jelas, Islam amat menitikberatkan soal hak dan sama sekali tidak membenarkan suami mengabaikan hak-hak isteri. 

1 comment:

  1. Suami isteri wajiblah mengetahui tanggungjawab masing-masing. Kitab Muhimmah ada huraiannya.

    ReplyDelete