Perundangan Islam
Pengertian Jinayat
Jinayah menurut fuqaha’ ialah
perbuatan atau perilaku yang jahat yang dilakukan oleh seseorang untuk
mencerobohi atau mencabul kehormatan jiwa atau tubuh badan seseorang yang lain
dengan sengaja.
Penta`rifan tersebut adalah khusus
pada kesalahan-kesalahan bersabit dengan perlakuan seseorang membunuh atau
menghilangkan anggota tubuh badan seseorang yang lain atau mencederakan atau
melukakannya yang wajib di kenakan hukuman qisas atau diyat.
Kesalahan-kesalahan yang melibatkan
harta benda, akal fikiran dan sebagainya adalah termasuk dalam jinayah yang
umum yang tertakluk di bawahnya semua kesalahan yang wajib dikenakan hukuman
hudud, qisas, diyat atau ta`zir.
Faedah dan manafaat daripada
Pengajaran Jinayat :-
1) Menjaga keselamatan nyawa
daripada berlaku berbunuhan sesama sendiri dan sebagainya
2) Menjaga keamanan maruah di dalam
masyarakat daripada segala fitrah tuduh-menuduh.
3) Menjaga keamanan maruah di dalam
harta benda dan nyawa daripada kecurian, ragut dan lain-lain.
4) Berhubung dengan keamanan negara
dan menyelenggarakan keselamatan diri.
5) Perkara yang berhubung di antara
orang-orang Islam dengan orang-orang kafir di dalam negara Islam Pembunuhan
Bentuk Hukuman Yang Dikenakan Ke
Atas Penjenayah
Mengikut peruntukan hukum syara`
yang disebutkan di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith dan yang dikuatkuasakan dalam
undang-undang jinayah syar`iyyah, penjenayah-penjenayah yang didakwa di bawah
kes jinayah syar`iyyah apabila sabit kesalahannya di dalam mahkamah wajib
dikenakan hukuman hudud, qisas, diyat atau ta`zir.
Hukuman-hukuman ini adalah tertakluk
kepada kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh penjenayah-penjenayah tersebut.
1.
Hukuman Hudud
Hukuman hudud adalah hukuman yang telah ditentukan dan
ditetapkan Allah di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith. Hukuman hudud ini adalah hak
Allah yang bukan sahaja tidak boleh ditukar ganti hukumannya atau diubahsuai
atau dipinda malah tidak boleh dimaafkan oleh sesiapapun di dunia ini. Mereka
yang melanggar ketetapan hukum Allah yang telah ditentukan oleh Allah dan
RasulNya adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim. Firman Allah s.w.t.
yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka
mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Baqarah, 2:229).
Kesalahan-kesalahan yang wajib
dikenakan hukuman hudud ialah:
a) Berzina,
iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syara`.
b) Menuduh
orang berzina (qazaf), iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi
suci atau menafikan keturunannya dan tuduhannya tidak dapat dibuktikan dengan
empat orang saksi.
c) Minum
arak atau minuman yang memabukkan sama ada sedikit atau banyak, mabuk ataupun
tidak.
d) Mencuri,
iaitu memindahkan secara sembunyi harta alih dari jagaan atau milik tuannya
tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan
atau milik tuannya.
e) Murtad,
iaitu orang yang keluar dari agama Islam, sama ada dengan perbuatan atau dengan
perkataan, atau dengan i`tiqad kepercayaan.
f) Merompak
(hirabah), iiatu keluar seorang atau sekumpulan yang bertujuan untuk mengambil
harta atau membunuh atau menakutkan dengan cara kekerasan.
g) Penderhaka
(bughat), iaitu segolongan umat Islam yang melawan atau menderhaka kepada
pemerintah yang menjalankan syari`at Islam dan hukum-hukum Islam.
2.
Hukuman Qisas
Hukuman qisas adalah sama seperti hukuman hudud juga, iaitu
hukuman yang telah ditentukan oleh Allah di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith.
Hukuman qisas ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas.
Membunuh dibalas dengan bunuh (nyawa dibalas dengan nyawa),
melukakan dibalas dengan melukakan, mencederakan dibalas dengan mencederakan.
Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman qisas
ialah:
a) Membunuh
orang lain dengan sengaja.
b) Menghilangkan
atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain dengan sengaja.
c) Melukakan
orang lain dengan sengaja. Hukuman membunuh orang lain dengan sengaja wajib
dikenakan hukuman qisas ke atas si pembunuh dengan dibalas bunuh. Firman Allah
s.w.t. yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu menjalankan
hukuman qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati
dibunuh.”
(Surah Al-Baqarah, 2:178)
Hukuman menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota
badan orang lain atau melukakannya wajib dibalas dengan hukuman qisas mengikut
kadar kecederaan atau luka seseorang itu juga mengikut jenis anggota yang
dicederakan dan dilukakan tadi.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat
itu, bahawasanya jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan
hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi
dibalas dengan gigi, dan luka-luka juga hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi
sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa
baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh
Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
(Surah Al-Ma’idah: 45)
3.
Hukuman Diyat
Hukuman diyat ialah harta yang wajib dibayar dan diberikan
oleh penjenayah kepada wali atau waris mangsanya sebagai gantirugi disebabkan
jenayah yang dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsanya. Hukuman diyat adalah
hukuman kesalahan-kesalahan yang sehubungan dengan kesalahan qisas dan ia
sebagai gantirugi di atas kesalahan-kesalahan yang melibatkan kecederaan
anggota badan atau melukakannya.
Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman diyat
ialah:
a) Pembunuhan
yang serupa sengaja.
b) Pembunuhan
yang tersalah (tidak sengaja).
c) Pembunuhan
yang sengaja yang dimaafkan oleh wali atau waris orang yang dibunuh. Firman
Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan
dari saudaranya (pihak yang terbunuh) maka hendaklah (orang yang mengampunkan
itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan si pembunuh pula
hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang
demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta satu rahmat
kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam
pula) maka baginya azab siksa yang tidak terperi sakitnya.”
(Surah Al-Baqarah, 2:178)
4.
Hukuman Ta`zir
Hukuman ta`zir ialah kesalahan-kesalahan yang hukumannya
merupakan dera, iaitu penjenayah-penjenayah tidak dijatuhkan hukuman hudud atau
qisas. Hukuman ta`zir adalah hukuman yang tidak ditentukan kadar atau bentuk
hukuman itu di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith.
Hukuman ta`zir adalah dera ke atas penjenayah-penjenayah
yang telah sabit kesalahannya dalam mahkamah dan hukumannya tidak dikenakan
hukuman hudud atau qisas kerana kesalahan yang dilakukan itu tidak termasuk di bawah
kes yang membolehkannya dijatuhkan hukuman hudud atau qisas.
Jenis, kadar dan bentuk hukuman ta`zir itu adalah terserah
kepada kearifan hakim untuk menentukan dan memilih hukuman yang patut dikenakan
ke atas penjenayah-penjenayah itu kerana hukuman ta`zir itu adalah bertujuan
untuk menghalang penjenayah-penjenayah mengulangi kembali kejahatan yang mereka
lakukan tadi dan bukan untuk menyiksa mereka.
Tujuan Hukuman Hudud, Qisas, Diyat
dan Ta’zir
Hukuman hudud, qisas, diyat dan
ta`zir diperuntukkan dalam qanun jinayah syar`iyyah adalah bertujuan untuk
menjaga prinsip perundangan Islam yang tertakluk di bawahnya lima perkara:
1. Menjaga
agama, iaitu menjaga aqidah orang-orang Islam supaya tidak terpesong dari
aqidah yang sebenar dan tidak menjadi murtad. Orang yang murtad akan disuruh
bertaubat terlebih dahulu dan sekiranya dia enggan bertaubat maka hukuman bunuh
akan dikenakan ke atas mereka. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Sesiapa yang menukar agamanya (murtad), maka bunuhlah dia.”
(Riwayat Bukhari)
2. Menjaga
nyawa, iaitu menjaga jiwa seseorang dari dibunuh termasuklah menjaga anggota
tubuh badan seseorang dari dicederakan atu dirosakkan. Sesiapa yang membunuh
manusia atau mencederakan anggota tubuh badan mereka itu dengan sengaja wajib dijatuhkan
hukuman qisas atau diyat sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dan di dalam hukum qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu,
wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu bertaqwa.” (Surah
Al-Baqarah, 2:179)
3. Menjaga
akal fikiran, iaitu memelihara akal fikiran manusia dari kerosakan disebabkan
minum arak atau minuman-minuman yang memabukkan. Mereka yang meminum arak wajib
dijatuhkan hukuman sebat tidak lebih dari lapan puluh kali sebat sebagaimana
yang telah diriwayatkan oleh Saiyidina Ali di dalam sebuah hadith yang
bermaksud:
“Rasulullah s.a.w. telah menyebat orang yang minum arak
sebanyak empat puluh kali sebat, dan Saiyidina Abu Bakar telah menyebat empat
puluh kali sebat juga, dan Saiyidina Umar menyebat sebanyak lapan puluh kali .
4. Menjaga
keturunan, iaitu memelihara manusia dari melakukan perzinaan supaya nasab
keturunan, perwalian dan pewarisan anak-anak yang lahir hasil dari persetubuhan
haram itu tidak rosak. Orang yang melakukan perzinaan wajib dijatuhkan hukum
sebat dan rejam sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya yang
diriwayatkan daripada `Ubadah bin As-Somit r.a. yang bermaksud:
“Ambillah peraturan daripada aku, ambillah peraturan
daripada aku. Sesungguhnya Allah telah memberi jalan untuk mereka. Perawan
dengan jejaka yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat, dan
dibuang negeri selama setahun. Dan janda dengan janda yang berzina hukumannya
disebat sebanyak seratus kali sebat dan direjam.”
(Riwayat Muslim dan Abu Daud)
5. Menjaga
harta benda, iaitu memelihara harta benda manusia dari dicuri dan dirompak
dengan menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri, dan menjatuhkan
hukuman mati atau potong tangan dan kaki kedua-duanya sekali atau dibuang
negeri ke atas perompak. Hukuman ini tertakluk kepada cara rompakan itu
dilakukan sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dan orang lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri
maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa
yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah.
Dan (ingatlah) Allah maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Ma’idah: 38)
Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud:
“Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan
RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi (melakukan keganasan
merampas dan membunuh orang di jalan ) ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka
membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh
dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau
mereka merampas sahaja, atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu
ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia
bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab siksa yang amat besar.”
(Surah Al-Ma’idah: 33
No comments:
Post a Comment