Aurat Wanita : Apa
Sudah Jadi ?
Oleh
Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman
Semasa saya memberikan kuliah
kepada satu kumpulan wanita yang terdiri dari golongan professional termasuk
para Datin di satu daerah, ketika itu, sedang heboh isu wanita seksi ditangkap
di sebuah kelab malam. Lalu timbul isu hak peribadi wanita untuk memakai apa
jua pakaian yang diingininya, termasuk yang seksi. Lalu, semasa kuliah ini saya
mengambil peluang bertanya kepada kumpulan wanita ini soalan mudah berikut :-
"Apakah agaknya sebab
wanita ingin memakai seksi dikhalayak ramai? Dengan skirt pendek, atau baju
sendat dan nipis?"
Ada di antara mereka mula
memberikan pandangan, tetapi kerana terlampau ramai yang bercakap, saya tidak
mendengar butirannya. Apabila saya meminta seorang wakil, seorang menjawab
dengan yakin.
" Untuk nampak cantik
ustaz..." katanya sambil tersenyum malu.
Saya bertanya pula :
"Agaknya kepada siapa nak ditunjukkan kecantikan itu?"
"Tentulah kepada kaum
lelaki ustaz, kaum wanita pun iye juga.." sambungnya.
"Baiklah, jika lelaki
tersebut sudah tergoda dengan kecantikan tu, lalu ingin menyentuh bahagian
indah yang dilihatnya boleh tak ?" Tanya saya menguji.
" Isyh, ustaz ni..
tentulah tak boleh ustaz, dah kira ‘sexual harassment' (gangguan seksual) tu
ustaz" dengan yakin sekali hujjahnya kali ini.
"Jika demikian, tidakkah
para wanita merasakan, tindakan mereka yang memaparkan bahagian yang menarik di
tubuh mereka itu juga merupakan gangguan seksual kepada lelaki?" Tambah
saya.
" Erm, macam mana tu
ustaz?" Tanya mereka dengan nampak sedikit bingung sambil berkerut dahi.
"Ye la, bila orang lelaki
yang dah naik syahwatnya tu, kerana kecantikan peha wanita tu contohnya, mestilah
terganggu syahwatnya, lalu terdetik keinginan seksualnya secara tidak
terkawal" .."Kerana itu saya katakan berpakaian seksi adalah suatu
bentuk gangguan seksual kepada orang lelaki di sekelilingnya"
"Cuba bayangkan, kucing
yang lapar diacah-acah dengan ikan ‘fresh' yang digoyang-goyankan di hadapannya
tentu geram kucing tu, malah silap haribulan, tentu diterkamnya muka orang yang
mengacah juga" Tambah saya lagi memberi keyakinan.
"Tapi perlu diingat, tak
semua kucing akan terkam, hanya yang amat lapar dan liar je, demikian juga
lelaki, tak semua lelaki gagal kawal nafsunya, tetapi tak dinafikan bahawa
ramai juga yang gagal dan liar"
"Akhirnya, kerana suasana
yang tak sesuai, mungkin kerana ramai orang dan di tempat awam pula,
terselamatlah wanita seksi itu dari terkaman lelaki liar tadi. Masalahnya,
anak-anak perempuan kecil berumur 7 hingga 12 tahun yang mungkin menjadi mangsa
tempiasan nafsu lelaki begini. Dan di ketika itu, samada wanita itu bertudung,
berjubah, kanak-kanak dan sebagainya tidak lagi mampu menahan nafsu si lelaki
seperti ini, asalkan suasana cukup sesuai (sunyi dan jauh dari pandangan
ramai), akan dilepaskan nafsunya secara kekerasan" Terang saya dengan
panjang lebar, mereka mengganguk dengan wajah serius kali ini.
Lebih terangnya, sama-sama
fikirkan adakah jika para wanita yakin bahawa jika anda berada di hadapan
Baginda SAW hari ini, adakah Rasulullah akan tersenyum atau sebaliknya? . Jika
sebaliknya, bagaimana pula peluang wanita seperti ini untuk mendapat Syafaat
Nabi SAW di akhirat kelak?. Benar, mungkin sesoerang wanita itu berjaya meraih
pandangan istimewa dari kaum lelaki hasil pendedahan kecantikannya yang
memukau. Tapi keseronokan itu hanyalah palsu dan sementara sahaja, serta tidak
menambah sebarang nilai buat kehidupan kekal di Barzakh dan Akhirat selain
menambahkan tahap azab sahaja. Apa yang jelas, pakaian yang ditunjukkan oleh
wanita Arab yang solehah dengan penutupan aurat yang sempurna di zaman ini
sudah tentu boleh memberi sedikit info kepada kita bahawa inilah mugkin pakaian
yang dipakai oleh wanita Islam di zaman Nabi serta mendapat redha dari mata dan
hati baginda SAW. Tidakkah para wanita hari ini juga berminat meraih redha dari
mata dan hati baginda SAW?.
BENARKAH MENUTUP AURAT
DAPAT MENGELAK DARI WANITA DISAKITI?
Ramai wanita professional dan
yang kurang didikan agama hari ini mencebik bibirnya apabila tajuk ini
disebutkan, mereka tidak percaya langsung fakta yang saya sebut diatas. Malah
ada yang berpendapat lelaki sengaja melakukan perkara buruk kepada wanita kerana
ingin menunjukkan kekuasaannya terhadap wanita. Kerap benar saya dengar hujah
ini di media massa.
Hakikatnya, sebagai hamba Allah
SWT dan umat Rasulullah SAW kita diajar untuk merujuk Al-Quran dan Al-Hadith
bagi mendapat kepastian tentang baik buruk dan benar salahnya sesuatu perkara
itu. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman :-
"Hai Nabi!
Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri
orang mu'min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas
(muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali
(sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu." (al-Ahzab: 59)
Jilbab, iaitu pakaian yang
lebarnya semacam baju kurung untuk dipakai oleh kaum wanita bagi menutupi tubuh
badannya. Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menerangkan "Sebahagian perempuan
Jahiliah apabila keluar rumah, mereka suka menampakkan sebahagian
kecantikannya, misalnya dada, leher dan rambut, sehingga mereka ini diganggu
oleh laki-laki fasik (jahat) dan yang suka berzina, kemudian turunlah ayat di
atas yang memerintahkan kepada orang-orang perempuan Islam untuk melabuhkan
jilbabnya itu sehingga semua bahagian-bahagian tubuhnya yang boleh membawa
fitnah itu tidak kelihatan. Dengan demikian secara zahirnya pula mereka itu
akan dikenali sebagai wanita yang terpelihara (‘afifah) serta tidak mudah
diganggu oleh orang-orang yang suka kejahatan atau orang-orang munafik.
Jadi jelasnya, bahawa ayat
tersebut memberikan ‘illah (alasan) utama perintah ini adalah kerana bimbang
wanita muslimah diganggu oleh orang-orang fasik dan menjadi perhatian
orang-orang yang suka berzina. Bukanlah ketakutan yang timbul dari perempuan
itu sendiri atau karena tidak percaya kepada mereka, sebagaimana anggapan
sebahagian orang, tetapi ia adalah kerana sebahagian wanita yang suka
menampakkan perhiasannya, berjalan dengan penuh lenggang lengguk dan bicaranya
dibuat-buat manja, sering menarik perhatian nafsu lelaki dan menjadikannya
sasaran orang-orang yang suka berzina. (Petikan dari kitab Al-Halal wal Haram
fil Islam dengan sedikit pindaan)
Ayat ini juga jelas menunjukkan
bahawa salah satu target utama menutup aurat yang diletakkan oleh Allah SWT
adalah sebagai kaedah dan cara terbaik bagi mengelakkan wanita Islam dari
diganggu dan disakiti.
BANTAHAN KAUM WANITA
"Eleh, tetapi hari ini
ramai juga wanita bertudung yang kena rogol, malah setengahnya kena bunuh
dijerut dengan tudungnya pulak, kanak-kanak pun kena rogol dan bunuh. Ini
maknanya, tudung bukan lagi penyelamat la ustaz. Ha..macam mana ustaz nak jawab
tu ?. Hujah balas yang selalu saya dengar bila isu ini ditimbulkan.
"Pernah tak anda merasa
amat marah sepanjang hidup anda ?" Tanya saya kembali.
"Pernah juga ustaz..kenapa
ustaz, apa kaitannya?" Bingung sekali lagi mereka nampaknya.
"Biasanya bila seseorang
itu sedang amat marah, sempat tak agaknya ia berfikir bahaya atau tidak
tindakan yang dibuatnya sebagai contoh; ada orang yang sedang marah kerana
bising tangisan kanak-kanak, maka ditendang (seperti berita yang saya baca di
akhbar baru-baru ini), ditolak jatuh tangga, ditekup wajah kanak-kanak itu
dengan bantal dan macam-macam lagi bagi menghilangkan kemarahan atau gangguan
bising itu, setelah beberapa ketika mungkin baru seolah-olah dia tersedar, lalu
cemas dan mungkin menyesal"
"Demikianlah juga nafsu
jahat, bila ia berada di tahap tinggi, ia tidak lagi melihat samada kepada
pakaian dan umur wanita mahupun isteri orang dihadapannya, sasarannya hanya
mendapatkan hajat jahatnya, kerana itulah wanita yang menutup aurat dengan
sempurna serta kanak-kanak perempuan juga terancam, tanpa dapat dinafikan juga
peranan vcd, laman, akhbar, majalah dan novel lucah " terang saya.
"Tapi macam mana pulak
ayat tadi kata tutup aurat dapat mengelakkan wanita dari disakiti ?" Balas
mereka dengan penuh minat kali ini.
"Jika kita lihat dengan
teliti, ayat tadi sebenarnya ditujukan kepada seluruh kaum wanita. Ini
bermaksud, jika sebahagian besar wanita tidak mentaatinya dan memakai pakaian seksi pula.
Di ketika itu, faedah dan kebaikan dari tutup aurat bagi menjaga semua kaum
wanita dari disakiti secara umum akan tergugat dariu mencapai matlamat umumnya.
Sebenarnya, ayat itu nak beritahu bahawa seluruh wanita bertanggung jawab
menjaga keselamatan kaum sejenisnya dengan menjaga aurat masing-masing"
Jelas saya
"Maka bila ada yang seksi,
ini bermakna, ia sedang mengancam kaum sejenisnya yang lain dan di tempat lain
kerana telah menghidupkan nafsu kebinatangan lelaki jahat yang sedang
tidur"
PENGALAMAN MENUMPANG
KE MASJID
Saya masih ingat, dalam
perjalanan ke Masjid untuk menunaikan solat Jumaat di sebuah Masjid di Ibu
Negara. Pejabat saya di Jalan Sultan Ismail dan pada hari tersebut saya
menumpang kereta seorang rakan. Bersama kami beberapa rakan sekerja yang
lain. Tiba-tiba semasa berada di lampu trafik, tiba-tiba suasana dalam kereta
agak bising dengan bunyi.. uiiiii.. oii... peh.. mengancam... dan sebagainya,
diikuti dengan kata-kata :
"Astaghfirullah..korang
ini teruk betul la, kan ustaz ada dengan kita ini.." Kemudian
"disambut dengan kata rakan di belakang, ye la..ini la yang bagus kita
pergi masjid dengan ustaz, terjaga sikit"
Anda tentu dapat menggagak apa
yang dilihatnya? Alhamdulilllah saya tidak sempat melihat apa-apa kerana sedang
membelek pelbagai mesej soalan hukum hakam tertunda yang memenuhi telefon
bimbit saya. Bila saya tanya, kenapa? dengan malu-malu mereka menyalahkan
sesama sendiri akibat ‘gatal mata' melihat skirt-skirt pendek wanita KL, samada
wanita Melayu mahupun Cina disekitar kawasan segitiga emas itu.
Cuba bayangkan, perasaan
lelaki-lelaki ini. Mereka dalam perjalanan ke masjid, semuanya juga telah
berumah tangga, tapi nafsu masih teransang apabila didedahkan kepada
permandangan seperti itu. Jahatkah mereka?
"Gatal dan dah miang
sangat kot orang lelaki ni, memang teruk mereka ni, tak sangka, harap suami
kita tak macam ni" mungkin itulah yang akan dikatakan oleh sebahagian
besar pembaca wanita sekarang ini.
Tapi itulah cabaran terbesar
lelaki wahai kaum wanita, iaitu ANDA, wanita dan seluruh kecantikan yang
dikurniakan Allah SWT kepadanya sebagai ujian, ia disebutkan oleh Allah SWT :
زين للناس حب الشهوات من النساء
والبنين ..
"Dihiaskan
(diuji) bagi manusia itu, nafsu syahwat dan keinginan serta kecintaan kepada
wanita, anak-anak, harta..."
Ayat ini dengan jelas menyebut
syahwat utama lelaki adalah pada wanita. Nabi SAW juga pernah bersabda :
ما تركت بعدي فتنة أضر على
الرجال من النساء
Ertinya : "Tidak
aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki
selain wanita" (Riwayat Al-Bukhari, 7/11, bab Zikir & Doa )
ANTARA LAWAK &
HUKUM
Saya juga masih ingat, sewaktu
di tempat lama, rakan-rakan sepejabat sering kali apabila mereka terlihat aurat
wanita sebegini akan disebut .. "tak pe ustaz kan, pandangan pertama tak
berdosakan?". Sedih saya melihat sikap sebahagian umat Islam hari ini yang
kerap mempermainkan hukum hakam akibat kejahilan mereka.
Sebuah hadith : "Dari Jarir bin Abdullah, ia
berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w. tentang melihat (aurat wanita)
secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu
itu!" (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi) - Iaitu, Jangan kamu
ulangi melihat untuk kedua kalinya sebagainya datang dalam hadith Nabi kepada
Sayyidina Ali r.a.
Apabila ia adalah sebuah hukum,
maka adalah tidak harus sama sekali sesiapa juga mempermainkan apa jua
berkaitan dengannya. Nabi SAW bersabda :-
ان العبد ليتكلم بالكلمة ما
يتبين فيها يزلّ بها إلى النار أبعد مما بين المشرق والمغرب
Ertinya : "
Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa
mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh
mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat"
( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)
KESILAPAN KERAP WANITA
TENTANG AURAT
Ketika ini, saya mengambil masa
sekitar satu jam untuk ke pejabat, memandu kereta dari Puchong ke Jalan Sultan
Ismail. Setiap hari, laluan jalan pergi dan pulang ini akan mempamerkan
kejahilan wanita Islam hari ini tentang penutupan aurat. Di manakah kesilapan
penutupan aurat wanita hari ini ?. Jawabnya seperti berikut :-
KESALAHAN PERTAMA :
Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
KESALAHAN KEDUA :
Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan pendek.
KESALAHAN KETIGA :
Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.
KESALAHAN KEEMPAT :
Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk
kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.
KESALAHAN KELIMA :
Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
KESALAHAN KEENAM :
Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah,
pasaraya dan sebagainya.
KESALAHAN KETUJUH :
Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya
dari ditutupi kain tudung.
KESALAHAN KELAPAN :
Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul,
leher, tengkuk dan dadanya.
Sebahagian wanita menyangka
bahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama
sekali. Asasnya adalah dari firman Allah SWT: ertinya :
"Hendaknya mereka
itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan JANGANLAH KAMU MENDEDAHAKN
AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI APA YANG TERZAHIR." (an-Nur: 31)
Pengertian khumur (tudung),
iaitu semua alat yang dapat dipakai untuk menutup kepala. Sedang apa yang
disebut ‘juyub' kata jama' (bentuk plural) dari kata jaibun, yaitu belahan dada
yang terbuka, tidak tertutup oleh pakaian/baju.
Setiap perempuan Islam wajib
menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian dadanya termasuk juga leher,
sehingga semua tempat-tempat yang boleh membawa fitnah tertutup dari perkara
yang memungkinkan dilihat oleh orang-orang yang jahat hatinya.
Menurut Syeikh Dr Yusof
Al-Qaradawi yang dimaksud perhiasan perempuan dalam ayat itu pula, iaitu apa
saja yang dipakai berhias dan untuk mempercantik tubuh, baik berbentuk ciptaan
asli seperti wajah, rambut dan potongan tubuh, ataupun buatan seperti pakaian,
perhiasan, make-up dan sebagainya.
Dalam ayat di atas Allah
memerintahkan kepada orang-orang perempuan supaya menyembunyikan perhiasan
tersebut dan melarang untuk dinampak-nampakkan. Allah tidak memberikan
pengecualian, melainkan apa yang terzahir. Oleh karena itu para ulama kemudian
berbeza pendapat tentang erti apa terzahir itu serta ukurannya.
Misalnya sahabat besar Nabi
seperti Ibnu Abbas r.a, ia berkata dalam menafsirkan apa yang terzahir itu
adalah : celak dan cincin.
Yang berpendapat seperti ini
ialah sahabat Anas Bin Malik. Justeru, harus dilihat celak dan cincin wanita,
bererti boleh dilihatnya juga kedua tempatnya pemakaiannya, iaitu muka dan
kedua tapak tangan. Demikianlah apa yang ditegaskan oleh ulama Tabien seperti
Said bin Jubair, 'Atha', Auza'i dan lain-lain.
Bagaimanapun Ummul Mukminin
Aisyah r.a, Qatadah dan lain-lain menisbatkan gelang sebagai perhiasan yang
boleh dilihat. Dengan demikian, maka tempat letak gelang iaitu di pergelangan
tangan adalah dibolehkan jika tiada fitnah. Tetapi berkenaan batasnya dari
pergelangan sampai ke siku, masih diperselisihkan. Seeloknya di jauhi dari
mendedahkannya.
Menurut Syeikh Al-Qaradawi
juga, ini tidak sama dengan make-up dan cat-cat yang biasa dipakai oleh
perempuan-perempuan zaman sekarang untuk memakai gincu dan bedak merah di pipi
serta kuku. Make-up ini semua termasuk berlebih-lebihan yang sangat tidak baik,
yang tidak boleh dipakai kecuali di dalam rumah. Sebab perempuan-perempuan
sekarang memakai itu semua di luar rumah, adalah untuk menarik perhatian
laki-laki. Jadi jelas hukumnya adalah haram.
Namun, kiranya sesempurna
mungkin seorang muslimah harus bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan
perhiasannya, termasuk wajahnya itu sendiri kalau mungkin, demi menjaga
meluasnya kerusakan dan banyaknya kefasikan di zaman kita sekarang ini.
Lebih-lebih kalau perempuan tersebut mempunyai paras yang cantik yang sangat
dikawatirkan akan menimbulkan fitnah.
"Dan hendaknya
mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali terhadap
suami atau ayahnya." (an-Nur: 31)
Kesemua jenis berpakaian yang
disebut tadi adalah diharamkan secara sepakat seluruh Ulama Islam. Pengarahan
ini tertuju kepada perempuan-perempuan mu'minah, dimana mereka dilarang keras
membuka atau menampakkan perhiasannya yang seharusnya disembunyikan, misalnya:
perhiasan telinga (anting-anting), perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher
(rantai), perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang
kaki). Semuanya ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki lain. Mereka hanya
boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada rukhsah untuk
dinampakkan.
Amat jelas dari dalil al-Quran
dan al-Hadith bahawa Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang
membentuk dan nipis sehingga nampak kulitnya. Termasuk diantaranya ialah
pakaian yang dapat menampakkan bahagian-bahagian tubuh, khususnya tempat-tempat
yang membawa fitnah, seperti: buah dada, paha, dan sebagainya.
Dalam hadisnya yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ada dua golongan
dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang
membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa
yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang,
yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada
perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan
boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau
syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat
Muslim)
Mereka dikatakan berpakaian,
karena memang mereka itu melilitkan pakaian pada tubuhnya, tetapi pada
hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup aurat, karena itu mereka
dikatakan telanjang, karena pakaiannya terlalu tipis sehingga dapat
memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan pakaian perempuan sekarang ini.
( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof Al-Qaradawi)
‘Bukhtun' adalah salah satu
macam daripada unta yang mempunyai kelasa (punuk) besar; rambut orang-orang
perempuan seperti punuk unta tersebut karena rambutnya ditarik ke atas.
Disebalik keghaiban ini,
seolah-olah Rasulullah melihat apa yang terjadi di zaman sekarang ini yang kini
diwujudkan dalam bentuk dandanan rambut, dengan pelbagai macam bentuk dalam
salon-salon kecantikan, lebih parah pula apabila kaum lelaki pula yang bekerja
di salon seperti ini
Larangan Nipis
Saidatina Aisyah r.a
meriwayatkan, saudaranya iaitu Asma' binti Abubakar pernah masuk di rumah Nabi
dengan berpakaian jarang sehingga tampak kulitnya. Kemudian baginda SAW
berpaling dan mengatakan:
"Hai Asma'!
Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup umurnya), tidak patut
diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini -- sambil ia menunjuk muka
dan dua tapak tangannya." (Riwayat Abu Daud)
Walaupun terdapat perawi lemah
dari hadis, tetapi diperkuat dengan hadis-hadis lain yang membolehkan melihat
muka dan dua tapak tangan ketika diyakini tidak akan membawa fitnah.
Dr Yusof Al-Qaradawi menegaskan
bahawa melihat secara normal kepada wanita atau lelaki, kepada selain aurat,
selama tidak dilakukan dengan syahwat dan berulang-ulang, hukumnya adalah halal.
(Al-Halal Wal Haram Fil Islam)
KESALAHAN KESEMBILAN :
Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.
Diriwayatkan dalam sebuah
Hadith :-
يرحم الله المتسرولات
Ertinya : Allah
sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah
dalamnya) (Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak,
no 5043; Kanzul Ummal, no 41245) .
Menurut Imam Mujahid, hadith
ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita jatuh dari kenderaannya sehingga
terselak kainnya di hadapan Nabi dan para sahabat, maka dengan segera Nabi SAW
memalingkan wajahnya, maka para sahabat berkata dia (wanita itu) memakai
seluar. Lalu sebagai respond Rasulllah SAW memuji dan menyebut hadith di atas.
( Al-Bayan wa At-Ta'rif, Ibn Hamzah al-Husyani, 3/ 252, no 1831)
Berdasarkan dalil ini juga,
bermakna Allah sentiasa melaknati wanita yang tiadk berseluar panjang (di
sebelah dalamnya) semasa naik kenderaan. Demikian menurut kaedah Mafhum
Mukhalafah di dalam ilmu Usul Fiqh.
KESALAHAN KESEPULUH : Bertudung dan sempurna
penutupan aurat tubuhnya tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi
dengan lelaki. Samada menyanyi mahupun bernasyid. Tiada dakwah yag sesuai
buat wanita menerusi nyanyian kerana sesaat sahaj ia berada di atas pentas
dengan pakaian canggihnya, seribu mata lelaki yang memandangnya..kita tidak
tahu dimanakah mata lelaki itu memandang. Suaranya yang merdu juga membuatkan
lelaki yang rosak hatinya akan dibuai nafsu, walaupun penasyid wanita itu
sedang mendendangkan lagu ketuhanan.
Larangan ini datang
dari Firman Allah SWT : "Janganlah perempuan-perempuan itu berlaku lemah
dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada
penyakit." (al-Ahzab: 32)
TUJUAN TUNTUTAN
MENUTUP AURAT
Berdasarkan dalil Al-Quran dan
al-Hadith, amat jelas bahawa isu aurat bukanlah isu remeh dan cabang. Ia adalah
termasuk dalam katergori hukum qati'e dan usul. Malah ia juga merupakan salah
satu dosa utama yang amat diperjuangkan oleh Syaitan. Ini adalah kerana, dengan
terbukanya aurat, maka ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina,
mengandung anak luar nikah, bercerai suami isteri akibat curang, membunuh anak
luar nikah, putusnya hubungan keluarga dan pelbagai lagi. Perihal Syaitan
mensasarkan dosa 'buka aurat' ini sebagai dosa pilihan utamanya ada disebutkan
dalam Al-Quran dari firman Allah ertinya :-
" Maka Syaitan
membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya
yang tertutup dari mereka iaitu auratnya .." Al-A'raf : 20)
Ringkasnya, antara tujuan utama
diwajibkan umat Islam lelaki dan wanita untuk menutup aurat adalah :-
a) Perbezaan
dengan binatang.
Allah SWT berfirman :
" Wahai anak
Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu
dan untuk perhiasan" ( Al-A'raf : 26)
Amat jelas dari ayat ini,
penutupan aurat ditujukan kepada sesiapa sahaja yang termasuk dalam kategori
anak Adam iaitu manusia. Justeru barangsiapa yang berpaling dari arahan ini,
secara langsung ia menjatuhkan tahapnya selari dengan binatang yang tiada cukup
kemampuan dan aqal bagi menjalankan arahan penutupan aurat.
b) Agar
kaum wanita tidak disakiti
Ia berdasarkan ulasan yang telah saya buat
sebelum ini bersandarkan firman Allah SWT dari surah Al-Ahzab ayat 59.
c) Tanda
atau seperti uniform kepada penganut agama Islam.
Ia juga boleh difahami dari surah Azhab ayat
59 tadi apabila Allah SWT menyebut : « .. yang demikian itu lebih memastikan mereka agar
dikenali (sebagai wanita Islam).. »
Dari sini jelas, menunjukkan salah satu fungsi
tutupan aurat juga adalah sebagai syiar diri sebagai penganut Islam. Firman
Allah : « Barangsiapa
yang membesarkan syiar Allah maka ia adalah dari tanda ketaqwaan hati »
d) Tanda
profesionalism dalam sistem pemakaian Islam.
Kita dapat memerhati bagaimana
‘trend' sesebuah organisasi atau restoran hebat hari ini pasti meletakkan
‘dress code' tertentu bagi kakitangannya dan para tetamunya. Ia pastinya
bertujuan penjagaan standard khas bagi organisasi dan restoran itu di tahap tertentu.
Sebagai contoh, kita tidak akan dapat melihat individu berselipar Jepun di
sebuah Persidangan Antarabangsa di PICC, Putrajaya mahupun di kalangan
kakitangan PETRONAS di pejabat mereka di Menara Berkembar. Semua menjaga
‘standard' berbanding Tauke kedai runcit yang tidak beruniform.
Justeru, Islam adalah satu agama dan cara
hidup yang profesional pastinya begitu lengkap menyediakan panduan melengkapi
setiap sudut kehidupan manusia. Dari hal-hal yang sulit seperti urusan di dalam
tandas hinggalah ekonomi dan kenegaraan. Walaupun demikian, Islam tidak
mengarah umatnya membuat perkara yang tidak rasional, justeru, sudah tentu
‘standard' pemakaian yang diletakkan ini tidak membebankan bahkan ia amat
bertepatan dengan logik aqal manusia yang sihat.
e) Sebagai
ujian bagi manusia untuk melihat tahap ketaatan mereka kepada Allah SWT.
Saya kira hal ini amat jelas, dari firman
Allah ertinya : Dijadikan hidup dan mati adalah untuk menguji siapakah yang
terlebih baik amalannya" (Al-Mulk : 2)
DON'T JUDGE A BOOK BY
ITS COVER
Ungkapan ini kerap saya
dengari, saya yakin anda juga mungkin kerap mendengarnya. Kata-kata dari wanita
yang tidak menutup aurat yang sering mendakwa bahawa hatinya baik dan suci
walaupun ia berpakaian seksi serta mendedahkan aurat.
"Orang wanita bertudung
pun banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi"
Katanya memberi buah fikirannya.
"Malah, kami juga baik,
kami tak kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok" tambah
wanita ini lagi.
Benarkah hujjah mereka?.
Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di dalam Islam ?. Ada juga yang sudah
semakin ‘advance' hujahnya lantas berhujjah dengan sebuah maksud hadith Nabi
yang sohih iaitu :
"Sesungguhnya
Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat
kepada hati dan amalan kamu" (Riwayat Muslim)
Simpati bercampur kesal saya
mendengar bagaimana terdapat orang yang sewenangnya berhujjah dengan hadith
untuk menyokong nafsunya. Hanya digunakan Islam dalam hal yang selari dengan
kehendaknya sahaja.
"Seorang pekerja yang
dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game' semasa waktu kerjanya sedangkan
dokumen yang dipinta si boss masih tidak disiapkan, lalu si majikan berkata:
"Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerja kalau begini sikap kamu"
Lalu jawab si pekerja : "
Saya luaran je nampak main ‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja
dengan cemerlang"
Adakah anda rasa si boss boleh
menerima cakap pekerjanya itu ?. Adakah Allah SWT boleh mengganggap hati
seseorang itu suci dan baik dengan melanggar perintahNya ?
Hakikatnya, sesuatu untuk baik
dan suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah dan RasulNya, bukannya
neraca pemikiran kita semata-mata. Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi SAW
pernah bersabda ertinya :
"Ketahuilah,
bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik
maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu,
ketahuilah, ia adalah hati" (Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadith ini, menurut
neraca Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat di peringkat pertamanya dari
tindak tanduknya. Ertinya, bila tindakannya sentiasa menyalahi kehendak dan
hukum yang diletakkan Islam, ia adalah tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan
luarannya pula bertepatan dengan kehendak Islam, maka adalah harus ianya
dianggap baik pada peringkat pertama iaitu neraca luaran orang ramai, adapun
baik di peringkat kedua adalah samada hatinya bertujuan kerana Allah ata
selainnya seperti sekadar menunjuk-nunjuk sahaja.
Justeru, 'we can judge a book
by its cover in certain cases' iaitu apabila perkara asas Islam dilanggar, maka
sudah tentu ‘that cover is reflecting what's inside the heart of a person'.
Menghukum berdasarkan yang
zahir ini bertepatan dengan hadith :
إنما أنا بشر , وإنكم تختصمون
إلىّ , ولعلّ بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض , فأقضي بنحو ما أسمع , فمن قضيت له
من حق أخيه شيئاَ فلا يأخذه , فإنما أقطع له قطعة من النار
Ertinya : Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes
pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap
berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman
berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman
dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar
dalam berhujjah), maka jangalah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal
menjadi sepotong api neraka"
(Riwayat
Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )
Hadith ini dengan jelas
menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan info dan
bukti zahir yang diberikan. Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa
menutupnya adalah tanda keingkaran hati terhadap arahan Allah. Mana mungkin
hati begini boleh dianggap baik oleh Islam.
Kaum wanita perlu menyedari
bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh
dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan
mendaat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua
lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya
dengan pembukaan aurat di satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW
من سن في الإسلام سنة سيئة فعليه
وزرها ووزر من عمل بها من غير أن ينقص شيئاً
Ertinya : Sesiapa yang
mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang
membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya.."
( Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )
Termasuklah dalam erti
mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu,
yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga
mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang
sebegini boleh dikira baik ? setelah gunungan dosa mengaratkan
hatinya ?.
Sesungguhnya Allah itu maha
adil dan maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan
mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali ;
Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan Neraka
juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih seolah
meraguinya. ?
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
No comments:
Post a Comment