KERANA CINTA, MASYITAH DIREBUS
Barangsiapa
yang ingkar akan diseksa dan dibunuh. Begitulah kejamnya Firaun dan
kerajaannya. Namun begitu terdapat beberapa orang yang telah sedar dan beriman
kepada Allah di antaranya Siti Asiah, isteri Firaun dan keluarga Masyitah.
Masiytah adalah pelayan raja dan lebih terkenal sebagai tukang sisir Firaun.
Mereka terpaksa menyembunyikan iman mereka kepada Allah agar dengan itu mereka
tidak diganggu.
Tetapi
pada suatu hari, sewaktu Masyitah sedang menyisir rambut salah seorang daripada
puteri Firaun, tiba-tiba sisir itu terjatuh dan dia dengan tidak sengaja
melatah dan menyebut "Allah".
Puteri tersebut apabila mendengar perkataan "Allah", dia pun bertanya kepada Masyitah
siapakah "Allah" itu. Masyitah pada mulanya enggan
untuk menjawab pertanyaan itu tetapi setelah didesak berkali-kali, Masyitah
memberitahu bahawa Allah itu adalah Tuhan yang Esa dan Tuhan sekalian alam.
Puteri
itu dengan serta merta mengadu pada Firaun akan hal Masyitah itu. Dan Firaun
agak terperanjat bila mendengar Masyitah menyembah Tuhan selain daripadanya.
Maka Firaun dengan kekuasaan yang ada padanya telah memerintahkan menterinya
yang bernama Hamman untuk membunuh Masyitah dan kaum keluarganya yang telah
menyembah Allah. Firaun sedikit pun tidak mengenang jasa Masyitah terhadap
keluarganya.
Selain
menjadi tukang sisir, Masyitah juga mengasuh dan menguruskan istana Firaun.
Tetapi tanpa siasat dan kejam Firaun menjatuhkan hukuman kepada Masyitah.
Inilah masanya untuk menguji Masyitah, seorang wanita yang lemah fizikalnya
tetapi memiliki kekuatan jiwa yang luar biasa. Beliau dengan lapang dada
menerima apa sahaja yang hendak dilakukan oleh manusia yang tidak berhati perut
itu. Hamman telah memaksa pengawal-pengawalnya untuk menyediakan sebuah kawah
yang besar untuk untuk mencampakkan Masyitah dan keluarganya yang ingkar dengan
Firaun seandainya mereka tidak mahu kembali kepada Firaun.
Masyitah
bersama dengan suami dan empat orang anaknya termasuk seorang anaknya yang
masih bayi dihadapkan ke hadapan Firaun untuk diberi kata dua sama ada hendak
menyembah Firaun atau dicampakkan ke dalam kawah yang berisi air panas yang
mendidih. Maka dengan tegas Masyitah dan suaminya tetap mempertahankan keimanan
mereka dengan mengatakan Allah itulah Tuhan yang Esa dan Firaun hanyalah
manusia biasa.
Dengan
keputusan itu,Hamman dengan tiada rasa peri kemanusiaan mencampak satu persatu
keluarga Masyitah ke dalam kawah yang berisi air panas yang mendidih sambil
ketawa terbahak-bahak dengan nada yang menyindir, Hamman mencampakkan suami
Masyitah dahulu diikuti dengan anak-anaknya yang lain. Masyitah melihat sendiri
dengan mata kepalanya bagaimana anak-anaknya terkapai-kapai di dalam air yang
panas menggelegak itu. Kini tinggal Masyitah dan bayinya yang akan dicampakkan
ke dalam kawah tersebut.
Syaitan
membisikkan ke telinga Masyitah rasa was-was dan kasihan melihat anak-anaknya
yang masih kecil itu diseksa sedemikian rupa. Masyitah mula ragu-ragu sama ada
hendak terjun ataupun tidak. Tetapi dengan kekuasaan Allah,tiba-tiba anak yang
masih baik itu berkata-kata dengan ibunya, Masyitah:
"Wahai ibu,marilah kita menyusul ayah,sesungguhnya syurga sedang menanti kita."
Bila
mendengar kata-kata yang sangat ajaib dari anaknya yang masih bayi itu, dengan
rasa kehambaan dan cinta kepada Allah, Masyitah terjun bersama anaknya ke dalam
kawah yang berisi air panas itu dan matilah mereka sekeluarga demi
mempertahankan iman mereka kepada Allah. Tetapi Allah tidak membiarkan manusia
berbuat durjana sesuka hati. Allah datangkan kepada Firaun, Hamman dan para
pengawalnya yang membunuh Masyitah dengan azab seksa yang sangat pedih.
Allah
runtuhkan kerajaan Firaun dan Hamman mati di dalam runtuhan tersebut. Tentera
dan para pengawalnya ditenggelamkan di dalam dasar laut. Mereka mati di dalam
keadaan kafir. Sebaliknya Masyitah sekeluarga mati di dalam keadaan yang mulia
dan bahagia di dalam syurga. Sewaktu Rasulullah s.a.w Isra' dan Mikraj,baginda
telah melalui sebuah maqam. Dan maqam itu sangat wangi dengan bau kasturi.
Lantas
Rasulullah s.a.w bertanya kepada Jibril yang mengiringinya,maka jawab Jibril
a.s :
"Itulah
maqam Masyitah,salah seorang wanita penghulu syurga."
Begitulah
keistimewaan yang Allah berikan kepada Masyitah. Walaupun tubuhnya dan tubuh
keluarganya hancur, namun di sisi Allah mereka sangat mulia. Wahai wanita yang
mukmin, bersabarlah menghadapi hidup di dunia ini. Kesusahan dan kekurangan,
kata nista manusia dan kejian di dalam membangunkan Islam itu hanyalah
sementara. Bersabarlah dan tenangkan hati dengan banyak mengadu dan
mengharapkan keredhaan Allah.
Kuatkan
imam dan sematkan di dalam hati kecintaan kepada Allah dan Rasul itu melebihi
dari segalanya. Patuh dan taat akan perintah suami, didik anak-anak dengan
Islam.InsyaAllah kita akan selamat di dunia dan akhirat.Marilah sama-sama
mencontohi Masyitah yang sanggup mengorbankan nyawanya dan nyawa keluarganya
demi mendapatkan cinta kepada Allah. Tidakkah kita ingin mengikut jejaknya?
Fikir-fikirkan lah....
No comments:
Post a Comment