REJAB : PENGERTIAN DAN AMALAN
Pengertian
Rejab
bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan
atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab
kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang
di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan
pertumpahan darah di bulan Rejab. Dan bagi umat Islam, kita memperingati dan
memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah
SAW iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj.
Peristiwa
Penting
1. Hijrah Pertama Hijrah ke
Habsyah (Ethiopia)
Pihak musyrikin
Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang
beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang
mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu
Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.Tujuan
hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping
untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda
seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA
dan istrinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk
4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi
dan sikap terbukanya.
2. Isra' dan Mi'raj
Isra' dan Mi'raj
ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam
dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5
waktu dari Allah SWT. Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini,
sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan
pada 17 RabiulAwal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama
mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada
tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.
Menurut Chalil,
1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, ada setengah
ulama mengatakan pada malam tanggal 7 RabiulAwal. Adapun yang terbanyak ialah
golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan
yang kuat.
Tahun berlakunya
juga terdapat perselisihan pendapat ulama, ada sebahagian yang mengatakan pada
tahun ke 5 dari Bi'tsah (tahun mula diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya
berpendapat pada tahun ke 12 dari Bi'tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun
sebelum Nabi hijrah ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ketiga sebelum
hijrah Nabi S.A.W ke Madinah dan ada yang sebahagiannya pula berpendapat lain
dari semuanya itu. Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad
telah mencatatkan dalam kitabnya "At-Tobaqatil Qubra", bahawa berlaku
israk mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi
S.A.W. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu.
3. Perang Tabuk
Tabuk adalah
mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana
Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran
kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan
dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran.
4. Pembebasan Baitul-Muqaddis
Baitul Muqaddis
telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya.
Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah,
umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas
Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah
500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki
Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam
terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul
Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun
1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan
menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.
5. Lahirnya Imam Syafie RH.
Nama sebenar
Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada
tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang
dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan
mazhab Syafie. Diantara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya
dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.
Amalan
Tiada amalan
khusus untuk bulan
Rejab yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW yang dijumpai di dalam mana-mana
hadis shahih. Penulis berpendapat ada hikmahnya kenapa Allah SWT, Rasulullah
SAW dan para sahabat RA tidak memberitahu tarikh dan tahun berlakunya peristiwa
Isra' dan Mi'raj. Rasulullah SAW tidak mahu umatnya menetapkan ibadat-ibadat
tertentu di bulan Rejab khasnya pada hari dan malam berlakunya peristiwa Isra'
dan Mi'raj itu.
Ini
untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang diada-adakan (bid'ah) dan
perbuatan membeza-bezakan kemuliaan satu-satu bulan. Namun begitu ada pendapat
yang meriwayatkan tentang amalan-amalan sunat tertentu seperti solat sunat
Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab. Pendapat ini adalah bersandar kepada
hadis-hadis lemah.
Terlalu
banyak amalan-amalan sunat yang umum yang masih kita belum berkesempatan untuk
mengamalkannya boleh kita praktikkan di bulan Rejab ini sebagai persediaan kita
menjelang Ramadhan al-Mubarak. Diantaranya solat malam, qiamul-lail, puasa
Isnin dan Khamis, tadarrus al-Qur'an dan lain-lain lagi. Di sini penulis ingin
menyarankan agar pada akhir bulan Jamadilakhir khasnya pada 29 Jamadilakhir,
kita bolehlah melatih mata kita untuk menjejaki hilal. Proses melatih mata
untuk merukyah hilal boleh dimulakan 20 minit sebelum Maghrib sehinggalah 20
minit selepas maghrib dengan memerhatikan ufuk Barat sekitar tempat matahari
terbenam. Ini boleh dilakukan dengan mata kasar tanpa menggunakan sebarang alat
kecuali untuk melihat matahari perlukan penapis (solar filter).
Bagi
mereka yang mempunyai teleskop atau teodolite ataupun binocular, inilah masanya
untuk menguji peralatan dan kemahiran masing-masing agar pada hari cerapan
hilal Sya'ban, Ramadhan dan Syawal kita tidak menghadapi masaalah dalam
melakukan cerapan hilal. Dan sebenarnya Rasulullah SAW sendiri amat mengambil
berat tentang kedudukan bulan pada setiap akhir bulan khasnya apabila
menjelangnya bulan Rejab dan bulan-bulan seterusnya.
No comments:
Post a Comment