TIPU DAYA
SYAITAN TERHADAP MANUSIA
Tipu
daya syaitan terhadap manusia supaya meninggalkan ibadat kepada Allah ada tujuh
perkara menurut Imam Ghazali iaitu:
1.
Syaitan melarang manusia taat kepada
Allah. Sedangkan orang-orang yang dipelihara Allah akan menolak ajakannya dan
mengatakan: 'Aku mengharapkan
pahala dari Allah. Untuk itu, aku harus mempunyai bekalan di dunia ini demi
akhirat yang kekal.'
2.
Syaitan sentiasa memujuk manusia agar
tidak mentaati Allah. Dia menghasut manusia dengan mengatakan : 'Nanti sahajalah, kalau sudah tua
nanti barulah, masa masih panjang dan kita masih muda atau sebagainya lagi.' ; Orang-orang yang terpelihara akan
menolaknya dengan mengatakan: 'Kematianku
bukan berada ditanganmu. Jika aku menundakan amalanku hari ini untuk esok,
sehingga amal hari esok perlu aku kerjakan. Sedangkan setiap hari aku mempunyai
amal berlainan.'
3.
Syaitan sentiasa mendorong manusia
untuk bersegera dalam melakukan amalan kebaikan. Kata syaitan: 'Cepat beramal agar engkau dapat
mengejar dan mengerjakan amalan-amalan lain.' ;Orang-orang yang selamat akan
menolaknya dengan mengatakan: 'Amal
yang sedikit tetapi sempurna lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi
tidak sempurna.'
4.
Syaitan akan menyuruh manusia untuk
menjalankan amalan yang baik secara sempurna agar tidak dicela oleh orang lain.
Mereka yang dipelihara oleh Allah akan mengatakan: 'Bagi saya, penilaian cukup hanya dari
Allah swt dan tidak ada manfaatnya beramal kerana manusia (orang lain).'
5.
Syaitan membisikkan pujian kepada
orang yang beramal: 'Betapa
tinggi darjatmu kerana dapat beramal soleh dan betapa cerdik dan sempurnanya
dirimu.' ; Mendengar pujian ini,
orang yang baik akan mengatakan bahawa: 'Semua
keagungan dan kesempurnaan itu hanyalah kepunyaan Allah dan bukan kekuatan atau
kekuasaanku. Allah yang melimpahkan taufik kepadaku untuk dapat beramal
sehingga Dia meredhai dan memberikan pahala yang besar. Sekiranya tanpa
kurniaanNya, apalah erti amalanku ini, jika dibandingkan dengan nikmat Allah
yang telah diberikan kepadaku, disamping dosaku yang bertimbun pula.'
6.
Dengan gagalnya jalan kelima, syaitan
akan menerapkan cara yang keenam. Cara ini lebih berat jika dibandingkan dengan
cara-cara yang terdahulu dan manusia tidak akan menyedarinya kecuali
orang-orang yang cerdik dan berfikir. Syaitan berbisik dalam hati manusia: 'Bersungguh-sungguhlah engkau beramal
dengan sir (kejahatan), jangan sampai diketahui oleh orang lain .' ; Begitulah syaitan mencampur-baurkan
amalan seseorang dengan penipuannya yang sangat tersembunyi. Dengan ucapannya
itu syaitan bermaksud untuk memasukkan sedikit perasaan riak. Orang-orang yang
dipelihara Allah akan menolak ajakannya dengan mengatakan: 'Hai malaun (yang dilaknat), engkau
tidak henti-henti menggodaku dan merosakkan amalanku dengan pelbagai cara. Dan
kini, kau berpura-pura seolah-olah akan memperbaiki amalanku, padahal engkau
bermaksud merosakkannya. Aku adalah hamba Allah dan Allah yang menjadikanku.
Jika berkehendak, Allah akan menjadikan aku mulia atau hina. Semuanya itu
adalah urusan Allah. Aku tidak khuatir, amalanku diperlihatkan atau tidak
kepada orang lain, sebab itu bukan urusan manusia.'
7.
Gagal dengan cara itu, syaitan akan
meneruskan godaannya dengan cara lain lagi. Dia mengatakan: 'Hai manusia, janganlah engkau
menyusahkan diri sendiri dengan beramal ibadat kerana jika Allah telah
menetapkan kamu sebagai orang yang berbahagia pada hari azali kelak, maka
meninggalkan ibadat pun tidak akan memberikan sebarang mudharat. Engkau tetap
menjadi orang yang berbahagia dan sebaliknya jika Allah menetapkan kamu sebagai
seorang yang celaka, maka tidak ada gunanya engkau beribadat kerana engkau
tetap akan celaka.' ;
Orang-orang yang
dipelihara oleh Allah sudah pasti akan menolak godaan itu dengan mengatakan:
'Aku hanyalah hamba Allah. Wajib bagiku menuruti perintahNya. Allah Maha
Mengetahui, menetapkan sesuatu dan berbuat apa sahaja sesuai dengan
kehendakNya. Walau bagaimanapun keadaanku, amalanku tetap bermanfaat. Jika aku
ditetapkan sebagai orang yang berbahagia, aku akan tetap beribadat untuk
memperbanyakkan pahala. Sebaliknya, jika aku ditetapkan sebagai orang yang
celaka, aku akan tetap meneruskan perbuatan ibadat agar tidak menjadi sebuah
penyesalan bagiku. Sekiranya aku masuk neraka, padahal aku taat, itu adalah
lebih aku sukai daripada aku masuk neraka kerana melakukan maksiat.
Tetapi tidak akan demikian akibatnya kerana janji Allah pasti terbukti dan firmanNya pasti benar ;Allah telah menjanjikan pahala kepada sesiapa sahaja yang taat kepadaNya. Barangsiapa mati dalam keadaan beriman dan taat kepada Allah, dia tidak akan dimasukkan ke dalam neraka, melainkan syurgalah tempatnya. Jadi, masuknya seseorang ke dalam syurga bukan kerana kekuatan amalan yang telah didirikan, tetapi kerana janji Allah yang suci murni dan pasti! Kelak, orang-orang yang berbahagia dan beruntung akan mengatakan; Segala puji bagi Allah yang membuktikan janjiNya dengan syurga, Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada kita.'
Sesungguhnya dalam mentaati Allah, terlalu banyak godaan dan tipu daya syaitan yang perlu kita lalui. Bandingkan segala permasalahan dan perbuatan kepada keadaan tersebut dan pohonlah perlindungan Allah swt agar terlindung dan terpelihara dari kejahatan syaitan. Sesungguhnya segala sesuatu itu berada di bawah kekuasaan Allah dan kepadaNyalah kita mengharapkan taufiq dan keredhaan. Tiada daya untuk meninggalkan maksiat dan tidak ada kekuatan untuk mengerjakan ketaatan kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha Luhur dan Maha Agung.
No comments:
Post a Comment