KENAPA
DUNIA ISLAM MENJADI SASARAN PEMUSNAHAN?
Maksud Hadith : “Daripada Ummul Mukminin, Zainab bt Jahshi
isteri Rasulullah s.a.w., beliau berkata; (pada suatu hari) Rasulullah s.a.w.
masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, Lailahaillallah,
celaka (binasa) baki bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hamper
menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding yakjuj dan makjuj
seperti ini”, dan baginda menemukan hujung ibu jari dan hujung jari yang
sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya
(Zainab bt Jahshi) lalu bertanya : “Ya Rasulullah! apakah kami akan binasa
sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?” Lalu Nabi s.a.w.
bersabda : “Ya, jikalau kejahatan terlalu banyak.”
Hadith riwayat :
Imam Bukhori dan Imam Muslim.
KETERANGAN :
Hadith di atas
menerangkan bahawa apabila disuatu tempat atau negeri sudah terlampau banyak
kejahatan, kemungkaran dan kefasikan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang
yang berada di tempat itu, tidak hanya kepada orang jahat sahaja, tetapi
orang-orang yang soleh juga akan dibinasakan, walaupun masing-masing di hari
qiamat akan diperhitungkan mengikut amalan yang telah dilakukan.
oleh itu, segala macam
kemungkaran dan kefasikan hendaklah segera dibasmikan dan segala kemaksiatan
hendaklah segera dimusnahkan, supaya tidak terjadi malapetaka yang bukan sahaja
menimpa orang-orang yang melakukan kemungkaran dan kejahatan tersebut, tetapi
ianya menimpa semua penduduk yang berada di tempat itu.
Dalam hadith di
atas,walaupun khusus disebutkan bangsa Arab, tetapi yang dimaksudkan adalah
seluruh bangsa yang ada di dunia ini. Tujuan disebutkan bangsa Arab secara
khusus adalah kerana Nabi kita s.a.w. sendiri dari kalangan mereka, dan yang
menerima Islam pada masa permulaan penyibarannya adalah kebanyakannya dari
kalangan bangsa Arab dan sedikit sekali dari bangsa yang lain. Begitu pula
halnya dalam masalah yang berkaitan dengan maju mundurnya umat Islam adalah
banyak bergantung kepada maju mundurnya bangsa Arab itu sendiri. Selain
daripada itu, bahasa rasmi Islam adalah bahasa Arab.
Kemudian yakjuj dan
makjuj pula adalah dua bangsa (dari keturunan Nabi Adam Alaihisalam) yang
dahulunya banyak membuat kerosakan di muka bumi ini, lalu batas daerah
mereka ditutup oleh Zulkarnain dan pengikut-pengikutnya dengan campuran
besi dan tembaga, maka dengan itu mereka tidak dapat keluar, sehinggalah hamper
tiba hari qiamat. Maka pada masa itu dinding yang kuat tadi akan hancur dan
keluarlah kedua-dua bangsa itu dari kediaman mereka lalu kembali membuat
kerosakan di permukaan bumi ini. Apabila ini telah terjadi, ia menandakan
bahawa hari qiamat sudah dekat sekali tibanya.

No comments:
Post a Comment