Monday, 21 March 2016

AYAT-AYAT AHKAM 1 - Tanggungjawab Bapa Terhadap Keluarga


Firman Allah Taala :-

Terjemahan Ayat :

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras dan kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkanNya.
(Surah At-Tahrim Ayat 6)

MUNASABAH AYAT

1.      Hubungan Antara Ayat 6 Surah Ini Dengan Ayat Sebelumnya (Ayat 5)

Dalam ayat sebelumnya Allah Taala perintahkan isteri-isteri Nabi s.a.w. bertaubat dan memberi ingatan kepada mereka tentang bahaya menjauhi perintah Allah. Kemudian Allah SWT menyebut dalam ayat ini (ayat 6) perintahNya kepada semua umat Islam supaya menjaga diri sendiri dan keluarga masing-masing daripada api neraka, dengan cara mematuhi perintah Allah dan belajar tentang hukum-hukum agama.

2.      Hubungan Antara Ayat Ini (Ayat 6) Dengan Ayat Selepasnya (Ayat 7)

Dalam ayat 6 ini, Allah memberitahun bahawa setiap umat Islam mesti menjaga diri mereka dari azab seksa Allah di hari Qiamat, supaya tidak dimasukkan ke dalam neraka, yang mana dijaga oleh Malaikat yang sangat keras layanannya. Dalam ayat selepasnya (ayat 7) Allah menyatakan bahawa malaikat yang menjaga neraka itu berkata kepada orang-orang kafir yang masuk neraka itu, “Hari ini terimalah balasan azab Allah dan kamu tidak diberi kemaafan lagi”.

KETERANGAN AYAT SECARA UMUM

Dalam ayat 6 suar Tahrim ini Allah telah menyatakan bahawa setiap orang mukmin adalah bertanggungjawab memelihara dan menjaga keluarga mereka daripada dimasukkan ke dalam neraka. Dengan mengajar mereka hukum-hukum Islam, kerana setiap individu mempunyai tanggungjawab yang mesti ditunaikan, dan akan dipersoalkan tentang tanggungjawab yang dipikulnya seperti sabda Rasulullah SAW.

“Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan tiap-tiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya”.

Allah juga menerangkan neraka dalah tempat balasan di akhirat. Manusia dan batu adalah menjadi bahan bakarnya, dan dijaga oleh para malaikat yang bengis dan kasar layannya. Pada malaikat menjalankan tugas dengan setia, melakukan apa yang diperintahkan dan tidak pernah membuat maksiat.

HURAIAN AYAT SECARA TERPERINCI

1.      Tanggungjawab Bapa Dalam Menjamin Keluarganya Untuk Kebahagiaan Dunia dan Akhirat.

Dalam ayat ini Allah memerintahkan seorang ketua keluarga (bapa) supaya menjaga dirinya daripada dimasukkan ke dalam neraka. Oleh itu untuk menghindarkan daripada perkara tersebut, maka bapa mestilah bertanggungjawab terhadap keluarga untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

a)      Tanggungjawab untuk mencapai kebahagiaan di dunia

Bapa hendaklah memberi nafkah atau mengeluarkan belanja untuk keluarganya dengan secukupnya seperti tempat tinggal yang selesa, pakaian dan makan yang mencukupi.

memberi didikan yang sempurna dengan menghantar anak-anak belajar dari peringkat rendah sehingga peringkat tinggi yang mana boleh menjamin anak-anak boleh berdikari dengan ilmu pengetahuan yang mereka diperolehi itu.

Memberikan kasih sayang yang sepenuhnya, dan anak-anak dapat hidup bersama keluarga dengan perasaan gembira.

b)      Tanggungjawab untuk mencapai kebahagiaan di akhirat

Mengajar keluarga ilmu agama supaya keluarga dapat menunaikan perintah Allah yang mana akan menjamin kebahagiaan di akhirat dan anak-anak hendaklah dididik menunaikan perintah Allah dan menjauhkan laranganNya.

Menjaga dan mengawal keluarga daripada mengerjakan maksiat dan sentiasa mengamalkan perintah Allah. Firman Allah :


Bermaksud :- Wahai orang-orang yang beriman : Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu, oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu). Kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. Sesungguhnya hartabenda dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan di sisi Allah jualah pahala yang besar. Oleh itu bertaqwalah kamu kepad Allah sedaya upaya kamu dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (perintah-perintahNya) dan belanjalah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya maka merekalah orang-orang yang Berjaya.
(Surah At-Taghabun : Ayat 14 – 16)

c.      Memberi pendidian rohani seperti aqidah dan pendidikan Islam.

2.      Langkah-langkah untuk mengelakkan diri daripada kemurkaan Allah

a.             Menjauhkan diri dari tempat maksiat, kerana mencegah lebih baik daripada berubat.

b.            Melakukan ibadat kepada Allah dan sentiasa ingat Allah melihat apa yang kita lakukan. Contohnya mengerjakan solat, kerana ia boleh mencegah daripada melakukan kemungkuran seperti firman Allah :-

Maksudnya : “Sesungguhnya solat itu boleh mencegah daripada melakukan kekejian dan kemungkaran.
(Surah Al-Ankabut : Ayat 45)

c.             Jangan berkawan dengan orang jahar, dampingilah para ulama.

3.      Tanggungjawab semua pihak dalam menjamin keluarga bahhagia

Untuk menjamin keluarga bahagia maka semua pihak adalah terlibat. Pertama, individu ; kedua, suami isteri, ketiga, masyarakat; seterusnya kerajaan.

Individu hendaklah bertanggungjawab atas tugas yang diberikan kepadanya. Tugas itu hendaklah diselesaikan. Katakanlah ia sebagai guru, maka hendaklah ia mengajar anak-anak didiknya dengan sempurna, suami isteri hendaklah menunaikan tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka berdua untuk kebahagiaan anak-anak, seterusnya menjadi keluarga bahagia, kerana anak dan ibu bapa mengetahui tugas masing-masing, sanggup menegur dan menasihatkan sesebuah keluarga demi untuk mencapai kebahagiaan. Seterusnya kerajaan hendaklah memainkan peranan penting dalam menjadikan sesebuah keluarga itu bahagia, Contohnya Kementerian Perpaduan dan Kebajikan Masyarakat boleh menganjurkan kursus untuk menunjukajar tentang urusan rumahtangga supaya sesebuah kelaurga itu menjadi bahagia.

4.      Penjelasan tentang neraka dalam pembalasan di akhirat.

Neraka (al-Nar) adalah merupakan tempat pembalasan di akhirat yang penuh dengan seksaan, kesusahan dan kesengsaraan. Apinya menyala-nyala, kepanasannya 70 kali ganda daripada api di dunia, yang disediakan bagi orang-orang yang melakukan kejahatan, derhaka tidak mentaati perintah Allah, enggan mengerjakan perintah Allah atau orang kafir dan musyrik.

Neraka mempunyai pelbagai nama dan dikawal oleh malaikat yang sangat keras layanannya. Setiap orang yang beriman wajib mempercayai kewujudannya. Ia dijadikan sebelum makhluk lain seperti syurga dan sudah wujud sekarang. Dalam al-Quran neraka itu mempunyai beberapa nama di antaranya Hawiyah, neraka yang sangat jurang, sesiapa yang jatuh ke dalamnya tidak dapat naik ke atas. Firman Allah Taala:

Maksudnya : “Dan orang yang ringan timbangannya dan tempat kediamannya ialah hawiyah, apa pendapat engkau tentang Hawiyah, iaitu neraka yang panas membakar”.
(Surah Al-Qari’ah Ayat 11)

Nama lain seperti Lazo, Sair, Saqar dan Hatamah.

5.      Penjelasan tentang malaikat sebagai hamba Allah.

Malaikat adalah sejenis makhluk Allah yang dijadikan daripada cahaya. Sabda Rasulullah SAW ;-

Maksudnya : “Malaikat dicipta daripada cahaya.”

Malaikat makhluk Allah yang dicipta tiada nafsu, tidak makan, minum dan tidur, menurut perintah Allah, tidak membantah dan tidak berdosa. Ia dicipta berbeza antara satu sama lain, ada yang dua, tiga, empat dan ada yang mempunyai sayap yang banyak.

Firman Allah SWT

Maksudnya : “Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakanlangit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap; dua, tiga dan empat. Ia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakanNya apa jua yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah amat berkuasa atau tiap-tiap sesuatu.”
(Surah Fathir Ayat 1.)

Malaikat Jibril mempunyai 600 sayap. Sabda Nabi SAW

Maksudnya : Bahawa Rasulullah SAW melihat Jibril mempunyai 600 sayap”

Malaikat Yang Wajib Diimani Dan Tugasnya

1.      Jibril bertugas menyampaikan wahyu. Firman Allah Taala

Maksudnya : “Dan sesungguhnya al-Quran (yang antara isinya kisah-kisah yang tersebut) adalah diturunkan oleh Allah tuhan sekalian alam. Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang pemberi ajaran (kepada umat manusia)”.
(Surah Asy-Syu’ara Ayat 192 – 194)

2.      Mikail bertugas menurunkan hujan. Firman Allah Taala :

Maksudnya : “(Dan antara kesan-kesan kekuasaan Kami) Kami telah menurunkan dari langit air hujan (yang ditugaskan kepada Mikail menurunkannya) yang banyak faedahnya, lalu Kami tumbuhkan dengan kebun-kebun (pohon-pohon, buah-buahan) dan (pokok-pokok) bijian-bijian yang dituai.”
(Surah Qaf Ayat 9)

3.      Israfil yang bertugas meniup sengkakala (nafiri qiamat) pada hari qiamat. Firman Allah Taala;

Maksudnya : “Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki oleh Allah (terkemudian matinya) kemudian ditiup pada sangkakala sekali lagi, maka dengan serta-merta bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing)”
(Suran Az-Zumar Ayat 68)

4.      Izarail (Malaikat Maut) bertugas mencabut (mengambil) nyawa semua yang bernyawa di alam dunia ini. Firman Allah Taala ;-

Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad) : “Nyawa kamu akan diambil malaikat maut (Izrail) yang ditugaskan berbuat demikian ketika diambil ajal kamu kemudian kamu akan dikembalikan kepada tuhan kamu (untuk  menerima balasan)”.
(Surah As-Sajdah ayat 11)

5.      Raqib dan Atid bertugas mencatat amalan baik dan buruk.

6.      Munkar dan Nakir bertugas menyoal dan memukul di dalam kubur.

7.      Ridwan menjaga dan mengawal syurga dan dibantu oleh malaikat-malaikat yang lain yang terlalu banyak bilangannya. Firman Allah Taala;-

Maksudnya : “Dan malaikat-malaikat itu akan masuk kepada mereka (ke dalam syurga) dari tiap-tiap pintu (memberi hormat dengan berkata : “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu maka amat baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.”
(Surah Ar-Ra’d Ayat 23-24)

8.      Malik menjaga neraka dibantu oleh 19 malaikat lain. Firman Allah Taala ;-

Maksudnya : “(Disebabkan kekufuran itu) aku akan masukkan dia ke dalam neraka saqar dan apa jalannya engkau dapat tahu kedahsyatan neraka saqar itu? Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus), ia terus menerus membakar kulit manusia. Pengawal dan penjaganya adalah 19 malaikat. Dan (ketahuilah bahawa hikmat) kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat (ialah kerana merekalah sekuat-kuat dan sebetul-betul makhluk yang menjalankan perintah kami) dan hikmat kami tidak menyebutkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan keseksaann orang-orang kafir itu.”
(Surah Al-Mudaththir Ayat 26-31)

Di atas adalah nama malaikat yang wajib diimani, sebenarnya bilangan malaikat itu terlalu banyak, tidak diketahui bilangannya dengan tepat, memadailah kita beriman kepadanya dengan mempercayai ia dan sebagai salah satu rukun iman yang enam.

PENGAJARAN AYAT

1.            Bapa adalah bertanggungjawab memelihara keluarga daripada terjerumus ke dalam neraka.

2.            Neraka adalah tempat pembalasan di akhirat, panasnya 70 kali ganda daripada api dunia. Bahan bakarnya adalah manusia dan batu-batu.

3.            Neraka dijaga oleh para malaikat yang bengis dan kasar layanannya.


4.            Setiap orang Islam mestilah mematuhi perintah Allah dan RasulNya.

Nota :-

Maaf atas kesulitan kerana ayat-ayat al-Quran gagal di uploadkan.

Zalilamborian
21 Mac 2016

1 comment:

  1. KING CASINO, LLC GIVES A $100 FREE BET
    KING CASINO, https://tricktactoe.com/ LLC GIVES A $100 FREE herzamanindir.com/ BET to try. Visit us today and receive a titanium metal trim $100 FREE BET! Sign 출장안마 up deccasino at our new site!

    ReplyDelete