HUKUM
PEREMPUAN ZIARAH KUBUR:
BAGAIMANA
DENGAN PEREMPUAN YANG HAIDH?
Salah satu amalan yang sering dilakukan
oleh masyarakat kita pada bulan Ramadhan dan pada Hari Raya Fitrah ialah
berziarah kubur, sama ada yang diziarahi itu adalah kubur ibu bapa atau kaum
kerabat. Berziarah itu pula diisi dengan membaca al-Qur’an yang pahalanya
dihadiahkan kepada orang yang telah meninggal dunia. Biasanya surah Yassin dan
bertahlil merupakan bacaan pilihan masyarakat kita apabila berziarah kubur.
Berziarah kubur pula tidak hanya di
bulan Ramadhan atau ketika Hari Raya sahaja, bahkan terdapat sesetengah
keluarga yang menjadikannya rutin yang dilakukan seminggu sekali, sebulan
sekali atau pada waktu-waktu yang dipersetujui oleh ahli keluarga yang
difikirkan boleh berziarah beramai-ramai ke kubur. Apa yang biasa dilihat,
berbagai lapisan golongan ahli keluarga yang bukan sahaja terdiri daripada
golongan lelaki dewasa, malahan kanak-kanak lelaki dan golongan perempuan juga
beramai-ramai turut sama berziarah.
Senario golongan perempuan turut serta
pergi berziarah ke kubur menimbulkan reaksi sesetengah pihak yang beranggapan
bahawa perempuan tidak dibenarkan berziarah kubur, lebih-lebih lagi perempuan
yang dalam haidh. Adakah betul anggapan sedemikian?
Hukum
Berziarah Kubur
Terdapat perbezaan hukum berziarah
kubur bagi lelaki dan perempuan.
1. Hukum
berziarah bagi lelaki
Para
ulama sepakat mengatakan bahawa sunat bagi lelaki menziarahi kubur orang-orang
Islam berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Buraidah Radhiallahu ‘anhu,
Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam bersabda: Maksudnya : “Dahulu aku melarang kamu menziarahi kubur,
maka (sekarang) ziarahlah.”
(Hadits
riwayat Muslim)
Menurut Imam asy-Syarwani Rahimahullah,
ganti nama "كم" (kum)
dalam larangan dan juga "زوروا" pada
perintah dalam hadis di atas adalah ditujukan kepada kaum lelaki.
Orang-orang yang sunat diziarahi
kuburnya itu pula ialah:
I. Kubur kedua ibu bapa, walaupun kubur
keduanya bukan di negeri di tempatnya berada.
II. Kubur kaum keluarga terdekat atau
sahabat-handai yang pada ketika hidup mereka sunat untuk diziarahi, begitu juga
bila mereka meninggal dunia.
III. Kubur orang lain (yang bukan keluarga
atau sahabat handai) dengan tujuan berziarah untuk mengingatkan kematian,
memohon rahmat daripada Allah S.W.T. untuknya atau sebagainya.
2. Hukum
berziarah bagi perempuan
Keadaan
perempuan berbeza dengan lelaki dari segi emosi dan perasaan. Perasaan mudah
tersentuh dengan apa sahaja yang berlaku sering dikaitkan dengan mereka.
Apabila seseorang yang dikenali meninggal dunia, lebih-lebih lagi jika orang
tersebut adalah seseorang yang disayangi atau terlalu rapat dengannya selalunya
membangkitkan perasaan emosi dan ada sesetengahnya tidak dapat membendung
perasaan sehingga meraung-raung di depan mayat atau di tanah perekuburan.
Menurut
pendapat jumhur ulama, hukum ziarah kubur bagi perempuan adalah makruh kerana
ditakuti boleh mengundang fitnah atau ditakuti mereka menangis dengan
mengeluarkan suara yang nyaring meratapi kepergian si mati. Dalil yang menunjukkan
bahawa hukum bagi perempuan menziarahi kubur adalah tidak haram berdasarkan
beberapa hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti berikut:
1. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik
Radhiallahu ‘anhu, katanya: Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam
berjalan melintasi seorang perempuan yang sedang menangis di kubur anaknya,
lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bertaqwalah engkau kepada
Allah dan bersabarlah.”
(Hadits muttafaq ‘alaih)
Daripada hadits di atas dapat difahami
bahawa menziarahi kubur bagi perempuan tidak dilarang. Ini kerana jika
perbuatan tersebut dihukumkan haram, sudah setentunyalah Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam menegur ataupun melarang perempuan tersebut daripada
menziarahi kubur.
2. Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha
bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang doa yang boleh
dibacanya apabila berziarah ke perkuburan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda : Maksudnya: “Katakanlah:
“Mudah-mudahan Allah limpahkan keselamatan ke atas ahli kubur daripada
orang-orang mukmin dan orang-orang Islam dan semoga Allah merahmati orang-orang
terdahulu dari kalangan kami dan orang-orang yang terkemudian,dan sesungguhnya
sekiranya kami diizinkan oleh Allah kami akan bertemu dengan kamu.”
(Hadits riwayat Muslim)
Hadits di atas adalah dalil yang menunjukkan
bahawa tidak haram bagi perempuan berziarah kubur. Namun perlu diingat, bahawa
hukum berziarah kubur bagi perempuan ini bergantung pada tujuan dan keadaannya
ketika berziarah. Hukum asalnya adalah makruh sekalipun tujuannya untuk
mengambil iktibar, untuk mengingatkan kepada kematian, alam barzakh dan alam
akhirat.
Di samping itu, perempuan tersebut
dapat menjaga adab kesopanan ketika berziarah, dapat menahan diri dari
kesedihan atau dukacita yang bersangatan dan aman dari segala fitnah. Manakala
apabila berlaku tujuan dan keadaan yang sebaliknya, maka hukum makruh tersebut
akan bertukar kepada haram. Menurut setengah ulama, jika tujuannya adalah untuk
menimbulkan semula perasaan dukacita dan untuk meratapi si mati, maka adalah
haram baginya menziarahi kubur. Begitu juga jika sekiranya perempuan tersebut
tidak menjaga adab kesopanannya semasa berziarah, tidak aman dari segala fitnah
atau seumpamanya, maka haram baginya menziarahi kubur.
Berbeza pula hukumnya menziarahi kubur
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Hukumnya adalah sunat bagi perempuan
dan lelaki. Begitu juga menurut sebahagian ulama, sunat berziarah ke kubur para
nabi, para ulama dan aulia.
Hukum
Perempan Haidh Berziarah Kubur
Perempuan yang dalam haidh tidak ada
halangan untuk berziarah kubur, kerana untuk berziarah kubur tidak disyaratkan
suci daripada hadats kecil mahupun besar. Suci daripada hadats merupakan salah
satu adab yang disunatkan sahaja kepada orang-orang yang ingin berziarah ke
tanah perkuburan. Oleh yang demikian, perempuan yang dalam haidh berziarah
kubur dengan tujuan yang dibenarkan oleh syara‘ serta dapat menjaga adab
kesopanan ketika berziarah dihukumkan makruh sebagaimana dengan hukum perempuan
yang suci berziarah kubur.
Namun satu hal yang berbeza di antara
perempuan yang suci dengan perempuan sedang haidh ketika di tanah perkuburan
ialah dari segi keharusan membaca ayat-ayat al-Qur’an untuk si mati. Perlu diingat,
perempuan yang dalam haidh haram membaca al-Qur’an walaupun hanya satu ayat daripada
al-Qur’an. Maka memadailah baginya berzikir seperti bertahlil, bertasbih dan
sebagainya atau berdoa untuk simati seperti memohon keampunan dan rahmat atau
yang seumpamanya daripada Allah untuk si mati. Secara umumnya, adab-adab yang
perlu dijaga oleh perempuan yang menziarahi kubur sama ada yang dalam keadaan
suci mahupun haidh ialah:
(1) Hendaklah
dia ditemani oleh suaminya ataupun mahramnya.
(2) Keluar
dalam keadaan menutup aurat sepenuhnya sepertimana yang telah digariskan oleh
Islam.
(3) Jangan
selalu pergi berziarah ke kubur.
(4)
Tidak berbual dengan percakapan kosong sebagaimana yang dilarang ke atas kaum
lelaki, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda dalam hadis yang
diriwayatkan oleh Buraidah Radhiallahu ‘anhu :
Maksudnya:
“(Dahulu) aku telah melarang kamu
menziarahi kubur, maka (sekarang), siapa yang ingin menziarahi kubur,
berziarahlah, dan janganlah kamu bercakap-cakap dengan perkataan yang tidak
baik.”
(Hadis riwayat an-Nasa’ie)
Perlu diambil perhatian juga, hukum
yang membenarkan perempuan berziarah kubur ini adalah tertakluk bila adanya
keizinan daripada suami atau wali. Sekiranya tiada keizinan daripada suami atau
wali, tidaklah perempuan itu dibenarkan untuk berziarah kubur.
Kesimpulannya, perempuan yang dalam
haidh tidak dilarang menziarahi kubur kerana secara umumnya hukum berziarah
bagi perempuan itu adalah makruh dengan ada syarat-syarat yang perlu dijaganya
iaitu dari segi tujuan dan adab berziarah. Di samping itu, jika dia turut sama
berziarah ke perkuburan bersama ahli keluarga yang lain, dia hendaklah
berhati-hati agar tidak turut sama dengan yang lainnya membaca ayat-ayat
al-Qur’an seperti Yassin dan yang seumpamanya kerana haram baginya melakukan
yang demikian dengan keadaannya di dalam haidh itu.
No comments:
Post a Comment