Sunday, 20 March 2016

MELENGAH-LENGAHKAN IBADAT HAJI SETELAH MAMPU DAN BERKUASA

MELENGAH-LENGAHKAN IBADAT HAJI SETELAH MAMPU DAN BERKUASA

Ibadat haji merupakan salah satu dari pada rukun Islam yang lima. Ia hanya wajib dikerjakan sekali seumur hidup kecuali jika dinazarkan atau kerana qadha. Pelaksanaan ibadat haji merupakan pelengkap dan penyempura Islam seorang hamba kerana ia merupakan rukun yang terakhir dalam rukun Islam. Ibadat haji juga adalah rukun yang paling terakhir sekali dapat dilaksanakan oleh seorang muslim kerana untuk menunaikannya bukan sahaja memerlukan pengorbanan masa dan tenaga seperti mana rukun-rukun Islam yang lain, bahkan ia juga menuntut pengorbanan harta yang tidak sedikit jumlahnya selain memerlukan berbagai persiapan serta perancangan. Ibadat haji wajib ditunaikan oleh seorang Islam yang mukallaf, merdeka dan berkeupayaan (istitha‘ah). Firman Allah S.W.T. :

Tafsirnya: “Dan Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadat haji ke Baitullah, iaitu bagi sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya.”                                                                                     (Surah Ali ‘Imran: 97)

Adapun tafsiran ayat di atas “sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya” bermaksud mempunyai bekalan dan kenderaan untuk pergi ke Makkah al-Mukarramah. Menurut ulama asy-Syafi‘eyyah, seorang itu tidak dikategorikan sebagai mampu atau berkuasa mengerjakan ibadat haji dengan dirinya sendiri kecuali jika dia memenuhi kriteria atau syarat berikut:

1.         Mempunyai perbelanjaan yang mencukupi untuk dirinya semasa dalam perjalanan pergi dan balik serta semasa melaksanakan fardhu haji dan juga sara hidup bagi orang yang wajib ditanggungnya sepanjang pemergiannya mengerjakan ibadat haji. Begitu juga, hendaklah ada lebihan untuk membayar hutangnya kepada seseorang sama ada hutang itu perlu dibayar dengan segera ataupun bertangguh. Demikian juga hutangnya kepada Allah S.W.T. seperti nazar dan kaffarah. Jadi jika seseorang itu tidak mempunyai bekalan yang mencukupi untuk dirinya atau orang yang ditinggalkannya semasa pergi dan balik haji dan tidak ada lebihan untuk membayar hutang, maka tidak diwajibkan ke atasnya ibadat haji.

2.         Ada kenderaan seperti kapal terbang, kapal laut, bas dan seumpamanya, sama ada kenderaan itu miliknya sendiri atau dia mampu menyewanya. Syarat ada kenderaan bagi yang hendak mengerjakan haji ini hanya dikenakan kepada orang yang jauh tempat tinggalnya daripada Makkah dalam kadar jarak dua marhalah ataupun lebih, iaitu kadar yang membolehkan diqashar solat. Dari itu, orang yang tidak mempunyai bekalan dan kenderaan tidak wajib ke atasnya mengerjakan haji. Bahkan tidak wajib ke atas seseorang itu mencari bekalan dan kenderaan untuk pergi haji dengan cara meminta-minta kepada orang lain atau dengan cara berhutang.

Adapun rumah kediaman, pakaian serta apa saja yang dalam lingkungan makna keperluan yang sangat dihajati (dharuri), tidak wajib dijual demi mencukupkan bekalan dan kenderaan untuk mengerjakan ibadat haji. Ini kerana Islam tidak membebankan umatnya untuk menunaikan ibadat haji jika belum berkemampuan dan cukup syarat-syaratnya. Namun jika harta tersebut dijual sebahagiannya untuk perbelanjaan haji dan sebahagian lagi masih dapat memenuhi keperluannya (dharuri), maka wajib ke atasnya ibadat haji.

Bagi seseorang yang berhajat untuk berkahwin kerana takut berlakunya zina, maka utamakanlah kahwin itu daripada ibadat haji. Namun jika hajatnya untuk berkahwin itu bukan kerana takut berlakunya zina, maka afdhal didahulukan ibadat haji daripada kahwin.

3.         Selamat dalam pelayaran daripada bahaya sama ada ke atas diri atau anggota tubuh badannya ataupun diri atau anggota tubuh badan orang yang bersama-samanya. Demikian juga hendaklah selamat harta dan barangnya daripada bahaya. Maka dari itu, jika tidak selamat pelayarannya itu daripada ancaman bahaya seperti bahaya binatang buas, bahaya musuh atau ada pengintai yang ingin menyamun hartanya walaupun sedikit, dan tidak ada laluan lain lagi yang selamat selain daripada laluan yang merbahaya itu, maka tidak diwajibkan ke atasnya ibadat haji kerana ia dikira tidak mampu. Namun jika ada laluan lain yang selamat, maka wajib ke atasnya ibadat haji.

Adapun jika tidak ada laluan lain yang selamat melainkan melalui laut, maka dalam hal ini menurut pendapat yang ashah, sekiranya pada kebiasaannya ia membawa kebinasaan seperti ombak yang bergelora, maka tidak wajib ke atasnya ibadat haji bahkan haram melaluinya. Jika pada kebiasaannya ia selamat, maka wajib ke atasnya ibadat haji. Namun jika kebiasaan keduanya itu seimbang (kebinasaan dan selamat), maka tidak wajib ibadat haji bahkan haram melaluinya

Mengqadha’ Solat Yang Luput Yang Tidak Dapat Dipastikan Jumlahnya

Solat fardhu lima waktu diwajibkan ke atas setiap orang Islam, lelaki dan perempuan yang baligh, berakal, suci daripada haidh dan nifas. Solat lima waktu tersebut wajib dikerjakan pada waktu-waktunya yang telah ditetapkan. Antara firman  Allah S.W.T. dalam al-Qur‘an mengenai perintah pelaksanaan solat ialah sepertimana berikut :

Tafsirnya: “Dan dirikanlah solat dan bayarlah zakat dan ruku‘lah kamu bersama orang-orang yang ruku‘.” (Surah al-Baqarah: 43)

Dalam Surah an-Nisa’ firman Allah S.W.T. :

Tafsirnya: “Sesungguhnya solat itu adalah satu kewajipan ke atas orang-orang yang beriman yang ditentukan waktunya.”
(Surah an-Nisa: 103)

Selain itu, dalam sebuah hadits dari Ibnu ‘ Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Nabi S.a.w. bersabda kepada Mu‘az bin Jabal R.a. ketika beliau diutus oleh Baginda ke Negeri Yaman (kepada satu kaum atau golongan daripada penduduknya) :
Maksudnya: “...Khabarkan kepada mereka, sesungguhnya Allah Ta’ala telah memfardhukan ke atas mereka solat lima waktu pada tiap-tiap hari, siang dan malam.”                                          (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Amaran Kepada Orang Yang Meninggalkan Solat

Apabila seseorang Islam itu telah mencapai umur baligh, maka telah bermula kewajipan solat baginya. Oleh itu, menjadi kewajipan seorang muslim untuk menjaga dan melaksanakan solat fardhu serta mengerjakannya pada waktunya. Demikian juga, menjadi kewajipannya untuk tidak mencuaikan solat, apalagi meninggalkannya dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran. Terdapat banyak ayat al-Qur‘an dan hadits RasulullahS.a.w. yang menjelaskan akibat orang yang meninggalkan solat, antaranya firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata: “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan solat.”                                                                  (Surah al-Muddatstsir: 42-43)

Dalam Surah Maryam ayat 59, Allah Ta‘ala telah memberi amaran kepada mereka yang  tidak mendirikan solat dengan azab di akhirat:

Tafsirnya: “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka).”       (Surah Maryam: 59)

Menurut ulama tafsir, maksud mencuaikan solat dalam ayat di atas antaranya ialah :

1.         Meninggalkan solat dalam erti kata sebenar, iaitu tidak melaksanakan solat.

2.         Mencuaikan solat dari segi pelaksanaannya, iaitu solat yang dilaksanakan tetapi tidak disempurnakan segala hak-haknya dan inilah pendapat yang shahih. Tidakmenyempurnakan hak-hak solat ialah seperti seorang yang solat tanpa menghiraukan dan memenuhi rukun dan syaratnya, maka solatnya yang sedemikian itu tidak memadai dan tidak sah. Kerana itu Rasulullah s.a.w. sampai bersabda kepada seorang yang mengerjakan solat seumpama ini: Maksudnya: “Kembali dan (ulang) solat! Sesungguhnya tadi engkau belum solat.”                                                                                                                                (Hadits riwayat Muslim)

Rasulullah Shallallahu ‘aaihi wasallam menegurnya sebanyak tiga kali dan pada setiap teguran itu juga dia diperintahkan untuk mengulang solatnya sehinggalah mencapai tiga kali dia melakukan solat tersebut.

Dalam Tafsir al-Qurthubi, dinyatakan bahawa mencuaikan solat dari segi pelaksanaannya, termasuklah sesiapa yang tidak memelihara kesempurnaan wudhu’ (solat), ruku‘ dan sujud dalam solat. Mereka yang tidak memelihara perkara-perkara ini bererti dia tidak memelihara solat. Dan sesiapa yang tidak memelihara  solatnya, bererti dia telah menyia-yiakan solat. Bukankah ini yang dinamakan mencuaikan solat?!. Dan pastinya sesiapa yang memelihara solatnya, maka Allah Ta‘ala memelihara akan agamanya.

3.         Tidak melaksanakannya dalam waktunya yang telah ditetapkan, seperti solat yang dilaksanakan di luar daripada waktunya.

4.         Melalai-lalaikan atau melewat-lewatkan solat daripada waktunya seperti orang yang selalu solat ketika waktu telah hampir habis. Ini kerana menurut pendapat ini, sekiranya dia meninggalkan solat (tidak melaksanakannya), maka telah (menjadi) kufur. Manakala menurut hadits Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Buraidah Radhiallahu ‘anhu, sesetengah ulama berpendapat bahawa perbuatan meninggalkan solat dengan sengaja boleh menjadikan seseorang itu dihukumkan kafir berdasarkan zahir sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesungguhnya perjanjian (aman) antara kami (orang Islam) dan mereka (orang kafir) adalah solat. Siapa yang meninggalkan solat, maka sesungguhnya dia telah menjadi kafir.”    (Hadits riwayat an-Nasa’ie)


Manakala dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amru Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah s.a.w. pada suatu hari telah menyebut tentang solat : Maksudnya: “Sesiapa memeliharanya (solat), maka adalah solat itu menjadi nur kepadanya, dalil (dan hujjah) dan keselamatan baginya daripada api neraka pada Hari Qiamat. Dan sesiapayang tidak memeliharanya (solat), maka tiadalah (solat itu) menjadi nur, keselamatan dan hujjah baginya. Dan adalah dia pada Hari Qiamat bersama-sama Qarun, Fir‘aun,

No comments:

Post a Comment