Sunday, 20 March 2016

HUKUM BERJUAL BELI PADA HARI JUMAAT

HUKUM BERJUAL BELI PADA HARI JUMAAT

Solatfardhu Jumaat diwajibkan (fardhu ‘ain) ke atas setiap lelaki Islam yang merdeka, baliqh, berakal, bermuqim dan tidak ada keuzuran. Solatfardhu Jumaat itu adalah solatyang paling afdhal dan harinya pula adalah hari yang paling afdhal. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Maksudnya: “Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling agung di sisi Allah iaitu hari yang paling agung di sisi Allah daripada Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitrah.”
(Hadits riwayat Ibnu Majah)

Hadits ini jelas menyatakan bahawa hari Jumaat itu adalah penghulu segala hari dan ia lebih agung di sisi Allah S.W.T. berbanding dengan dua Hari Raya. Oleh itu, perbesarkanlah hari Jumaat itu dengan memperbanyakkan bacaan al-Qur’an, selawat, doa dan zikir.

Di Negara Brunei Darussalam hari Jumaat merupakan hari kelepasan awam di kebanyakan sekolah, universiti, institusi dan jabatan-jabatan kerajaan. Setentunya pada hari tersebut ibu bapa tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama keluarga bagi mengisi waktu lapang dengan bermacam-macam aktiviti. Ada sebahagiannya melancong ke negara jiran, mengunjungi sanak saudara, berehat di rumah dan ada juga sebahagiannya pergi membeli belah. Aktiviti-aktiviti tersebut tidaklah bertentangan dengan hukum syara‘ akan tetapi ada beberapa perkara yang perlu diketahui khususnya pada hari Jumaat, antaranya ialah berjual beli ketika solatfardhu Jumaat.

Hukum Berjual Beli Pada Hari Jumaat

Berjual beli pada hari Jumaat mempunyai hukumnya tersendiri. Sungguhpun asal hukum berjual beli itu harus di dalam Islam, namun hukumnya berbeza pada hari Jumaat. Sebagaimana yang pernah terjadi bahawa sebahagian jemaah solatfardhu Jumaat meninggalkan Rasulullah Shallallahu ‘alalihi wasallam yang sedang berkhutbah kerana mereka pergi ke tempat kafilah yang datang membawa barang dagangan. Maka dengan itu turunlah ayat yang melarang perbuatan sedemikian. Allah S.W.T. berfirman:

Tafsirnya: “Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) suatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah). Katakanlah (wahai Muhammad: “Pahala – balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki.”
(Surah al-Jumu‘ah: 11)

Oleh itu, berjual beli ketika solatfardhu Jumaat adalah dilarang. Allah S.W.T. memerintahkan supaya bersegera untuk pergi mengerjakan solatfardhu Jumaat dan meninggalkan jual beli dan kerja-kerja yang lain. Allah S.W.T. berfirman:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan solatpada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solatfardhu Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Jelasnya, hukum berjual beli pada hari Jumaat itu boleh dibahagikan kepada berikut:

(1)       Selepas azan kedua solatfardhu Jumaat sehingga selesai solatfardhu Jumaat

            Haram ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan solatfardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli selepas azan kedua solatfardhu Jumaat dan khatib duduk di atas mimbar. Maksud haram berjual beli selepas azan kedua solatfardhu Jumaat itu adalah bagi mereka yang belum berada di Masjid. Adapun mereka yang sudah berada di Masjid dan melakukan jual beli di dalamnya adalah makruh.

(2)       Selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua solatfardhu Jumaat

            Makruh ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan solatfardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua solatfardhu Jumaat. Ini kerana waktu itu sudah masuk waktu wajib dan perbuatannya leka dengan urusan jual beli itu seumpama perbuatan melengah-lengahkan untuk bersegera pergi mengerjakan solatfardhu Jumaat.

(3)       Sebelum tergelincir matahari

            Harus ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan solatfardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli sebelum tergelincir matahari.

(4)       Selepas solatfardhu Jumaat

            Harus ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan solatfardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli setelah selesai mengerjakan solatfardhu Jumaat.

Perkara Yang Melekakan Selain Berjual Beli

Hukum haram dan makruh itu tidak hanya terbatas pada jual beli sahaja malahan termasuk juga perkara-perkara lain yang melekakannya dari bersegera pergi mengerjakan solatfardhu Jumaat.

Orang Yang Dikecualikan Daripada Larangan Berjual Beli

Hukum haram berjual beli selepas azan kedua solatfardhu Jumaat atau hukum makruh berjual beli selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua solatfardhu Jumaat itu ialah ke atas orang yang diwajibkan solatfardhu Jumaat. Perempuan, kanak-kanak yang belum baligh atau lelaki dewasa yang tidak diwajibkan solatfardhu Jumaat seperti dalam pelayaran atau ada keuzuran, terkecuali daripada hukum haram atau makruh tersebut.

Demikian juga dikecualikan daripada hukum tersebut, orang yang diwajibkan solatfardhu Jumaat yang terpaksa berjual beli ketika waktu-waktu larangan tersebut kerana dharurat seperti membeli kain kafan si mati yang ditakuti berubah apabila dilambatkan atau membeli air kerana untuk bersuci atau membeli pakaian untuk menutup aurat atau seumpamanya.

Haram Berjual Beli Bersama Orang Yang Diwajibkan SolatFardhu Jumaat

Walaupun orang yang tidak diwajibkan solatfardhu Jumaat harus berjual beli pada waktu-waktu yang dilarang, namun jika dia berjual beli bersama orang yang diwajibkan solatfardhu Jumaat, maka kedua-dua mereka berdosa. Ini kerana dia telah bersubahat pada melakukan yang haram.

Adakah Sah Jual Beli?

Akad Jual beli yang dilakukan pada waktu-waktu yang dilarang pada hari Jumaat itu adalah sah. Ini kerana larangan itu tidak ada kaitannya dengan kesahihan akad akan tetapi disebabkan kelekaannya berurusan jual beli dan perbuatan melengahkan untuk bersegera pergi mengerjakan solatfardhu Jumaat. Ini sama keadaannya seperti sah solatorang yang mengerjakannya dalam rumah yang dirampas.


Sebagai kesimpulannya, orang yang diwajibkan mengerjakan solatfardhu Jumaat hendaklah bersegera pergi ke masjid dan janganlah melengah-lengahkannya seperti melakukan jual beli terutama apabila azan kedua solatfardhu Jumaat. Sungguhpun jual beli itu sah namun perbuatan sedemikian adalah dilarang, malah mereka yang tidak diwajibkan solatfardhu Jumaat pun berdosa apabila dia bermuamalat bersama mereka yang diwajibkan solatfardhu Jumaat. 

No comments:

Post a Comment