TIDAK SEMUA UCAPAN SALAM WAJIB DIJAWAB
Salah
satu ajaran Islam yang disyariatkan sebagai pengerat silaturrahim, pengukuh kasih
sayang serta penjana kekukuhan umat ialah pensyariatan memberi dan menjawab
salam. Ulama telah bersepakat bahawa memberi salam itu hukumnya sunat kifayah
manakala menjawabnya pula adalah fardu ain jika yang diberi salam itu seorang
diri dan fardhu kifayah jika yang diberi salam itu ramai. Khusus mengenai hukum
menjawab salam, tidak semua salam itu
wajib dijawab. Sungguhpun hukum asal menjawab salam itu wajib, namun ada
kalanya dalam keadaan-keadaan tertentu ia boleh bertukar menjadi sunat, makruh
dan bahkan adakalanya haram. Terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan salam
itu tidak wajib dijawab. Keadaan-keadaan tersebut adalah seperti berikut:
Keadaan
Pertama:
Cara
ucapan salam yang tidak diiktiraf atau tidak memenuhi syarat.
i. Ucapan salam yang tidak dapat didengar
oleh orang yang diberi salam adalah
tidak memadai dan tidak diiktiraf oleh syara‘ sebagai ucapan salam yang
disunatkan. Oleh itu, orang yang diberi salam tidak wajib menjawab salam
tersebut. Begitu juga dalam hal menjawab salam. Jika jawapan salam itu belum
dapat didengar oleh orang yang memberi salam, maka belum gugur kewajipan
menjawab salam itu. Jika orang yang dijawab salamnya itu orang yang kurang upaya pendengarannya, maka hendaklah diangkat
suara supaya jawapan salam itu benar-benar dapat didengar oleh pemberi salam itu. Adapun ucapan salam secara
tulisan pula, umpamanya melalui surat, email ataupun pesanan ringkas telefon
bimbit (sms), juga wajib dijawab dengan segera sama ada jawapan salam itu
diucapkan melalui tulisan ataupun dilafazkan. Ini dengan syarat ucapan salam
itu diberikan dengan lafaz ucapan salam yang shahih dan diiktiraf oleh syara‘.
ii. Ucapan salam dengan lafaz ‘Wa‘alaikumussalam’
adalah tidak diiktiraf sebagai ucapan salam. Ini kerana
ia hanya sesuai sebagai jawapan salam dan tidak sesuai sebagai lafaz ucapan salam
kerana terdapat huruf athf() yang membawa makna ‘dan’pada awal ucapan tersebut.
Oleh itu, orang yang diberi salam tidak wajib menjawab salam tersebut.
iii. Ucapan salam dengan isyarat semata-mata
tanpa melafazkannya, sedangkan orang yang memberi salam itu bukan orang yang
bisu adalah tidak memadai sebagai ucapan salam yang diiktiraf oleh syara‘. Oleh
itu orang yang diberi salam tidak wajib menjawab salam tersebut. Demikian juga
dengan jawapan salam, tidak memadai jawapan
salam itu hanya dengan isyarat semata-mata. Jika disertakan lafaz salam atau
jawapannya itu dengan isyarat, maka menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, yang
demikian itu adalah lebih elok dan sunat.
iv. Ucapan salam kepada orang yang pekak,
adalah wajib dilafazkan salam tersebut berserta dengan isyarat tangan atau yang
seumpamanya supaya orang yang pekak itu dapat memahaminya. Jika lafaz salam itu
tidak disertakan dengan isyarat, maka tidak wajib bagi orang yang pekak itu
menjawab salam tersebut. Begitu juga dengan jawapan salam kepada orang yang
pekak adalah wajib dilafazkan jawapan salam itu berserta dengan isyarat yang
difahami oleh orang yang pekak itu.
Keadaan
Kedua:
Salam
antara lelaki dan perempuan yang tiada kaitan mahram atau perkahwinan.
i. Dalam situasi yang dikhuatiri akan
menimbulkan fitnah, umpamanya ucapan salam daripada lelaki ajnabi (yang tiada kaitan mahram atau
perkahwinan) kepada perempuan ajnabiah yang boleh mendatangkan keinginan atau
ghairah kaum lelaki dan tidak ada bersama mereka orang lain seperti mahram atau
jemaah yang ramai, adalah tidak wajib dijawab oleh perempuan ajnabiah itu.
Bahkan haram perempuan tersebut menjawab salam lelaki ajnabi itu. Demikian juga
haram perempuan tersebut memberi salam kepada lelaki ajnabi di dalam situasi
seperti di atas kerana perbuatan tersebut dikhuatiri akan menimbulkan fitnah.
Adapun perempuan ajnabiah yang boleh mendatangkan keinginan atau ghairah kaum
lelaki dan tidak ada bersama mereka orang lain seperti mahram atau jemaah yang
ramai, jika dalam situasi begini dia memberi salam kepada lelaki ajnabi, maka makruh atas lelaki itu menjawab
salam perempuan tersebut dan makruh juga ke atas lelaki itu memberi salam
kepada perempuan tersebut kerana yang demikian itu boleh menimbulkan fitnah.
ii. Dalam situasi yang tidak menimbulkan
fitnah pula, umpamanya ucapan salam daripada seorang lelaki ajnabi kepada
sekumpulan perempuan, yang jumlahnya sekurang-kurangnya dua orang, maka wajib
salah seorang daripada perempuan itu menjawab salamnya kerana hal sedemikian
itu tidak akan mendatangkan fitnah sepertimana yang dinyatakan oleh Imam
as-Syarbini, Imam Ibn Hajr al-Haitami, Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahumullah dan
lainnya. Jika semua perempuan itu menjawab salam tersebut maka yang demikian
itu adalah harus dan mereka mendapat pahala menjawab salam. Begitu juga
sebaliknya, iaitu wajib lelaki itu menjawab salam daripada sekumpulan orang
perempuan itu.
Termasuk juga dalam kategori tidak
mendatangkan fitnah ini, perempuan ajnabiah yang tua yang keadaannya tidak
mendatangkan keinginan atau ghairah kaum lelaki jika dia memberi salam kepada
lelaki ajnabi, maka wajib lelaki itu menjawab salamnya walaupun perempuan tua
itu seorang diri ketika itu. Begitu juga wajib atas perempuan tua itu menjawab
salam daripada lelaki ajnabi tersebut. Dalam situasi yang tidak menimbulkan
fitnah seperti yang disebutkan di atas ini, selain wajib dijawab salam yang diucapkan
oleh satu pihak, sunat juga hukumnya memberi salam antara satu dengan yang
lain.
No comments:
Post a Comment