Sunday, 20 March 2016

JAUHI ARAK!!!

JAUHILAH ARAK! UMMU AL-KHABA’ITS (IBU SEGALA KEJAHATAN)

Islam diturunkan kepada manusia sebagai pembimbing ke arah kebahagiaan dunia dan akhirat dengan memandu manusia ke arah segala bentuk kebaikan dan menyelamatkan mereka daripada segala bentuk kejahatan. Bagi memastikan kehidupan manusia sentiasa terjaga dan terarah, syariat Islam telah mengasaskan enam sendi sebagai dasar bagi memelihara maslahat dan menolak bencana.

Sendi-sendi tersebut ialah :

Memelihara ugama, memelihara nyawa atau jiwa, memelihara akal, memelihara nasab, memelihara nama baik dan memelihara harta. Segala perkara yang merosak atau memusnahkan walau satu sahaja daripada sendi-sendi berkenaan adalah ditolak dan diharamkan oleh Islam. Salah satu perkara yang diharamkan atas asas tersebut ialah meminum arak. Perbuatan meminum arak bukan sahaja merosakkan sebahagian daripada sendi-sendi yang enam itu, bahkan ia memusnahkan kesemua sendi-sendi tersebut. Ini berpunca dari hilangnya akal serta pertimbangan akibat daripada meminum arak. Apabila sudah dalam pengaruh arak, kesucian agama akan dinodai, nasab keturunan akan tercemar, harta benda akan rosak, dan nama baik, maruah serta nyawa akan tergadai dan terancam. Ini belum termasuk lagi segala penyakit-penyakit kronik dan merbahaya yang cukup sinonim dengan peminum arak seperti penyakit jantung, kanser dan sebagainya.

Hukum Arak Dan Meminum Arak

Tidak ada khilaf antara ulama bahawa meminum arak itu hukumnya haram dan merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar. Pengharaman arak adalah sesuatu yang diketahui umum (Ma‘lum min ad-din bi adh-dharurah) dan ianya sabit berdasarkan al-Qur‘an, Sunnah dan ijma‘. Firman Allah Ta‘ala dalam Surah al-Ma’idah ayat 90 dan 91:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah itu adalah (perbuatan) keji dari perbuatan syaitan. Maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beroleh kemenangan (dan keberuntungan) (90). Sesungguhnya syaitan itu mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab (meminum) arak dan (bermain) judi dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang, maka tidakkah kamu mahu berhenti (daripada melakukan perbuatan keji itu)? (91)”.
(Surah al-Ma’idah: 90-91)

Imam Abu Bakar ar-Razi Rahimahullah berkata dalam Ahkam al-Qur‘an bahawa pengharaman arak itu difahami atau diistinbat melalui ayat di atas tadi atas dasar-dasar berikut:

1.         Gelaran keji ke atasnya yang menyerupai gelaran keji pada daging babi.
2.         Ia perbuatan syaitan. Maka apa sahaja yang tergolong dalam perbuatan syaitan adalah diharamkan.
3.         Perintah wajib untuk menjauhinya. Maka segala apa yang wajib dijauhi adalah haram dilakukan.
4.         Kejayaan yang dijanjikan apabila melaksanakan perintah menjauhi arak.
5.         Meminum arak mencetuskan permusuhan dan kebencian antara kaum muslimin.
6.         Ia menjauhkan dan menghalang daripada mengingati Allah S.W.T. dan ibadat sambahyang. Dalil pengharaman arak daripada Sunnah pula antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha, bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Maksudnya: “Tiap-tiap minuman yang memabukkan, maka ia adalah haram”.
(Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Dalam Shahih Muslim pula, Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma meriwayatkan bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Maksudnya: “Setiap yang memabukkan itu khamar, dan setiap yang memabukkan itu haram”.
(Hadits riwayat Imam Muslim)

Hadits di atas menjelaskan kepada kita bahawa istilah “khamar” itu merangkumi segala jenis minuman yang memabukkan. Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj menyatakan bahawa setiap cecair yang memabukkan itu termasuklah jenis khamar dan segala jenisnya sama ada yang diperbuat daripada anggur atau nabiz yang diperbuat selain daripada anggur.

Jadi apapun nama, jenis atau gelaran yang diberikan kepadanya, beerkah, vodkakah, whiskykah, champagnekah, brandykah, atau apa-apa sahaja pun, selama mana ianya adalah jenis minuman yang memabukkan, maka hukumnya adalah haram. Orang yang meminum arak dihukumkan fasiq dan dilaknat oleh Allah S.W.T. serta Rasul-Nya. Sehinggakan Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhuma melarang daripada memberi salam ke atas peminum arak.

Adapun jika dia mengingkari keharaman arak dan mengatakan bahawa meminum segala minuman yang memabukkan itu adalah halal dan tidak haram, maka dia dihukumkan sebagai murtad dan terkeluar daripada ugama Islam. Ini kerana dengan keingkarannya itu dia telah menolak dan mendustakan Allah S.W.T. dan RasulNya Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Selain haram, ia juga dihukumkan najis dalam kategori najis mutawassithah (pertengahan) yang perlu dibersihkan tempat yang terkena arak itu dengan membersihkannya sehingga hilang bau, rasa dan warnanya. Meminum arak merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar. Bukan sahaja ia satu dosa besar, malah ia turut digelarkan sebagai ummu al-khaba‘its yakni ibu atau paksi segala kejahatan. Ia digelarkan dengan gelaran yang sedemikian kerana segala bentuk kejahatan dan keburukan terhimpun di dalamnya dengan sebab tertutupnya akal dan fikiran siapa sahaja yang meminumnya. Ini satu gelaran yang sangat tepat untuk dinisbahkan kepada arak kerana bencana pasti akan melanda peminumnya dalam kehidupan dunia dan akhirat sekiranya dia tidak bertaubat.

Celaan Dan Janji Buruk Kepada Peminum Arak

Meminum arak satu perbuatan terkutuk yang dipandang keji oleh syara‘. Banyak nas-nas syara‘ yang mengeji dan mencela perbuatan meminum arak dengan berbagai celaan dan janji-janji buruk yang dahsyat lagi menggerunkan. Antaranya:

1.         Ia salah satu dosa-dosa besar. Bahkan beberapa orang sahabat Rasulullah s.a.w. seperti Abdullah bin Umar dan Abdullah bin ‘Abbas Radhiallahu ‘anhum berpendapat bahawa minum arak itu bukan sahaja salah satu daripada dosa-dosa besar, malah beliau mengganggap bahawa ia merupakan dosa besar yang paling besar.

2.         Meminum arak diumpamakan seperti melakukan syirik.

Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma menceritakan bahawasanya apabila disyariatkan pengharaman arak, para sahabat pun berkata: “Telah diharamkan arak, dan dijadikan (perlakuan minum arak itu) sama seperti perlakuan syirik (menyekutukan Allah)”.

3.         Kekal dalam neraka dan tidak akan masuk ke dalam syurga selama-lamanya.

Imam al-Bukhari dan Imam Muslim Rahimahumullah meriwayatkan dalam Shahih mereka bahawasanya Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Maksudnya: “Barangsiapa yang minum khamar di dunia lalu dia tidak bertaubat daripadanya, diharamkan (ke atasnya meminum) khamar pada hari akhirat.” (Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Khamar di akhirat bukanlah sepertimana khamar di dunia yang bersifat jijik, kotor, menghilangkan akal serta merbahaya. Adapun sifat khamar minuman ahli syurga itu ada disebutkan dalam al-Qur‘an sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam Surah ash-Shaaffaat ayat 46 dan 47, firman-Nya:

Tafsirnya: “(Warnanya) putih bersih lagi lazat rasanya bagi orang-orang yang meminumnya (46)Tidak ada di dalamnya (unsur) yang memabukkan dan mereka tidak mabuk kerananya (47).” (Surah ash-Shaaffaat: 46, 47)

Menurut Imam al-Khaththabi Rahimahullah, maksud diharamkan ke atas peminum arak yang tidak bertaubat daripada meminum khamar di hari akhirat itu ialah dia tidak akan masuk syurga kerana khamar itu adalah minuman ahli syurga. Maka apabila minuman ahli syurga itu diharamkan ke atasnya, ini membawa maksud bahawa dia tidak akan memasuki syurga. Imam Ibnu Abdilbarr Rahimahullah berkata: “Ini janji buruk yang menunjukkan pengharaman untuk memasuki syurga (bagi peminum arak yang tidak bertaubat)”. Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah pula berkata: “Janji buruk ini merangkumi semua peminum arak walaupun dia tidak mabuk (setelah meminumnya)”.

Ini adalah selama mana Allah S.W.T. tidak memaafkannya dan tidak mengurniakan pengampunan ke atasnya.

4.       Keimanan serta kedudukannya sebagai seorang mukmin dipertikai dan tidak diperakui.

Abu Hurairah R.a. meriwayatkan bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Maksudnya : “... Dan seseorang itu tidak minum arak, ketika dia sedang minum itu dia adalah seorang mukmin...”.  
(Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Ulama membuat beberapa penafsiran mengenai penafian iman terhadap peminum arak dalam hadits ini. Sebilangan ulama berpendapat bahawa ia membawa maksud perbuatan meminum arak itu menunjukkan dan mengakibatkan ketidak-sempurnaan atau kurangnya iman. Manakala sebahagian ulama pula berpendapat bahawa meminum arak itu mengakibatkan iman seseorang itu terhapus sama sekali. Menurut Imam Ibnu Baththal Rahimahullah, ini adalah janji buruk yang paling dahsyat ditujukan kepada peminum arak.

5.         Tidak diterima amalan solatnya selama empat puluh hari.

Dalam Sunan Imam at-Tirmidzi dan Musnad Imam Ahmad, Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma meriwayatkan bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Maksudnya: “Barangsiapa minum arak, Allah tidak menerima solatnya selama empat puluh pagi (empat puluh hari). Maka jika ia bertaubat, maka Allah akan terima taubatnya. Jika ia kembali (minum arak), maka Allah tidak menerima solatnya sel ma empat puluh pagi (empat puluh hari). Maka jika ia bertaubat, maka Allah terima taubatnya. Jika ia kembali (minum arak), maka Allah tidak menerima solatnya selama empat puluh pagi (empat puluh hari). Jika ia bertaubat, maka Allah terima taubatnya. Jika ia kembali (minum arak) untuk kali keempat, maka Allah tidak menerima solatnya selama empat puluh pagi (empat puluh hari). Jika ia bertaubat, maka Allah tidak akan menerima taubatnya dan Allah beri ia minum dari sungai  Khabal.”                                                                                                                                                                   (Hadits riwayat Imam at-Tirmidzi dan Imam Ahmad)

No comments:

Post a Comment