BERHATI-HATI!
JUDI ADA DALAM PERTANDINGAN ATAU PERADUAN
Judi
hukumnya adalah haram. Pengharamannya jelas disebutkan dalam al-Qur’an, firman
Allah S.W.T. Tafsirnya: “Wahai
orang-orang yang beriman! sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi
nasib dengan anak panah itu adalah (perbuatan) keji dari perbuatan syaitan.
Maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beroleh kemenangan (dan
keberuntungan)”.
(Surah al-Ma’idah: 90)
Syari‘at Islam telah menetapkan bahawa
judi adalah salah satu daripada dosa besar yang merupakan daripada perbuatan
syaitan yang wajib dijauhi. Firman Allah Ta‘ala: Tafsirnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Nabi
Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar.”
(Surah al-Baqarah: 219)
Pengertian Judi Judi disebut dalam
bahasa Arab sebagai al-maisir dan al-qimar.
Ulama' banyak mentakrifkan perkataan al-maisir dan al-qimar ini. Menurut
al-Jurjani Rahimahullah al-qimar ialah:
Ertinya: “Judi ialah seseorang mengambil sesuatu daripada sahabatnya (yang
diajak bermain) di dalam suatu permainan. Di zaman kita (740H-816H) permainan
(judi) itu ialah: Setiap permainan yang disyaratkan di dalamnya (bahawa) yang
menang daripada dua pihak yang bertanding, (untuk mendapat) sesuatu (habuan)
daripada yang kalah.”
Berkata Imam Fakhruddin ar-Razi
Rahimahullahu Ta‘ala, al-maisir ialah:
Ertinya: “Setiap sesuatu (permainan)
yang di dalamnya ada pertaruhan maka ia adalah (sebahagian) daripada judi.” Berkata
ash-Shabuni Rahimahullahu Ta‘ala pula ialah:
Ertinya: “Setiap permainan yang di
dalamnya (memberi) keuntungan kepada satu pihak dan kerugian kepada satu pihak
yang lain, ia adalah judi yang diharamkan.” Al-Mahalli Rahimahullahu Ta‘ala pula
berkata bahawa di antara bentuk judi yang diharamkan itu ialah:
Ertinya: “Bahawa setiap kedua belah
pihak (di dalam suatu permainan) ragu-ragu (tidak pasti) di antara (sama ada)
dia akan mendapat habuan dan (atau) dia akan menanggung kerugian.”
Dari pengertian para ulama' itu
dapatlah difahami bahawa unsur utama yang menyebabkan suatu permainan itu
menjadi judi ialah pertaruhan, seperti disyaratkan kepada dua belah pihak yang
bertanding mempertaruhkan harta sama ada dalam bentuk wang ringgit atau selainnya
dan pihak yang menang akan mendapat taruhan tersebut.
Perkara ini jelas disebutkan oleh
al-Mahalli Rahimahullahu Ta‘ala Ertinya: “Maka jika disyaratkan di dalamnya
(suatu permainan) ada harta (atau wang untuk dipertaruhkan) daripada kedua
belah pihak iaitu bahawa barang siapa yang menang daripada kedua belah pihak,
(harta atau wang pihak lain yang dipertaruhkan) menjadi miliknya (orang yang
menang), maka itulah judi yang diharamkan.” Pertaruhan dari pihak yang
bertanding inilah yang menjadikan suatu pertandingan atau peraduan itu gugur
menjadi judi. Maka dengan sebab itulah setiap pertandingan atau peraduan yang
ada unsur taruhan adalah judi.
Judi Dalam
Pertandingan Atau Peraduan
Perjudian boleh berlaku dalam
pertandingan dan peraduan. Antara peraduan masa kini yang jelas dikategorikan
sebagai judi kerana berlandaskan pertaruhan ialah seperti permainan al-yanasib iaitu
loteri. Dalam peraduan ini penganjur akan menyediakan kupon yang mengandungi
nombor dengan meletakkan harga tertentu pada kupon tersebut. Setelah cabutan
nombor dilakukan, pelanggan bertuah yang memiliki nombor tertentu sahaja akan
memperoleh hadiah yang disediakan dan yang lain mendapat kerugian. Ini
menunjukkan ada unsur-unsur mengambil harta orang dengan cara yang batil
sehingga menyebabkan sebahagian pihak lain mendapat kerugian.
Maka mempertaruhkan wang dalam sesuatu
pertandingan atau peraduan adalah mengandungi unsur judi. Dalam pertandingan
atau peraduan masa kini kebanyakkannya ada mensyaratkan bayaran penyertaan.
Bayaran penyertaan ini boleh meletakkan pertandingan atau peraduan masa kini
itu menjadi judi. Cuba kita perhatikan contoh pertandingan atau peraduan
berikut:
Pertandingan
Atau Peraduan Menggunakan Perkhidmatan Pesanan Ringkas (SMS):
Peraduan kuiz secara umumnya dibolehkan
jika tiada sebarang bayaran disyaratkan apabila menyertainya. Pada masa kini,
peraduan kuiz dengan menggunakan perkhidmatan pesanan ringkas atau short
messaging service (SMS) semakin menjadi popular dan laris kerana ia mudah
disertai. Apa yang jelas mengenai peraduan ini, para peserta yang menyertai
peraduan atau teka-teki dengan menggunakan perkhidmatan ini akan dikenakan
kadar bayaran yang lebih tinggi daripada kadar bayaran SMS biasa. Umpamanya
pelanggan diminta meneka pemain terbaik dalam sesuatu perlawanan bola sepak.
Kemudian tekaan itu dihantar melalui SMS dengan kadar bayaran yang lebih tinggi
dari kadar penghantaran biasa. Umpamanya kadar bayaran biasa 10 sen tetapi
apabila mengikuti kuiz, kadar bayaran menjadi 50 sen. Hanya sesiapa yang
menjawab dengan tepat sahaja akan mendapat hadiah. Yang tidak, tidaklah. Maka
kadar bayaran yang tinggi inilah yang menjadikan peraduan itu mempunyai
persamaan dengan judi, kerana peraduan itu sudah menjadi seperti peraduan
berbayar yang merupakan antara kriteria utama judi. Bahkan jika peruduan SMS
itu tidak mengenakan bayaran yang lebih tinggi daripada kadar bayaran SMS biasa
sekalipun, peraduan seumpama itu juga ditakuti syubhah. Syubhah yang
dimaksudkan ialah kedudukan peraduan mendekati seperti peraduan berbayar juga.
Cuma pembayaran di dalam peraduan ini tidak secara langsung kerana bayaran itu
diperuntukkan bagi membayar kadar perkhidmatan SMS biasa.
Begitu juga dengan peraduan lelong
melalui SMS yang pernah dibuat suatu masa dahulu melalui akhbar-akhbar
tempatan. Peraduan ini jelas tidak menepati lelong yang diharuskan oleh syara‘.
Kerana dalam jualan lelong melalui SMS ini, penganjur menawarkan beberapa
barang untuk dilelong, kemudian para pelanggan yang ingin menyertainya akan
membuat tawaran melalui SMS dengan kadar bayaran tiga ringgit atau lebih.
Pelanggan yang paling banyak
menghantarkan taruhan harga, dialah yang akan menerima barang tersebut.
Perbezaan jualan lelong melalui SMS ini dengan jualan lelong yang diharuskan
oleh syara‘ ialah jualan lelong melalui SMS mengenakan bayaran kepada semua
pelanggan setiap kali mereka menyebut harga dengan menghantarnya melalui SMS.
Sedangkan tidak kesemua pelanggan itu
akan memperoleh barang lelong tersebut, bahkan mereka hanya mendapat kerugian
kerana turut membayar kepada penganjur setiap kali mereka menaruh
harga.Manakala jualan lelong yang diharuskan oleh syara’, ianya tidak
mengenakan sebarang bayaran kepada mereka yang berminat untuk membeli, kecuali
kepada siapa yang membuat tawaran harga paling akhir yang disanggupi oleh si
pembeli.
Berdasarkan kriteria ini, maka kedua-dua
bentuk peraduan melalui SMS itu, adalah jelas mengandungi unsur-unsur
perjudian, kerana setiap mereka yang menyertai peraduan dikenakan bayaran dan
terdedah kepada risiko sama ada memperolehi keuntungan atau menanggung kerugian
daripada peraduan itu.
Cabutan
Bertuah Dalam Promosi Jualan
Banyak promosi cabutan bertuah yang
dijalankan oleh syarikat-syarikat atau bank-bank dan institusi kewangan dengan
menawarkan hadiah-hadiah seperti pakej umrah, kereta, rumah dan bermacam-macam
lagi. Promosi cabutan bertuah ini juga ada persamaan dengan judi jika dikenakan
sebarang bayaran apabila menyertainya. Jika peserta yang mengikuti cabutan
bertuah tersebut tidak dikenakan sebarang bayaran, maka promosi sedemikian
adalah harus dan tidak bertentangan dengan konsep muamalah menurut hukum syara‘
kerana hadiah itu adalah semata-mata sumber daripada penganjur sendiri atau
pihak lain daripada pelanggan.
Namun jika jenis cabutan bertuah itu
mengandungi unsur penganiayaan iaitu salah satu pihak daripada dua belah pihak
akan mengalami risiko sama ada untung atau rugi, sama ada secara langsung atau
pun tidak, umpamanya dengan menaikkan harga barangan atau perkhidmatan daripada
harganya yang biasa disebabkan adanya hadiah yang ditawarkan itu ataupun untuk
menyertai cabutan undian bertuah itu, peserta disyaratkan mesti membuat
sebarang pembayaran dengan membeli tiket bagi cabutan nombor bertuah maka
peraduan seperti ini diharamkan.
Begitu juga jika sesebuah syarikat
mensyaratkan pembelian barangan sekurang-kurangnya dengan harga $10/= (sepuluh
ringgit) umpamanya, iaitu sebagai syarat untuk memperolehi sebarang hadiah yang
ditawarkan oleh sesebuah syarikat itu, sekalipun pembeli akan mendapat barang
tersebut tanpa sebarang kerugian, namun menetapkan syarat pembelian dengan
$10/= itu, ditakuti membawa kepada judi juga. Sementara jika seseorang yang
bukan tujuan asasinya membeli barang, bahkan tujuannya yang sebenar ialah
semata-mata untuk mendapatkan hadiah yang ditawarkan, maka perbuatan seperti
ini adalah menuju kepada cara atau bentuk perjudian atau menghampiri perjudian.
Perbuatan sebegini juga ditakuti termasuk syubhah. Syubhah yang dimaksudkan
ialah pembeli berniat atau bertujuan untuk memperolehi hadiah yang ditawarkan,
dengan niat itu maka pembeli akan merasa rugi sekiranya hadiah itu tidak
diperolehinya.
Maka disini jelas bahawa bayaran yang
dikenakan untuk menyertai apapun bentuk pertandingan atau peraduan, ada
persamaannya dengan wang taruhan dalam permainan judi, apabila hadiah pertandingan atau peraduan
bersumber daripada bayaran penyertaan peserta.
Oleh yang demikian, semua pihak
lebih-lebih lagi para penganjur terutama sekali mereka yang terdiri daripada
orang Islam hendaklah sentiasa peka terhadap ketetapan hukum syara‘. Ini kerana
penganjur yang berniaga untuk mengaut keuntungan dengan mendorong orang ramai
merebut hadiah yang dijanjikan yang di dalamnya terdapat unsur pertaruhan atau
perjudian jelas melakukan dosa kerana memakan harta orang lain secara batil.
Memakan harta secara batil itu adalah amat dilarang oleh Islam sebagaimana
firman Allah S.W.T. Tafsirnya:
“Dan janganlah kamu
makan harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang bathil, dan janganlah
kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim supaya kamu
dapat mengambil sebahagian daripada harta orang lain dengan cara berbuat dosa,
padahal kamu mengetahui salahnya.”
(Surah al-Baqarah: 188)
Larangan ini juga jelas disebut oleh
hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membelanjakan harta Allah tidak dengan
(pembahagian) benar, maka bagi mereka adalah api neraka pada hari kiamat.”
( Hadis riwayat al-Bukhari )
Kesimpulannya, apapun jua jenis
pertandingan atau peraduan yang ada pertaruhan wang atau harta dari pihak-pihak
yang menyertainya dan mereka semuanya sama-sama mempunyai peluang untuk
mendapat habuan atau keuntungan dan sama-sama juga mempunyai risiko menanggung
kerugian, sementara pihak yang menang akan mengambil habuan daripada pihak yang
kalah, maka pertandingan atau peraduan seperti itu adalah dikategorikan sebagai
judi. Maka sayugialah kita supaya berhati-hati dan peka dengan pertandingan
atau peraduan yang ada mensyaratkan bayaran kerana ia boleh jatuh kepada
perjudian tanpa kita sedari jika kita tidak mengambil berat mengenainya
No comments:
Post a Comment