BERHIAS DENGAN MENYAMBUNG RAMBUT: ADAKAH
DIBOLEHKAN?
Sudah
menjadi fitrah perempuan suka berhias dan bergaya agar berpenampilan cantik dan
anggun. Ada yang sanggup berbelanja besar demi untuk mendapatkan barang
kecantikan dan perhiasan yang berkualiti. Aksesori untuk berhias pula semakin
hari semakin banyak muncul di pasaran. Antara aksesori yang kini semakin
mendapat perhatian perempuan ialah aksesori menyambung rambut.
Peroalannya,
adakah perbuatan menyambung rambut ini diharuskan oleh syara‘ ataupun
sebaliknya. Terdapat tiga cara menyambung rambut yang dikenalpasti:
1. Menyambung dengan menggunakan rambut
manusia
2. Menyambung dengan menggunakan bulu
binatang
3. Menyambung dengan menggunakan sesuatu
selain daripada rambut manusia dan bulu binatang.
Perbuatan menyambung rambut ini
sebenarnya telah wujud sejak zaman Rasulullah s.a.w. sehinggakan Baginda ada
melarang perbuatan tersebut sebagaimana disebutkan dalam hadits yang
diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha : Maksudnya: “Sesungguhnya ada seorang
perempuan dari golongan Anshar, dia telah berkahwin. Dan dia sebenarnya sakit,
lalu luruh rambutnya (kerana penyakit itu). Mereka (keluarganya) hendak
menyambung rambutny. Mereka pun bertanya hal itu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam. Maka Baginda berkata: “Allah melaknat orang yang menyambungkan rambut
dan orang yang meminta disambungkan rambut.” (Hadits riwayat
al-Bukhari)
Hadits
ini menjelaskan bahawa perbuatan menyambung rambut itu adalah haram, malah
Allah S.W.T. melaknat orang yang menyambungkan rambut dan orang yang meminta
disambungkan dan perbuatan ini termasuk dalam dosa-dosa besar.
Untuk
lebih jelas dihuraikan cara atau keadaan menyambung rambut yang diharamkan atau
diharuskan oleh syara ‘.
Pertama:
Hukum Menyambung Rambut Dengan Menggunakan Rambut Manusia
Haram
seorang perempuan menyambung rambutnya dengan rambut manusia, sama ada rambut
kepunyaan perempuan itu atau lelaki dan sama ada rambut mahram perempuan
tersebut, suaminya atau orang lain. Ini berdasarkan kepada umum hadits yang
disebutkan sebelum ini yang melarang perbuatan menyambung rambut. Selain
daripada larangan yang terkandung dalam hadits, perbuatan menyambung rambut
dengan rambut manusia diharamkan kerana mengambil manfaat daripada bahagian
tubuh manusia adalah haram disebabkan kemuliaan manusia itu.
Mana-mana
bahagian dari tubuh manusia amat dimuliakan sehinggakan kuku, rambut dan apa
sahaja bahagian dari tubuh manusia ditanam jika bercerai dari tubuhnya. Dalam
kitab al-Majmu‘, Imam an-Nawawi Rahimahullah menyebutkan bahawa: Ertinya: “Jika
seorang perempuan menyambungkan rambutnya dengan rambut manusia lain, maka
perbuatannya itu adalah haram tanpa ada khilaf (perselisihan pendapat), sama
ada rambut itu kepunyaan lelaki atau perempuan, dan juga sama ada rambut itu
kepunyaan mahramnya atau suaminya atau selain keduanya.”
Kedua:
Menyambung Rambut Dengan Menggunakan Rambut Binatang
Rambut
binatang terbahagi kepada dua jenis:
a) Bulu yang najis, iaitu bulu yang diambil
daripada bangkai binatang (sama ada binatang yang tidak halal dimakan atau
binatang yang halal dimakan, tetapi mati kerana tidak disembelih) atau rambut
yang diambil daripada binatang yang tidak halal dimakan dagingnya apabila bulu itu
terpisah ketika ia masih hidup.
b) Bulu yang suci, iaitu bulu yang diambil
daripada binatang yang halal dimakan sama ada ia diambil ketika binatang itu
masih hidup atau mati kerana disembelih.
A) Hukum menyambung rambut dengan bulu
binatang yang najis
Haram hukumnya seorang perempuan
menyambung rambutnya dengan bulu binatang yang najis. Ia termasuk dalam umum hadits
yang melarang perbuatan menyambung rambut. Begitu juga menyambung rambut dengan
rambut binatang yang najis. Ini kerana dia menggunakan suatu zat yang najis
pada tubuh badan dan kerana dia menanggung najis ketika dalam solat dan di luar
solat secara senghaja.
B) Hukum menyambung rambut dengan bulu binatang
yang suci
Perempuan
yang belum berkahwin dan perempuan yang sudah berkahwin tetapi tidak mendapat
keizinan suaminya adalah haram menyambung rambut mereka dengan bulu binatang
yang suci. Ini berdasarkan kepada umum hadits yang melarang perbuatan
menyambung rambut. Manakala bagi perempuan yang sudah berkahwin dan mendapat
keizinan suaminya, menurut pendapat yang ashah, harus dia menyambung rambutnya
dengan bulu binatang yang suci. Keharusan isteri menyambung rambutnya dengan
bulu binatang yang suci adalah dengan keizinan suami dengan niat berhias-hias
untuk suaminya.
Ketiga:
Menyambung Rambut Dengan Benang, Perca Atau Tali Sutera
Hukum
menyambung rambut dengan benang, perca, tali sutera dan yang seumpamanya adalah
diharuskan dan tidaklah dilarang jika tidak menyerupai dengan rambut manusia. Adapun
penggunaan benda-benda selain daripada rambut manusia atau bulu binatang untuk
dijadikan sebagai pengikat rambut seperti memakai sulaman benang sutera yang
beraneka warna atau selainnya seperti perca kain ataupun tali pengikat yang
tidak menyerupai rambut adalah diharuskan.
Berdasarkan
yang sedemikian, jika penyambung rambut berupa benang atau tali sutera atau pengikat
rambut tersebut menyerupai rambut, maka ini tidaklah dibolehkan kecuali bagi
isteri dengan keizinan suami. Oleh yang demikian jelas bahawa maksud larangan
dalam hadits-hadits tersebut adalah penyambungan rambut dengan apa-apa jenis
rambut manusia atau rambut/bulu binatang yang ditegah sama ada banyak atau
sedikit. Penggunaan getah untuk mengikat rambut atau perhiasaan untuk menghias
rambut tidaklah dilarang kerana bukanlah bertujuan meyambung rambut.
Berdasarkan
penjelasan di atas, dapatlah diambil kesimpulan bahawa adanya larangan
perbuatan menyambung rambut dengan rambut manusia secara mutlak dan rambut atau
bulu binatang najis. Manakala jika sambungan itu diperbuat daripada bulu
binatang yang suci, maka penyambungan itu hanya dibenarkan bagi perempuan yang
sudah berkahwin dan ada keizinan daripada suaminya. Jika disambung dengan benang sutera atau
perca, maka ia adalah diharuskan.
No comments:
Post a Comment