SHISHA:
APA HUKUM MENGGUNAKANNYA?
Penggunaan shisha semakin diminati oleh
sebahagian masyarakat kita. Menurut satu catatan sejarah, alat shisha ini telah
dicipta di India oleh seorang doktor sebagai satu cara atau alternatif yang
dapat mengurangkan bahaya menghisap tembakau. Menurut doktor tersebut, asap
tembakau yang disedut itu perlu ditapis terlebih dahulu melalui satu bekas air
agar ia tidak mendatangkan bahaya kepada penggunanya. Maka ramailah orang percaya
bahawa ia selamat digunakan berbanding dengan menghisap rokok. Kepercayaan lama
ini masih tersebar dan mempengaruhi orang yang baru mengenal atau
menggunakannya hinggalah ke hari ini. Namun sejauh manakah kebenaran
kepercayaan ini? Adakah kemudharatan menggunakan shisha lebih ringan daripada
kemudharatan menghisap tembakau dengan rokok?
Apakah
Sebenarnya Shisha Itu?
Shisha (Waterpipe) adalah sejenis alat
yang digunakan untuk menghisap tembakau dan bahan-bahan lain seumpamanya. Ia
digunakan oleh puak asli di Afrika dan Asia lebih kurang empat kurun yang lalu.
Secara umumnya alat shisha terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu:
(i) Bahagian
kepala (head), yang merupakan sebiji mangkuk (yang diperbuat dari tanah liat) untuk
meletakkan tembakau dan arang.
(ii) Bahagian
badan atau tengah (body), merupakan penghubung antara bahagian kepala dan
bahagian bawah dan kebiasaannya ia diperbuat daripada bahan logam ataupun kayu.
(iii) Bahagian
bawah yang merupakan sebiji mangkuk air (water bowl/water chamber). Biasanya ia
diisikan dengan air tetapi kadang kala ia juga boleh diisikan dengan susu, jus
buah-buahan ataupun wain. Bekas air ini selalunya diperbuat daripada kaca.
(iv) Hos
dan alat penyedut (mouthpiece) yang digunakan untuk menyedut asap keluar daripada
alat shisha tersebut.
Namun begitu terdapat juga beberapa
perbezaan dalam reka bentuk shisha ini mengikut tempat serta adat penduduk yang
menggunakannya. Sebagai contoh, ada yang mempunyai hos dan alat penyedut yang
lebih dari satu dan boleh dikongsi berdua atau lebih dan juga perbezaan pada
bentuk dan saiz bahagian kepala atau bekas airnya. Bahkan nama bagi shisha ini
juga berbeza mengikut tempat atau negeri. Misalnya di negeri-negeri di kawasan
Mediterranean Timur (Turki, Syria dan lain-lain) ia dikenali dengan nama
narghile, di Mesir dan di sesetengah negeri Afrika Utara pula ia dikenali
sebagai shisha atau goza dan di India ia dipanggil hookah. Dalam Bahasa
Inggeris ianya dipanggil waterpipes tetapi nama shisha lebih dikenali dan
sering digunakan.
Jenis
Tembakau Shisha
Terdapat dua jenis tembakau shisha iaitu
yang dipanggil mu‘assal dan ‘ajami . Tembakau mu‘assal terdiri daripada
campuran tembakau, buah-buahan dan bahan manisan seperti sirap daripada tebu
ataupun madu. Ia juga ditambah dengan glycerin, bahan perisa serta pewarna yang
lain. Tembakau mu‘assal ini basah dan melekit dan apabila digunakan akan
mengeluarkan bau yang manis dan nyaman seperti bau buah-buahan dan kebayakan
pengguna lebih suka menggunakan tembakau jenis ini.
Tembakau ‘ajami pula selalunya tidak
berperisa, kering dan lebih asli. Sebelum digunakan ia perlu dicampurkan dengan
air sehingga ia boleh dicanai atau dibentuk dan harganya lebih mahal.
Cara
Menggunakan Shisha
Cara menggunakannya ialah dengan
membakar tembakau shisha itu dengan meletakkan bahan pembakar seperti arang
(sama ada arang kayu atau arang campuran) kerana tembakau shisha ini tidak
dapat terbakar dengan sendirinya secara berterusan. Kemudian asap tembakau itu
disedut dengan menggunakan hos atau alat penyedut. Tetapi perlu diingat bahawa
apabila pengguna menyedut asap daripada alat shisha ini, dia bukan sahaja
menyedut asap daripada tembakau tetapi juga asap daripada arang, yang
masing-masing mengandungi bahan kimia dan toksik yang terhasil dari pembakaran
tersebut.
Kesan
Shisha Menurut Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
Menurut satu dokumen yang bertajuk
“Tobacco: Deadly In Any Form or Disguise” yang telah dikeluarkan oleh
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2006,
bahawa tembakau walau dalam bentuk apa pun tetap boleh mendatangkan bahaya dan
mudharat kepada penggunanya, termasuklah shisha. Ini kerana satu sesi
penggunaan shisha (lebih kurang 20-80 minit) akan mendedahkan penggunanya
kepada asap yang lebih banyak dalam masa yang lebih lama berbanding daripada
sebatang rokok (lebih kurang 5-7 minit), dan asap yang terhasil dari shisha tersebut
mengandungi bermacam-macam bahan toksik yang diketahui boleh menyebabkan kanser
paru-paru, penyakit jantung dan berbagai jenis penyakit yang lain.
Manakala asap daripada shisha (yang
terhasil dari pembakaran tembakau dan arang) mengandungi gas berbahaya seperti
karbon monoksida. Selain itu ia juga mengandungi hidrokarbon (benzene dan
benzo-pyrene) yang dikatakan bahan penyebab kanser tetapi kadarnya belum dapat
dipastikan.
Dari hasil penyelidikan yang
dijalankan, penggunaan shisha juga dikaitkan dengan berbagai penyakit serius
seperti penyakit jantung koronari, atherosclerosis, penyakit sistem pernafasan
yang kronik, kanser mulut, kanser pundi kencing dan juga saluran darah
tersumbat (clogged arteries).
Selain itu penggunaan shisha juga
dikaitkan dengan beberapa jenis penyakit berjangkit seperti turberculosis (tibi),
hepatitis, herpes, jangkitan virus di bahagian pernafasan dan bahkan juga HIV.
Walaupun kajian mengenai shisha ini belum dilakukan secara intensif sebagaimana
yang dilakukan terhadap rokok, namun kajian awal telah menunjukkan bahawa
shisha itu boleh membawa risiko dan bahaya yang sama yang disebabkan oleh
rokok. Ini adalah berdasarkan kesimpulan yang telah dibuat pihak WHO dan
disokong oleh data saintifik, telah menyatakan: Menggunakan shisha untuk
menghisap tembakau boleh menyebabkan bahaya kesihatan yang serius kepada
perokok dan juga orang lain yang terdedah kepada asap tembakau tersebut.
Apa yang jelas menurut hasil kajian dan
data yang ada mengatakan bahawa Shisha boleh membawa risiko dan bahaya yang
sama seperti rokok dan ia bukanlah satu aternatif yang selamat bagi rokok.
Hakikatnya, walaupun dalam bentuk dan cara yang berbeza menghisap shisha adalah
menghisap tembakau dan kajian sains telah membuktikan bahawa tembakau dan
pendedahan kepada asapnya boleh menyebabkan bermacam-macam penyakit, bahkan
boleh membawa maut.
Larangan
Memudharatkan Atau Membunuh Diri
Ugama Islam sebagai ugama sejahtera
sangat menghargai nyawa serta kehidupan dan mementingkan kesihatan, keafiatan,
kecergasan dan kekuatan, dan kesemuanya itu bagi tujuan yang satu iaitu untuk
beribadat kepada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala. Kerana itu Islam melarang umatnya
daripada memudharatkan diri mereka sendiri, apatah lagi membunuh diri sendiri.
Larangan ini banyak disebutkan dalam ayat-ayat al-Qur’an antaranya firman Allah
S.W.T. Tafsirnya: “Dan janganlah kamu
membunuh diri kamu sendiri (atau membunuh orang lain). Sesungguhnya Allah Maha
Pengasih terhadap kamu.”
(Surah an-Nisa 29)
FirmanNya lagi: Tafsirnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan
diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam bahaya kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah: 195)
Dalam hadits Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam juga jelas melarang umatnya daripada membahayakan diri sendiri
dan juga orang lain. Sabda Baginda : Maksudnya:“Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh berbuat kemudharatan.”
(Hadits riwayat Ibnu Majah)
Ayat al-Qur’an dan hadits ini jelas
melarang manusia dari membunuh dan memudharatkan dirinya sendiri dan juga orang
lain. Kerana seseorang manusia itu tidaklah memiliki dirinya sendiri sehingga
dia boleh sesuka hati melakukan apa sahaja yang dikehendakinya. Bahkan dia
adalah milik Allah Subhanahu Wa Ta‘ala. Kehidupannya adalah hak Allah
Subahanahu Wa Ta‘ala kerana Dialah yang mengurniakannya dan Dialah yang berhak
ke atasnya. Begitu juga kesihatan seseorang, ia merupakan kurnia dan nikmat
Allah kepadanya. Oleh kerana itu haram seseorang menamatkan riwayat hidupnya
sendiri (membunuh diri) dan memudharatkan kesihatannya padahal dia tahu
bahayanya, kerana manusia dan kehidupannya adalah milik Allah Subhanahu Wa
Ta‘ala.
Tidak ada perbezaan antara orang yang
membunuh diri secara mengejut dengan orang yang membunuh diri secara
perlahan-lahan, seperti dengan memakan racun. Ini kerana kedua-duanya mempunyai
tujuan yang sama, yang berbeza hanyalah segera ataupun lambat. Tetapi
natijahnya adalah sama iaitu memudharatkan atau menyebabkan kematian. Kedua-dua
cara ini sama tertegahnya di sisi Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.
Untuk memelihara kesejahteraan umatnya,
Islam juga telah menetapkan beberapa kaedah bagi menolak bahaya dan
kemudharatan, antara kaedah yang digunakan para ulama dalam menentukannya ialah
: Ertinya: “Kemudharatan itu dihilangkan
(dihindarkan).” Maka jika sesuatu benda itu sabit mendatangkan mudharat,
kerosakan dan kebinasaan, hendaklah ia dijauhi dan dihindari. Memakan, meminum
dan juga menghisap benda-benda yang memudharatkan hendaklah dielakkan bahkan ia
dihukumkan haram. Tidak kira sama ada bahaya atau mudharat tersebut datang
secara perlahan-lahan atau serta merta, kerana para ulama telah mengatakan
bahawa bahaya secara perlahan-lahan juga adalah sama dengan bahaya yang serta
merta, kedua-duanya perlu dielakkan.
Jika dilihat
berdasarkan hasil kajian yang ada setakat ini menyatakan bahawa shisha itu
boleh membayahakan kesihatan sebagaimana rokok, maka ia adalah haram. Kerana
apabila syara‘ mengharamkan al-khaba’its (benda-benda yang keji, jijik, buruk
dan seumpamanya) atau perkara yang merbahaya atau memudharatkan, ia adalah
berdasarkan kaedah: “Apa juga makanan atau minuman yang mengandungi unsur-unsur
al-khaba’its adalah haram.”
Yang mana kaedah ini didasarkan kepada
ayat-ayat al-Qur’an serta hadis di atas. Maka apabila shisha itu memudharatkan,
dan setiap yang memudharatkan itu haram dimakan atau diminum, maka menghisap
tembakau menggunakan shisha itu juga adalah haram.
Menyentuh mengenai perkara memakan dan
meminum benda yang memudharatkan dan merosakkan tubuh badan, dalam al-Qur’an
Allah S.W.T. telah menerangkannya dengan terang dalam firmanNya: Tafsirnya : “Dan Dia menghalalkan bagi mereka yang
baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka (segala) yang buruk.”
(Surah al-A‘raf 157)
Antara maksud atau huraian perkataan
al-khaba’its ialah sesuatu yang menjadi sebab kerosakan dan bahaya kepada tubuh
badan atau dari sumber-sumber yang memudharatkan. Walaupun perkataan
al-khaba’its dalam ayat ini ditujukan kepada (memakan) daging babi dan riba,
namun menurut al-Imam Fakhruddin ar-Razi Rahimahullahu Ta‘ala ketika mengulas
ayat di atas adalah seperti berikut: Ertinya: “Mengikut pendapatku: Setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat
(tabiat semula jadi) dan dianggap kotor oleh jiwa, adalah memakannya boleh
menyebabkan timbul kesakitan atau kemudharatan. Dan asal (dasar) hukum segala
yang memudharatkan itu haram. Oleh yang demikian, maka asal (dasar) hukum
setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat juga adalah haram, melainkan
benda-benda yang mempunyai bukti untuk dikecualikan.”
Berdasarkan hasil kajian dan
penyelidikan awal mengenai shisha, menunjukkan bahawa ia boleh membawa risiko
dan bahaya yang sama seperti rokok, bahkan ia juga dikatakan boleh menyebabkan
penyakit yang sama yang berkaitan dengan menghisap rokok. Walaupun kajian yang
lebih terperinci masih dijalankan dan belum ada keputusannya, namun hasil
keputusan itu nanti tidak mungkin menyatakan bahawa shisha itu selamat
digunakan dan tidak membahayakan kesihatan kerana menurut kajian awal
(preliminary research) sahaja telah menunjukkan bahayanya terhadap kesihatan.
Maka jelaslah bahawa menghisap tembakau
menggunakan shisha membawa bahaya kepada kesihatan dan boleh menyebabkan
berbagai penyakit, maka hukum menghisapnya adalah haram. Ini kerana sebagaimana
yang telah dihuraikan sebelum ini, setiap yang boleh memudaratkan atau mendatangkan
bahaya, tidak kira secara perlahan atau serta merta, hukumnya adalah haram.
myherb2u
ReplyDelete