PERMASALAHAN
RAGU-RAGU DALAM BILANGAN RAKAAT SEMBAHYANG
Manusia mempunyai berbagai-bagai
sifat kelemahan lagi serba kekurangan. Sifat lupa, silap, ragu-ragu dan
sebagainya merupakan antara sifat-sifat kekurangan yang sering melanda manusia
dalam apa sahaja perkara serta urusan, tidak terkecuali juga ketika melakukan
ibadat seperti solat dan puasa. Namun demikian, syara‘ tidak terlepas pandang
akan kelemahan dan kekurangan manusia ini. Kerana itu, dalam mengerjakan ibadat
solat misalnya, syara‘ telah memberikan bimbingan serta hukum-hukum tertentu
sekiranya dalam ibadat solat seseorang itu terdapat kekurangan atau kecacatan akibat
dari sifat-sifat kelemahan ini. Khusus mengenai ibadat sembahyang, antara
perkara yang sering melanda manusia ketika mengerjakannya ialah ragu-ragu dalam
bilangan rakaat. Syara‘ telah menyediakan beberapa panduan serta kaedah
tertentu bagi menghadapi masalah ragu-ragu dalam bilangan rakaat ini:
1. Kaedah
asas apabila ragu-ragu dalam bilangan rakaat ialah meninggalkan yang syak dan
mengambil yang yakin.
Apabila
seseorang itu mengerjakan ibadat sembahyang, lalu dia ragu-ragu bahawa adakah bilangan
rakaat sembahyangnya sudah cukup ataupun masih kurang, sebagai contoh, ketika
menunaikan solat fardhu Zuhur, dia ragu-ragu mengenai rakaat yang sedang
dikerjakannya pada ketika itu adakah rakaat ketiga ataupun rakaat keempat, maka dalam
situasi ini, orang itu wajib mengetepikan keraguannya dan mengambil bilangan
yang yakin, iaitu mengirakan bahawa bilangan rakaatnya masih kurang. Ini dengan
mengirakan bahawa rakaat yang dikerjakannya itu ialah rakaat ketiga, kemudian hendaklah
dia menambah satu rakaat lagi (rakaat keempat) selepas rakaat ketiga itu bagi
menghilangkan keraguan yang ada tadi dan sebagai langkah ihthiyath (berhati-hati).
Ini kerana menurut asalnya, dia dikirakan belum mengerjakan rakaat keempat.
Kemudian
setelah selesai rakaat keempat, sunat dia mengerjakan sujud sahwi selepas
tahiyyat akhir, iaitu sebelum memberi salam. Perkara ini dilakukan adalah bagi
menambal kecederaan atau kecacatan yang terdapat dalam sembahyangnya kerana dia telah meneruskan rakaat
yang dikerjakannya selepas rakaat ketiga itu secara ragu-ragu akan bilangannya
yang sebenar, di samping terdapat kemungkinan bahawa rakaat yang dikerjakannya
secara ragu-ragu itu boleh jadi rakaat keempat dan boleh jadi juga rakaat yang kelima.
Menurut pendapat yang ashah dalam
mazhab asy-Syafi‘e, sujud sahwi itu tetap sunat dikerjakan walaupun sebelum memberi
salam dia teringat dan yakin bahawa rakaat yang 3 terakhir dikerjakannya itu
adalah benar-benar rakaat yang keempat.
2. Dalam
perkara ragu-ragu dalam bilangan rakaat ini, seseorang itu tidak boleh
bersandar kepada sangkaannya semata-mata. Begitu juga dia tidak boleh berpegang
kepada kata-kata mahupun perbuatan orang lain sebagai sandaran bagi memastikan bilangan
sebenar rakaat sembahyangnya. Ini kerana perkara ini berkait dengan urusan
sembahyangnya sendiri dan tidak ada kena mengena dengan orang lain, jadi tidak
dibolehkan baginya berpegang atau berpandukan kepada kata-kata mahupun
perbuatan orang lain tentang urusan sembahyangnya sendiri.
Bagaimanapun,
menurut Imam az-Zarkashi Rahimahullah, jika bilangan orang ramai itu mencapai
bilangan mutawatir, yang menurut kebiasaannya, perkhabaran dari orang ramai dalam
bilangan seumpama itu dapat diyakini dan dapat dipastikan kesahihannya, maka
dalam hal ini hendaklah orang itu berpegang kepada kata-kata ataupun perbuatan
orang-orang tersebut. Bahkan menurut Imam asy-Syibramalissi Rahimahullah, wajib
atasnya mengikut kata-kata ataupun perbuatan orang ramai yang mencapai bilangan
mutawatir itu. Sekiranya seseorang itu mengerjakan solat dalam jemaah yang bilangannya mencapai bilangan
mutawatir itu.
Sekiranya
dia ragu-ragu dalam bilangan rakaat sembahyangnya, maka memadailah dia berpandu
kepada perbuatan ahli jemaah solat tersebut dan mengikut mereka.
Menyentuh
tentang jumlah bilangan mutawatir ini, Imam asy-Syibramalissi dan Imam
asy-Syarwani Rahimahumullah menukilkan dalam kitab mereka bahawa sebahagian
pendapat ada menyebutkan bahawa bilangan yang dikirakan sebagai mutawatir itu
ialah sekurang-kurangnya hendaklah melebihi bilangan empat orang.
3. Sekiranya
sewaktu mengerjakan suatu rakaat itu dia ragu-ragu akan bilangannya, lalu dia
mengerjakan rakaat yang seterusnya dalam keadaan ragunya itu masih ada, maka
disunatkan dia sujud sahwi.Sebagai contoh, dalam solat empat rakaat seperti solat
fardhu Zuhur misalnya, ketika berada dalam rakaat ketiga, dia ragu-ragu mengenai
rakaat yang sedang dikerjakannya itu adakah benar-benar rakaat ketiga ataupun sudah
rakaat keempat, kemudian selepas dia meneruskan rakaat yang berikutnya (keempat),
baru dia teringat kembali bahawa rakaat yang dikerjakannya tadi (rakaat ketiga)
itu adalah sememangnya betul rakaat yang ketiga manakala rakaat yang sedang
dikerjakannya ketika itu pula adalah sememangnya betul rakaat keempat.
Makadalam hal ini, sunat baginya mengerjakan sujud sahwi sebelum memberi salam
kerana dia bangkit mengerjakan rakaat keempat itu dalam keadaan syak atau ragu-ragu
bahawa kemungkinan rakaat keempat itu sebenarnya adalah rakaat tambahan yakni
rakaat yang kelima. Bagaimanapun, jika dia teringat kembali dalam rakaat ketiga
itu juga, iaitu sebelum dia mengerjakan rakaat seterusnya (keempat), bahawa
rakaat yang sedang dikerjakannya itu adalah
rakaat yang ketiga, maka dalam hal ini tidak disunatkan dia sujud sahwi.
4. Apabila
seseorang itu tersedar bahawa dia telah terlebih rakaat, sebagai misal, ketika
mengerjakan solat fardhu Zuhur, dia teringat bahawa rakaat yang disangkakannya
rakaat keempat yang sedang dikerjakannya ketika itu sebenarnya adalah rakaat
yang kelima, maka dalam hal ini, wajib dia turun serta merta meninggalkan
rakaat tambahan (yang kelima) itu bagi mengerjakan tahiyyat akhir, sekiranya
sebelum dia bangkit mengerjakan rakaat tambahan itu dia belum mengerjakan
tahiyyat akhir, kemudian sunat dia mengerjakan sujud sahwi sebelum memberi
salam. Akan tetapi, jika sebelum itu dia
sudah selesai mengerjakan tahiyyat akhir, lalu dia bangkit mengerjakan rakaat
yang kelima kerana terlupa, tersilap ataupun terkeliru, maka dalam hal ini dia
tidak perlu lagi mengulangi tahiyyat akhir, memadai dia turun serta merta dan
mengerjakan sujud sahwi sahaja dan
kemudian memberi salam.
Demikian beberapa penjelasan serta
panduan mengenai permasalahan ragu-ragu dalam bilangan rakaat. Mudah-mudahan
dengan penjelasan ini, ilmu kita tentang ibadat solat semakin bertambah serta solat
yang kita kerjakan menjadi lebih sempurna.
No comments:
Post a Comment