Sunday, 20 March 2016

MEMBERSIHKAN AIR KENCING MENURUT SYARA‘

MEMBERSIHKAN AIR KENCING MENURUT SYARA‘

Menurut syara‘, air kencing merupakan najis, sama ada air kencing kanak-kanak atau orang dewasa. Air kencing kanak-kanak lelaki yang belum mencapai umur dua tahun dan belum memakan makanan atau minuman selain daripada susu ibu adalah dikategorikan sebagai najis mukhaffafah (ringan). Manakala air kencing kanak-kanak perempuan, kanak-kanak khunsa, kanak-kanak lelaki yang sudah mencapai umur dua tahun atau sudah memakan makanan selain susu ibu dan orang dewasa adalah dikategorikan sebagai najis muta wassithah (pertengahan).

Dalil kenajisan air kencing antaranya perintah Rasulullah s.a.w. untuk menuangkan air ke atas kawasan dalam masjid yang telah tercemar dengan kencing seorang Arab sebagai cara membersihkan kawasan yang terkena najis (air kencing) itu.

Cara Membersihkan Air Kencing

Oleh kerana air kencing itu adakalanya dikategorikan sebagai najis mukhaffafah dan adakalanya dikategorikan sebagai najis mutawassithah, makacara membersihkannya juga berbeza mengikut jenis najis tersebut. Selain daripada itu, pembahagian najis air kencing tersebut dibahagikan lagi kepada dua bentuk, iaitu najis‘aini dan najis hukmi.

Adapun najis ‘aini itu secara ringkas adalah najis yang disedari atau dapat dilihat dan dikesan zat atau sifatnya daripada rasa, warna atau bau najis. Namun adakalanya, setelah masa berlalu atau keadaan berubah, zat najis atau kesannya itu langsung tidak lagi kelihatan dan tidak berbekas. Bentuk najis seperti ini dinamakan najis hukmi (secara hukum). Najis hukmi adalah najis yang diyakini kewujudannya akan tetapi tidak dapat dilihat dengan pancaindera bendanya (zat najis) mahupun sifatnya sama ada dari segi rasa, warna dan baunya. Najis itu, mahupun sifat-sifatnya, tidak dapat dikesan sama ada disebabkan kesan atau bekas najis telah kering, umpamanya air kencing yang sudah kering, ataupun disebabkan sesuatu tempat itu berkilat atau licin seperti cermin dan najis tidak dapat melekat padanya.

Penjelasan cara membersihkan najis air kencing, sama ada mukhaffafah atau mutawassithah, adalah seperti berikut:

1.         Cara membersihkan najis mukhaffafah, iaitu air kencing kanak-kanak lelaki yang belum mencapai umur dua tahun dan belum memakan makanan atau minuman selain daripada susu ibu, jika dalam bentuk ‘aini, memadai dengan merenjiskan air ke atas tempat tersebut sebanyak sekali. Demikian juga air kencing kanak-kanak lelaki yang belum mencapai umur dua tahun yang diberi makan sesuatu seperti kurma dan seumpamanya semasa mentahniknya atau ubat dan seumpamanya bagi tujuan penyembuhan, maka masih dikira sebagai najis mukhaffafah.

Dalil dalam perkara ini, daripada Ummu Qais Radhiallahu ‘anha menceritakan bahawa dia pernah datang kepada Rasulullah s.a.w. dengan membawa bersamanya anak lelakinya yang masih kecil dan belum diberi makan makanan selain susu ibu, lalu Rasulullah s.a.w. mendudukkan anak lelaki tadi di atas riba Baginda. Seketika kemudian anak lelaki itu membasahi pakaian Baginda dengan air kencingnya. Baginda lalu meminta air dan merenjis tempat yang terkena kencing dan Baginda tidak pula membasuhnya.

Disyaratkan juga ketika merenjiskan air hendaklah renjisan air itu rata terkena ke seluruh tempat yang bernajis, walau bagaimanapun tidak disyaratkan sehingga air mengalir, menitik atau menitis. Jika air kencing mukhaffafah itu berbentuk hukmi, maka cara membersihkannya juga adalah memadai dengan merenjisnya sebagaimana yang dijelaskan di atas.

2.         Cara membersihkan air kencing najis mutawassithah dalam bentuk ‘aini pula, wajib dibasuh tempat yang terkena najis, iaitu setelah menghilangkan terlebih dahulu zat dan sifat-sifat najis sepertimana cara membersihkan najis yang lain. Perbuatan membasuh itu disyaratkan hendaklah dengan mengalirkan atau menjiruskan air ke atas tempat bernajis sehingga sebahagian air itu mengalir, menitis atau menitik.

Disunatkan juga untuk membasuhnya sebanyak tiga kali. Dalil dalam perkara ini perintah Rasulullah s.a.w. untuk menuangkan air pada kawasan masjid yang telah tercemar oleh air kencing seorang Arab. Menyentuh mengenai syarat menghilangkan terlebih dahulu zat dan sifat-sifat najis, jika najis itu boleh dihilangkan hanya dengan menjiruskan air sahaja ke atasnya, seperti air kencing yang sangat sedikit, maka dalam hal ini, adalah memadai dengan menjiruskan air sahaja dengan syarat apabila seseorang menjiruskan air ke atas najis itu, maka sifat-sifat najis juga turut hilang.

Jika air kencing mutawassithah itu berbentuk hukmi, maka cara membersihkannya memadai dengan menjiruskan air sebanyak sekali di atas tempat di mana najis tersebut berada dan kawasan sekitarnya, namun disunatkan juga untuk melakukannya sebanyak tiga kali.

Hukum Memerah Air Setelah Menyucikan Tempat Terkena Najis

Menurut pendapat yang ashah (yang lebih shahih), suatu tempat atau pakaian yang basah setelah Disucikan dengan dijirus atau dituang air ke atasnya, maka tidaklah disyaratkan untuk diperah atau dikeringkan, sama ada tempat atau pakaian tersebut boleh diperah ataupun tidak. Walau bagaimanapun hukum memerahnya adalah sunat, dan sebagai jalan keluar daripada perselisihan pendapat (khilaf), kerana terdapat sebahagian ulama yang mewajibkan untuk diperah. Oleh yang demikian, kelembapan yang masih ada setelah pakaian diperah adalah dikira suci tanpa sebarang percanggahan ulama.

Air Kencing Terkena Pada Tanah

Jika suatu kawasan atau bahagian daripada tanah terkena najis berbentuk cecair seperti air kencing, darah, arak dan seumpamanya, lalu air kencing itu kering, larut atau diserap oleh tanah, maka cara menyucikan kawasan atau bahagian tanah itu ialah dengan mencurahkan air sebanyak sekali ke atasnya dengan rata sehingga meliputi kawasan atau bahagian berkenaan.

Dengan melakukan langkah di atas, maka kawasan atau bahagian tanah itu adalah suci, sama ada tanah tersebut keras atau lembut, sekalipun air bersih yang dicurahkan untuk membersihkan najis tidak diserap sepenuhnya ke dalam tanah, dengan syarat hendaklah dipastikan terlebih dahulu bahawa tidak ada tertinggal atau berbekas zat air kencing yang tidak diserap oleh tanah.Jika masih didapati zat air kencing yang masih tertinggal di atas tanah, maka hendaklah dihilangkan terlebih dahulu zat najis tersebut sebelum mencurahkan air.

Selain daripada itu, adalah dikira memadai tanah tersebut menjadi suci sekalipun tanpa perbuatan seseorang seperti tanah yang bernajis itu terkena atau disirami air hujan. Sehubungan ini, jika suatu tempat itu tidak menyerap cecair umpama lantai simen, maka cara membersihkannya ialah hendaklah dikeringkan (dihilangkan) terlebih dahulu air kencing itu, setelah itu hendaklah dituangkan atau dijiruskan air ke atasnya.

Beberapa Persoalan Sekitar Cara Membersihkan Air Kencing

Berikut dibawakan penjelasan secara ringkas mengenai beberapa persoalan berkaitan cara membersihkan air kencing mutawassithah berbentuk ‘aini.

1.         Memadaikah dengan direndam atau dicelup-celupkan sahaja?

Jika sekiranya seseorang menggunakan air yang sedikit (kurang daripada dua qullah seperti air dalam baldi atau bekas kecil) untuk menyucikan umpama baju atau benda yang terkena air kencing, maka adalah disyaratkan air yang sedikit itu dijiruskan ke kawasan yang terkena air kencing itu dan bukan baju atau benda yang terkena najis itu dicelup-celupkan atau direndam ke dalam air yang sedikit tadi. Ini kerana apabila sesuatu yang bernajis itu mengenai atau terjatuh kepada air yang sedikit, maka air itu menjadi najis kesemuanya. Hasilnya baju yang dicelup-celup atau direndam itu masih lagi dianggap bernajis. Berbeza pula keadaannya jika sekiranya seseorang itu menggunakan air yang banyak (dua qullah atau lebih), umpamanya menggunakan paip air dan air sungai, maka adalah memadai dan dihukumkan bersih benda atau baju itu dengan menggunakan apa cara sekalipun, samada menyampaikan atau menjiruskan air yang banyak itu ke atas baju tersebut atau pun baju itu dicelup-celupkan atau direndam ke dalam air yang banyak tadi.

2.         Memadaikah jika terkena air hujan?

Perbuatan membasuh tempat atau benda yang terkena najis itu adalah dianggap memadai sama ada dengan perbuatan seseorang atau tanpa perbuatan sesiapa, seperti dijirus oleh air hujan.

3.         Memadaikah dengan hanya dijemur tanpa dibasuh?

Pakaian yang bernajis disebabkan terkena air kencing dan seumpamanya, jika kesan najis telah hilang daripada pakaian tersebut disebabkan kering dengan sejatan matahari atau dengan tiupan angin, maka pakaian tersebut masih belum dianggap suci sehinggalah dibasuh dengan air. Perbuatan menghilangkan air kencing pada permaidani atau tilam, adalah tidak memadai dengan hanya mengeringkan air kencing tersebut di bawah matahari atau dengan tiupan angin ataupun dengan menggunakan alat seperti vakum dan pengering. Begitu juga tidak memadai perbuatan menggosok benda atau tempat yang bernajis dengan kain yang basah jika tidak ada perbuatan membasuh atau menjirus dengan air bersih.

Oleh yang demikian, cara yang betul ialah dengan menghilangkan zat najis air kencing yang terdapat pada permaidani atau tilam itu terlebih dahulu, kemudian barulah dijiruskan air ke tempat yang terkena najis. Selepas itu, sunat diperah atau dikeringkan air daripada tempat yang dijirus tadi dengan menggunakan alat atau benda yang boleh mengeringkan air seperti mesin vakum, tuala pengering dan sebagainya. Perbuatan menjirus air dan mengeringkannya itu boleh dibuat sebanyak tiga kali.

4.         Memadaikah hanya membersihkan bahagian luaran sahaja?

Benih atau biji yang terendam atau tercelup ke dalam air kencing umpamanya, adalah memadai dikira telah bersih bahagian dalamannya dengan menuangkan air pada bahagian luarnya.

5.         Adakah batu kecil yang keluar semasa membuang air kecil dikira najis?

Batu kecil yang keluar semasa membuang air kecil atau selepasnya, jika dikhabarkan oleh ahli perubatan yang adil bahawa ia terbentuk daripada air kencing, maka batu itu adalah najis. Jika dikhabarkan sebaliknya bahawa batu tersebut tidak terbentuk daripada air kencing, maka dianggap ia suatu benda yang terkena najis (mutanajjis).


Sebagai kesimpulan, air kencing adalah najis dan wajib dibersihkan. Cara membersihkan najis, termasuk air kencing, ialah dengan menggunakan air dan mengikut cara yang dijelaskan di atas.Penekanan dalam membersihkan air kencing dan tempat yang terkena najis perlu diambil beratdan diberi perhatian, khususnya pakaian yang digunakan untuk mengerjakan solat dan ibadat-ibadat yang lain yang menuntut seseorang itu berada dalam keadaan suci daripada najis.

No comments:

Post a Comment