LELAKI DAYUS TIDAK
DAPAT MENGHIDU BAU SYURGA
SOALAN: Ramai
lelaki kurang faham erti dayus dengan jelas. Apakah makna perkataan dan
perbuatan yang menjuruskan perlakuan tersebut?
Jawapan: Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga
golongan yang ALLAH tidak akan lihat (bermakna tiada bantuan daripada dikenakan
azab) mereka pada hari kiamat: Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang
menyerupai lelaki dan si lelaki dayus.”
(Riwayat
Ahmad dan Al-Nasaie)
Dayus disebutkan dalam
beberapa riwayat athar dan hadis yang lain iaitu daripada Ammar bin Yasir
berkata, dia mendengar daripada Rasulullah SAW berkata: “Tiga golongan yang tidak akan memasuki syurga sampai bila-bila iaitu
si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak.”
Lalu sahabat berkata: “Wahai Rasulullah,
kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus?”
Berkata Nabi: “Iaitu orang yang tidak
mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan
anak-anaknya).”
(Riwayat
Al-Tabrani)
Daripada hadis di
atas, maksud lelaki dayus adalah si suami atau bapa yang langsung tiada
perasaan risau dengan siapa isteri dan anaknya bersama dan bertemu. Malah, ada
yang membiarkan sahaja isteri dan anak perempuannya dipegang lelaki lain.
Soalan yang sama
daripada sahabat mengenai siapakah dayus? Lalu jawab Nabi SAW, maksudnya: “Apakah dayus itu wahai Rasulullah?”
Jawab Nabi: “Iaitu seseorang (lelaki)
yang membiarkan kejahatan (zina, membuka aurat, bergaul bebas) dilakukan oleh
ahlinya (isteri dan keluarganya).”
(Riwayat
Al-Tabrani dan Al-Baihaqi).
Tafsiran golongan
ulama berkenaan istilah dayus adalah “Seseorang
yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan
anak-anaknya).”
“Cemburu lawannya dayus.” Berkata pula Al-Nuhas, “Cemburu (iaitu lawan kepada dayus) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya daripada ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram.”
“Seolah-olah takrif dayus itu membawa erti
kehinaan (kepada si lelaki) apabila dia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh
isteri dan ahli keluarganya dia tidak mengubahnya.”
“Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya
rasa ambil berat atau kecemburuan (terhadap ahli keluarga), dan barang siapa
yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana
perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga jauh daripada
kejahatan dan perkara keji. Tanpanya hati akan mati maka matilah juga
sensitiviti anggota (terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya
kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.”
(Faidhul
Qadir, Al-Munawi, 3/430)
Dayus Adalah Dosa
Besar
Ulama Islam juga
bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga
disebutkan dalam satu athar, maksudnya: “ALLAH telah melaknat lelaki dayus
(laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami
itu daripada isterinya dan diharamkan bergaul dengannya).”
Walaupun ia bukanlah
satu fatwa yang dipakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa
tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki. Petikan ini pula
menunjukkan lebih dahsyatnya takrif golongan ulama mengenai erti dayus dan
istilah yang hampir dengannya, maksudnya: “Al-Qawwad (istilah yang disamakan
dengan dayus) di sisi umum ulama adalah ’orang tengah’ kepada zina.”
“Dayus, iaitu lelaki
yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan dia sekadar senyap dan
tiada rasa cemburu (atau ingin bertindak), dan termasuk juga ertinya adalah
sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang tidak halal
baginya dengan syahwat.”
Cemburu Dituntut Islam
Ada isteri yang
menyalahkan suami kerana terlalu cemburu. Sebenarnya, kita perlu fahami bahawa
ia adalah tuntutan Islam dan menunjukkan suami yang bertanggungjawab.
Bergembiralah si suami
yang memperoleh isteri solehah. Ini kerana, tanpa sebarang campur tangan dan
nasihat daripada sang suami, isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan
dirinya.
Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: “Daripada tanda kebahagiaan anak Adam adalah
memperoleh wanita solehah (isteri dan anak).” (Riwayat Ahmad, no 1445, 1/168)
Jika seorang bapa
mengetahui perbuatan ‘ringan-ringan’ anak perempuan atau lelaki mereka dan
membiarkannya, maka dia adalah dayus. Ingin saya tegaskan, seorang wanita dan
lelaki yang telah ‘ringan-ringan’ atau terlanjur sebelum kahwin dan tanpa
taubat yang sebenar-benarnya, sudah pastilah rumah tangga mereka akan goyah.
Kemungkinan besar
apabila telah berumah tangga, si suami atau isteri ini akan terjebak juga
dengan perbuatan ‘ringan-ringan’ dengan orang lain. Hanya dengan bertaubat
nasuha dapat menghalang aktiviti mungkar itu daripada melepasi alam rumah
tangga mereka.
Jika hal ini
dibiarkan, ia akan merebak pula kepada anak mereka, seterusnya kepada zuriat
mereka. Awas! Dalam hal ini, semua suami dan bapa perlu bertindak bagi
mengelakkan diri mereka daripada dianggap sebagai dayus. Jagalah zuriat anda.
Suami juga patut sekali sekala menyemak telefon bimbit dan beg isteri untuk
memastikan tiada yang diragui.
Mungkin ada isteri
yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai
melompat akhirnya akan tertangkap jua. Cemburu seorang suami dan ayah adalah
wajib bagi mereka, demi menjaga maruah dan kehormatan isteri serta anaknya.
Diriwayatkan bagaimana
satu peristiwa pada zaman Nabi Muhammad SAW, maksudnya: “Berkata Ubadah bin
Somit RA: Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteri ku, nescaya akan
ku pukulnya dengan pedang ku, maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa’ad
tadi, lalu Nabi memberi jawapan: “Adakah
kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa’ad?
Demi ALLAH, aku lebih kuat cemburu (ambil
endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah ALLAH lebih cemburu daripada
ku, kerana kecemburuan ALLAH itulah maka diharamkan setiap perkara keji
yang ternyata dan tersembunyi.”
(Riwayat
Al-Bukhari dan Muslim).
Lihat betapa ALLAH SWT
dan rasul-NYA menginginkan golongan suami dan ayah mempunyai sifat pelindung
kepada ahli keluarga daripada melakukan sebarang perkara keji dan mungkar.
Lelaki menjadi dayus apabila:
Lelaki menjadi dayus apabila:
1. Membiarkan kecantikan aurat dan bentuk
tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain selama mereka bekerja atau di luar
rumah.
2. Membiarkan isterinya pulang lewat, serta
tidak diketahui bersama siapa, serta apa yang dibuatnya ketika dia bekerja.
3. Membiarkan aurat isteri dan anak perempuan
dewasanya terdedah (terselak kain) ketika menaiki apa jua kenderaan.
4. Membiarkan anak perempuan berdua-duaan
dengan lelaki yang bukan mahramnya.
5. Membiarkan anak perempuan berdua-duaan
dengan pasangan yang bukan mahramnya di rumah. Kononnya, ibu bapa mereka
sporting dan memahami.
6. Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan
anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang menjolok mata di luar rumah.
7. Membiarkan anak perempuan menyertai akademi
hiburan yang boleh mempamerkan kecantikan mereka kepada jutaan manusia bukan
mahram.
8. Membiarkan isteri atau anaknya menjadi
pelakon dan membiarkan mereka berpelukan dengan lelaki lain. Kononnya atas
dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon, nafsu seorang
lelaki itu akan hilang? Tidak sekali-sekali!
9. Membiarkan isteri bekerja dan keluar rumah
tanpa menutup aurat dengan sempurna.
Rasulullah SAW
bersabda “Sesiapa yang mati dibunuh
kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid.”
(Riwayat Ahmad)
No comments:
Post a Comment