HALALKAH MAKANAN YANG MEMPUNYAI KESAN
NAJIS?
Hukum-hakam
yang berkaitan dengan permakanan, apa yang halal dan apa yang tidak halal pada pandangan
syara‘,merupakan antara perkara agama yang sangat penting dan menjadi
tanggungjawab setiap individu muslim untuk mengetahuinya. Mengetahui permakanan
halal dan haram itu adalah fardhu ‘ain.
Memakan benda yang haram pula boleh
mendatangkan risiko, iaitu balasan buruk kepada pelakunya seperti yang telah
dijanjikan dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: Maksudnya:“ Mana-mana daging yang tumbuh
daripada (benda) haram, maka nerakalah paling layak baginya.” (Hadits riwayat
ath-Thabarani)
Adakalanya
dalam pemilihan makanan dan minuman timbul keraguan pada diri kita adakah ia
halal, haram ataupun makruh. Keraguan tersebut seringkali timbul apabila
makanan itu dikaitkan dengan najis, umpamanya ikan kecil yang mengandung najis
dalam perutnya, atau binatang ternakan yang sumber bahan makanan atau
minumannya terdiri daripada bahan-bahan najis, ataupun suatu tanaman itu dibaja
dengan bahan najis.\\
Oleh
yang demikian, berikut dibawakan beberapa penjelasan berkaitan
persoalan-persoalan tersebut.
Isi
Perut Ikan
Ikan,
sepertimana juga dengan haiwan yang lainnya, memiliki rongga perut dan pada rongga
perutnya itu juga terkandung kotoran dan najis. Menurut ulama, sesuatu yang
keluar (berasal) dari rongga perut haiwan, tidak terkecuali ikan, merupakan
najis. Oleh yang demikian, tahi ikan juga dihukumkan sebagai najis. Namun ulama
telah menjelaskan bahawa adalah halal memakan ikan kecil yang dimasak, seumpama
digoreng atau dibakar, bersama dengan isi perutnya, tanpa dibersihkan atau
dibuang terlebih dahulu kotoran yang terkandung dalam perutnya. Kandungan
kotoran (isi perut) ikan kecil tersebut adalah dimaafkan. Imam Ibn Hajr Rahimahullah juga berpendapat bahawa tidak
wajib membersihkan atau membuang kandungan kotoran dalam perut ikan kecil
kerana kesukaran untuk membersihkan isi
perutnya.
Adapun
ikan besar yang digoreng atau dibakar , hukumnya adalah haram memakannya
bersama dengan isi perutnya kerana najis dalam perut ikan yang besar adalah tidak
dimaafkan, di samping tiada kesukaran untuk membersihkan kotoran yang terdapat
di dalam perut ikan yang besar. Menurut pendapat ulama, adalah harus memakan
ikan masin, ikan pekasam dan seumpamanya yang berukuran kecil yang diperam
bersama dengan isi perutnya kerana kesukaran untuk membersihkan kotoran yang
ada dalam isi perut ikan kecil.
Adapun
ikan masin yang berukuran besar yang diperam dengan isi perutnya, maka ikan
masin yang dedemikian adalah najis. Mengenai kadar atau ukuran ikan yang
dikatakan sebagai ikan kecil, maka terdapat dua pendapat ulama. Pendapat yang
pertama ialah apa yang menurut adat kebiasaannya diakui atau disebut sebagai
ukuran ikan kecil dan pendapat yang kedua ialah sebesar kadar dua jari.
Daging
& Darah
Pada
dasarnya, hukum memakan binatang yang halal dimakan adalah melalui sembelihan menurut
syara‘. Selain itu, kehalalan memakan binatang seumpama kambing, kerbau atau ayam,
juga tertakluk pada faktor lain seperti cara membersihkannya daripada tahi dan darahnya.
Seperti yang diketahui darah merupakan najis, manakala hukum memakannya adalah
haram. Apabila binatang halal disembelih, dan segala najis yang ada padanya,
seperti tahi telah dibuang, kemudian setelah dilapah, daging tersebut terus dimasak,
sama ada dibakar, dibuat sup atau rendang, tanpa terlebih dahulu menjirus atau
membasuhnya dengan air, maka daging itu adalah halal dimakan, sekalipun
kesan-kesan darah masih terdapat pada dagingnya dan ketika dimasak masih
mengeluarkan buih berwarna kuning darah.
Ini
kerana baki darah yang tinggal pada daging itu adalah dimaafkan. Ini bermakna, walaupun
daging yang hendak dimasak, disalai atau seumpamanya itu tidak pernah dibasuh
semenjak dari awal sembelihan dan padanya hanya tinggal bekas-bekas darahnya
yang asal, bukan darah yang baru mendatang, kemudian daging tersebut terus
dimasak atau dibakar, maka daging itu adalah halal. Namun, jika daging itu
dibasuh bagi tujuan menanggalkan atau membuang kesan-kesan darah yang masih ada
padanya atau darah lain yang bercampur, ataupun hendak menanggalkan pasir-pasir
yang melekat dan sebagainya sebelum dimasak, maka daging yang sudah terkenaair
itu hendaklah dipastikan bahawa pada zahirnya, yakni di sebelah luarnya itu,
tidak ada lagi darah walau sedikitpun.
Perkara
ini disebutkan oleh pengarang kitab Fath Al-‘Allam: Ertinya: “Jika darah
berkenaan terkena air bagi tujuan menyucikannya, maka disyaratkan hilang
sifat-sifatnya sebelum dimasukkan ke
dalam periuk (untuk dimasak).”
Jika
kita melihat kepada amalan dan cara penjualan daging pada masa ini, didapati
daging yang hendak dijual itu kadang-kadang diletakkan terlebih dahulu diatas
meja yang sedia ada darah di situ, sama ada darah binatang yang sama atau darah
binatang yang lainnya. Perbuatan sedemikian menyebabkan darah itu akan terkena
kepada daging yang baru diletakkan itu. Dalam hal ini, darah yang baru melekat
pada daging itu telah menyebabkan daging berkenaan menjadi mutanajjis, yakni
terkena najis.
Oleh
yang demikian, daging seperti ini tidak boleh terus dimasak tanpa dibersihkan
terlebih dahulu. Cara membersihkan daging yang terkena najis ialah dengan
mencurah, menjirus atau menuangkan air yang suci ke atas daging atau
benda-benda yang kena najis itu sehingga najis itu hilang. Adapun cara
membersihkan daging dengan mencelup daging yang bernajis ke dalam air yang
sedikit, seperti air dalam besen atau dalam periuk, walau beberapa kali celup,
maka cara mencelup-celup ini tidak memadai, hukumnya masih tidak suci juga
TANAMAN YANG DIBAJA ATAU DISIRAM DENGAN
NAJIS
Pada
dasarnya, perbuatan menyuburkan tanam-tanaman dan sayur-sayuran dengan baja
daripada tahi hukumnya adalah makruh, sebagaimana pendapat Imam ar-Ramli Rahimahullah
Ta‘ala. Bagaimanapun, menurut ulama hukum memakan tanaman dan buah-buahan yang
disiram (dibaja) dengan air najis adalah halal dan tidak makruh. Begitu juga, tidak
makruh memakan biji-bijian yang ditanam pada benda-benda najis seperti tahi
atau selainnya, kerana tiada nyata kesan najis atau tahi itu pada biji-bijian
dan tumbuhan tersebut. Bagaimanapun, menurut Imam az-Zarkasyi Rahimahullah, jika
nyata kesan perubahan pada tanaman itu disebabkan najis tersebut, seperti
tanaman itu berbau najis, maka hukum memakan tanaman yang dibaja dengan tahi
adalah makruh. Begitu juga, sayur-sayuran yang subur dengan baja daripada najis
mughallazhah hukumnya tidak makruh dimakan, melainkan jika sayur itu berubah
(bau, rasa atau warna) dengan ada kesan najis itu. Sekalipun demikian, perlu
juga diketahui bahawa setiap daripada sayuran atau buah-buahan yang terkena zat
najis itu adalah mutanajjis, iaitu yang terkena najis. Oleh yang demikian, jika
zat najis itu masih ada pada sayuran atau buah itu, maka hendaklah dibersihkan
terlebih dahulu.
Cara
membersihkannya ialah dengan dibasuh dengan air, iaitu setelah dihilangkan terlebih dahulu zat dan sifat-sifat najis.
Manakala bagi najis mughallazhah, seperti najis babi, maka cara membersihkannya
atau menyucikannya ialah dengan disertu. Caranya ialah bahagian yang terkena
najis itu hendaklah dibasuh sebanyak 7 kali dengan air muthlaq, salah satu
daripadanya hendaklah air yang bercampur
dengan tanah yang suci dengan kadar sekira-kira keruh air tersebut. Perlu juga
diingat, jika masih terdapat zat najis, maka hendaklah terlebih dahulu
dihilangkan zat najis itu kemudian barulah dilakukan sertu. Binatang al-Jallalah
Menurutad-Dumairi Rahimahullah,al –alalah bermaksud binatang yang makan najis
dan tahi, sama ada banyak atau sedikit, daripada unta, sapi, kambing, ayam,
angsa, ikan atau selainnya dari binatang yang boleh dimakan.
Antara
contoh mudah berkenaan perkara ini ialah binatang yang dikurung atau
ditempatkan dalam suatu kawasan tertentu, seperti ikan peliharaan dalam kolam buatan,
yang diberi makan dengan najis sepenuhnya atau secara berkala. Hukum mengenai binatang
al-jallalah telah disebutkan dalam hadits Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan
daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa Baginda melarang memakan
binatang al-jallalah dan meminum susu binatang itu sehinggalah (menjadi) baik
dagingnya dengan cara ia diberikan makanan
yang bersih selama empat puluh hari. Menurut pendapat alashah, (yang lebih
diperakukan) hokum memakan daging binatang al-jallalah adalah makruh, jika berlaku
perubahan pada daging binatang tersebut, sekalipun hanya sedikit. Maksud
perubahan di sini ialah kesan daripada binatang al-jallalah itu memakan najis, seperti
dagingnya berbau najis, dan termasuklah rasanya atau warnanya.
Sepertimana
dimakruhkan memakan dagingnya, dimakruhkan juga meminum susunya, memakan telurnya
dan keseluruhan nahagian daripadanya. Demikian juga, adalah makruh hukumnya
menunggang binatang al-jallalah tanpa sebarang lapik. Tanda atau alamat bahawa
binatang al-jallalah itu terkesan dengan permakanannya daripada najis dan
kotoran antaranya ialah perubahan pada baunya dan peluhnya yang busuk. Oleh
yang demikian, jika didapati perubahan pada binatang al-Jallalah, maka tempoh masa yang diambil untuk
menghilangkan kesan atau bau pada daging binatang al-jallalah dan menjadikan
dagingnya baik, menurut pendapat ulama pada adat kebiasaannya bagi unta adalah
selama 40 hari, lembu selama 30 hari, kambing selama 7hari dan ayam selama
3hari.
Walau
bagaimanapun perlu diingat bahawa bilangan hari yang disebutkan di atas
bukanlah suatu had kemestian untuk ditepati. Ini hanyalah merupakan jangkaan,
kerana pada kebiasaannya dalam tempoh ini kesan najis, seperti bau najis pada daging
al-jallalah akan hilang. Demikian juga sekatan pemberian makanan binatang
al-jallalah hanya dengan permakanan yang suci. Sekiranya binatang al-jallalah yang
berbau itu diberi makan dengan benda yang suci seperti rumput-rumput yang suci,
mahupun yang terkena najis seperti makanan ternakan yang terkena air najis atau
terkena benda najis, ataupun tidak diberikan apa-apa makanan, lalu menghasilkan
daging yang baik dan hilang baunya, sekalipun kurang daripada 40 hari atau
sepertimana tempoh lain yang telah disebutkan, maka daging binatang al-jallalah
ini adalah halal dan tidak dihukumkan makruh untuk dimakan. Jika binatang al-jallalah
itu hanya dibasuh (dibersihkan) untuk menghilangkan perubahan tersebut tanpa
menjalani proses seperti di atas, maka ia masih dihukumkan makruh untuk
dimakan, sekalipun dengan perbuatan tersebut berhasil menghilangkan kesan
perubahan itu.
Selain
itu, jika daging binatang al-jallalah yang berubah pada rasa, bau atau warna
itu dibasuh, dimasak atau dibiarkan sahaja untuk suatu tempoh masa, maka dalam
hal ini ia masih juga dihukumkan makruh untuk dimakan, sekalipun dengan
perbuatan tadi berhasil menghilangkan kesan perubahan itu. Sebaliknya, jika
tiada berlaku sebarang perubahan pada daging al-jallalah, maka tidak dihukumkan
makruh memakannya, sekalipun binatang al-jallalah itu tidak memakan selain
najis sahaja. Perlu diketahui bahawa menurut ulama, kambing biri-biri dan
binatang selainnya, yang diternak sebagai sumber bahan makanan, adalah makruh
diberikan makanan atau minuman daripada benda (zat) najis. Akan tetapi larangan
(makruh) ini tidak termasuk bahan makanan yang mutanajjis iaitu yang terkena najis. Selain itu, menggunakan
bahan-bahan najis sebagai sumber makanannya membawa kepada perkara makruh
kerana apabila ternakan itu memakan bahan-bahan najis, ia boleh membawa kepada
perubahan sifat dagingnya. Maka kerana ini ia dihukumkan makruh. Demikian juga
perubahan pada daging binatang al-jallalah itu bukan sahaja disebabkan kesan
sumber permakanannya daripada benda najis, akan tetapi perubahan itu juga boleh
berlaku kesan daripada kesan sumber minumannya.
Oleh
yang demikian, binatang ternakan seperti anak kambing biri-biri yang diminumkan
susu anjing atau khinzir, jika berlaku perubahan pada dagingnya, maka hukumnya
adalah serupa dengan binatang al-jallalah. Malahan jika didapati perubahan pada
daging dan telur binatang sembelihan biasa yang bukan al-jallalah, seperti
perubahan bau busuk, maka menurut pendapat yang shahih, daging ini juga
dihukumkan makruh memakannya. Memakan sesuatu yang mengakibatkan bau busuk
seperti memakan bawang mentah, petai, jering dan seumpamanya yang sangat-sangat
berbau busuk itu juga dihukumkan makruh.
Sebagai
kesimpulan, mengetahui permakanan halal dan yang haram merupakan tanggungjawab
setiap individu Islam dan fardhu ‘ain. Sekalipun makanan atau minuman itu halal
dan suci, adakalanya ia dihukumkan makruh atau haram sepertimana yang
dijelaskan dalam contoh-contoh di atas. Mudah-mudahan dengan penjelasan, tunjuk
ajar serta langkah-langkah yang dinyatakan di atas, dapat menghindarkan kita daripada
memakan sesuatu yang diharamkan atau dimakruhkan.
No comments:
Post a Comment