Friday, 18 March 2016

PENYAKIT ORANG BAIK

PENYAKIT ORANG BAIK.

Penyakit ini hanya menghinggapi "orang baik" sahaja. Orang jahat dan tidak mengenali Allah tidak memiliki sifat-sifat ini kerana mereka tidak melakukan ibadah sama sekali. Mereka akan menjadi bara api neraka tanpa dihisab. Adapun orang yang baik ini, maka ia mesti terus menjaga kemurnian ibadahnya. Setiap kali melakukan ibadah, dia wajib meluruskan niat agar ibadahnya diterima oleh Allah s.w.t ,terutamanya apabila manusia mula menyebut-nyebut kebaikannya dan memuji dirinya. Syeikh Ali al-Khawas berkata: "Jika engkau sedang berada di jalan istiqamah ,lalu seseorang memujimu ,maka ia satu peringatan atas kekurangan yang terdapat dalam diri. Maka periksalah dirimu,Carilah sebabnya, kenapa manusia memujimu? Boleh jadi Allah melihat kamu menyukai pujian, maka Allah memberikan pujian itu untukmu sebagai satu-satunya balasan atas ibadah tersebut. Seperti seorang ayah yang menggembirakan anaknya dengan gelang dan kalung tiruan. "Untuk menghindari sifat ini, kita wajib mengetahui tanda-tandanya. Pastikan tanda-tanda tersebut tidak terdapat dalam diri kita. Ali bin Abi Talib pernah berkata; "Tanda riyak tiga perkara:
·         Malas beramal jika sendirian
·         Rajin beramal jika dalam ramai
·         Menambah amalan jika dipuji dan menguranginya jika dicela."

Tanda pertama dan kedua sangat jelas.Orang yang memiliki sifat riyak bermotivasi untuk beramal hanya apabila ramai orang yang melihatnya.Namun apabila tidak ada sesiapa yang melihatnya ,dia akan malas melakukan amalan tersebut.Adapun tanda ketiga tersebut oleh Saiyidina Ali ,ia sangat halus dan jarang disedari.Yakni,sesiapa yang tidak suka pujian ,maka ia tidak takut celaan.Sesiapa yang bebas daripada sifat riyak,ia akan terus istiqamah beramal walaupun semua makhuk mencela dan memulaukannya.Celaan tidak menghentikan amalannya sebagaimana pujian tidak mengerakkanya untuk beramal.Para ulama:"Tidak ada yang mampu menanggung celaan makhluk selain orang yang tidak mengharapkan penghormatan daripada mereka."

Riyak kerana Amalan Orang Lain


Riyak dengan amalan sendiri memang sangat buruk. Namun jauh lebih buruk daripada itu, orang yang riyak dengan amalan orang lain.Berkata al-Fudhail bin 'Iyad: Orang terdahulu riyak dengan amalannya. Namun manusia hari ini riyak dengan apa yang tidak pernah dilakukannya. "Orang seperti ini ramai kita temui dalam masyarakat kita kini.CIrinya antara lain suka menyebut kebesaran nenek moyangnya, keturunannya atau orang yang hebat dalam keluarganya padahal ia sendiri tidak memiliki kehebatan tersebut. Dia ingin orang lain menghormatinya atas perkara yang tidak dimilikinya, Imam al-Sha'rani berkata: "Hendaklah orang yang memuji bapa atau datuknya selalu memeriksa hati. Sering kali pujian itu hanya perwujudan hawa nafsu belaka. "Orang seperti ini hakikatnya sedang mempersendakan dirinya sendiri. Kalaupun ada orang yang memujinya, dia bukan kawan sejati. Dia hanya memuji kerana menginginkan sesuatu disebaliknya. Apabila dia tidak mendapat sesuatu yang dihajati itu,pujian tersebut akan segera berubah menjadi celaan. Imam al-Syafi'i berkata: "Sesiapa yang memujimu kerana sesuatu yang tidak engkau miliki, suatu hari nanti dia juga akan mencelamu kerana sesuatu yang engkau tidak miliki."

No comments:

Post a Comment